Showing posts with label **Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label **Nostalgia. Show all posts

Tuesday, October 2, 2012

Boy London kembali lagi

Lebih 3 tahun yang lalu..... Boy London merupakan jam pertama aku review di Dunia Jam.... Jam tersebut merupakan jam yang sangat bernostalgia buat aku kerana bukan saja aku memakainya di zaman kegemilangan Boy London sekitar tahun 1990-1992 kerana jam tersebut juga masih berdetik hingga ke hari ini.... Lebih kurang sudah 21 tahun ia bersama aku.......

Review jam pertama di Dunia Jam

Kebih kurang setahun kemudian, aku cuba untuk menghidupkannya kembali... ikuti kisahnya di bawah...


Kini Boy London kembali menceriakan Dunia Jam.... di mana kali ini ia merupakan jam original. Jam yang aku pakai dulu hanyalah seutas jam 'pasar malam' (istilah suatu ketika dulu) ataupun tiruan (fake).... walau jam pasar malam, zaman memakainya pada ketika itu merupakan suatu fenomena. 


Aku berjaya dapatkan jam ini setelah di tawarkan oleh sorang abang yang dah lama main jam & beliau pada ketika itu teringatkan aku dulu ketika ingin menjualnya.. Aku tak tahu pun keadaan jam ini semasa aku ditawarkan.... Aku hanya bersetuju saja kerana memang sudah lama mencari model originalnya. Tak sangka apabila sampai di tangan, keadaannya sangat cantik sekali.  Terima kasih banyak bang.... jasamu dikenang.... Jam ni sebenarnya telah lama berada di tangan aku... cuma baru ada masa nak review.... 


Keadaan jam ketika ini sangat mulus & cantik. Tiada calar langsung kelihatan pada casingnya. Inilah pertama kali aku melihat depan mata model originalnya. Pada zaman fenomena Boy London, aku beranggapan pada ketika itu, Boy London hanya wujud sebagai jam pasar malam. Maksudnya hanya standart jam pasar malam atau istilah aku & kawan-kawan.. jam Siam saja la & tiada model original.... Aku tak tahu pun sebenarnya Boy London adalah jenama butik. Manalah tau masa tu, budak-budak lagi... internet pun belum wujud.... 

Boy London merupakan jenama butik/fesyen yang sebenarnya sudah lama wujud sejak tahun 1977 lagi & ia masih wujud sehingga kini. Cumanya jenama ini sudah hilang trendnya di Malaysia kini. Bacaan lanjut mengenai sejarah mereka boleh didapati pada pautan di bawah:

Ini pula adalah web rasmi mereka:


Berdasarkan dial, kita sudah tahu dari mana datangnya jenama ini. Aku bukanlah pendokong atau penyokong negara itu yang berlogo besar & megah itu. Jika ada pilihan lain ketika itu, pasti aku tak pilih corak bendera ini... tapi mengenangkan jenama ini sangat bernostalgia, aku beli juga sebagai kenangan kerana belum pasti akan ketemu lagi Boy London original ini sedangkan jam 'pasar malam' pun amat sukar untuk dijumpai.

Dari aspek kekemasan, dial dicetak kemas tanpa hour marker. Logo Boy London yang besar bersama corak bendera itu pada pandangan aku... jika dipandang dari aspek design, ianya nampak cantik & menyerlahkan jenamanya itu sesuai dengan kosep kesederhanaan Boy London. Nampak gah walau dipandang dari jauh. 

Dari aspek membaca waktu, agak sukar untuk membaca waktu dengan sekali pandang. Perlu dipandang dengan teliti kerana sukar membaca waktunya disebabkan corak bendera itu sendiri & warna jarumnya yang hitam serta kecil itu. Walau warna hitam kontra dengan warna putih, jarum berwarna hitam itu tenggelam dalam corak bendera itu. 

Kesimpulannya jika dilihat dari segi konteks ia sebagai jam butik, fesyen ataupun designer, ianya tak jadi masalah kerana ianya suatu hasil seni & seni itu sendiri sangat luas serta tidak terhad. Bagaimana ianya diekspresi, ia dianggap seni walau ianya tidak begitu relevant pada pandangan orang lain. Dari segi fungsinya sebagai pemberitahu waktu, design tersebut menyusahkan bacaan waktu dengan sekali pandang.... kurang sesuai untuk mereka yang sangat pentingkan bacaan waktu & tidak suka membuang masa. Namun dari sudut pandangan seorang WIS, ianya tak menjadi masalah kerana seorang WIS pandang jam sampai 5,6 kali pun masih tak tau bacaan waktunya..... kikikiki.....


Dengan zaman sekarang, design jam ini sudah masuk kategori klasik (butik). Ianya tampak sederhana, ringkas & tiada corak warna warni seperti trend jam butik zaman sekarang. Walau casing tiada unsur seni radikal, ukiran nama Boy London sudah memadai & Boy London sendiri tidak perlu design serta warna yang fancy kerana mereka sangat sederhana & berbangga dangan nama mereka serta logo mereka sendiri. Nama & logo menjadi sebahagian dari design pakaian itu sendiri (contoh gambar bawah). Itulah kelainan Boy London berbanding jenama butik lain.... minimalist....

BOY LONDON Collection
Gambar dari Fashion Beans

Crown jam ini bersaiz sederhara & bercorak. Ianya juga mempunyai logo mereka padanya. Design crown sebegini nampak cantik & berfungsi dengan baik kerana memudahkan pegangan & tidak menyusahkan untuk memusingkannya. Ada jenama yang merekacipta crown yang cantik sesuai dengan konsep jam tersebut, namun tidak berfungsi dengan baik dimana sukar untuk memusingkan crown & ada kalanya menyakitkan jari pula.


Caseback jenis snap-on mempunyai ukiran Boy London yang kemas & cantik. Berdasarkan caseback itu juga, kita sudah tahu bahawa casingnya diperbuat dari base metal & bukannya stainless steel. Namun kualiti casing jam ini bagaikan stainless steel. Jauh berbeza dari jam-jam aku yang menggunakan base metal sebelum ini.


Pada dial tadi, tertera Japan Movt pada pukul 6. Movement dipegang dengan kemas oleh 'holder'  plastik berwarna biru dengan baik. 


Movement yang digunakan merupakan movement quartz Miyota yang banyak digunakan oleh banyak jenama. Kalau rosak, mudah nak cari ganti. Namun usah khuartir kerana movement Miyota sudah terbukti reliable. Tengok saja jam ini, aku rasa umurnya menyamai Boy London lama aku, namun masih mengatur waktu dengan baik & movementnya juga sangat bersih..... Ini hanya pandangan aku saja.....


Jam ini didatangkan dengan tali original. Ianya masih baik & masih boleh dipakai tanpa perlu risau terputus. Kualiti buatannya sangat baik, utuh & tiada benang yang tertanggal. Trademark jam mereka selain design casing & dial, terletak juga pada talinya. 


Satu kelainan dirasakan apabila menyarungkan jam yang bernostalgia & kini ianya original. Kadang kala aku memakainya ke tempat kerja. Walau aku rasa tak sesuai digayakan dengan baju batik.... hantam sajalah labu...... Seni? Memakai jam bernostalgia begini, aku sudah tidak pentingkan ianya sesuai atau tidak pada situasi & penampilan tu..... kepuasan memakainya lebih penting dari perkara lain.... sekurang-kurangnya pada aku sendiri.....


Leia Mais…

Sunday, July 10, 2011

Imbauan perjalanan Dunia Jam bersama rakan-rakan.... bahagian terakhir...

Rupa baru dengan semangat baru.. ekekeke...
Selepas perjumpaan H4U, aku berpeluang berjumpa beberapa rakan-rakan beberapa bulan selepas itu. Kebetulan aku ada kursus di KL, dapatlah aku berjumpa dengan beberapa orang rakan yang menanti kedatangan aku ke sana. Terima kasih kepada saudara Nazri & isteri kerana sanggup meluangkan masa & belanja aku & isteri makan malam tu... Dapat juga aku hilangkan kerinduan aku kat Danny.. Haha...


Sehari selepas berjumpa Nazri, saudara Pecinta Masa baru tahu kedatangan aku di KL menerusi update blog aku. Terus saja beliau hubungi aku untuk berjumpa di hotel yang susah nak cari sampai sesat jadinya..... Haha...

Beliau datang dengan koleksi yang sangatlah aku kagumi.. Ini hanya sebahagian saja. Ada beberapa lagi jam yang dibawanya. Koleksi Omeganya membuatkan aku telan air liur.... Jam idaman aku turut dibawanya.. Racun berbisa.... Huhu....


Aku akui jam-jam Omega sangat berbaloi untuk dimiliki.. Bertuahlah mereka yang berpeluang memilikinya!


Hari terakhir aku di KL, aku berpeluang untuk berjumpa lagi dengan saudara Nazri & She-D. Terima kasih She-D kerana sanggup datang jemput aku di KLCC dengan moto. Sempoilah bro!

Kami jumpa di Pelita Nasi Kandar berdekatan dengan KLCC. Sembang panjang kami pagi tu sambil pekena roti canai... Gambar kenangan turut diabadikan....



Insyaallah akan ada lagi pertemuan seumpama itu lagi... Segala kenangan manis tidak dapat dilupakan. 

Adakah H4U ke-2 akan diadakan lagi?


Leia Mais…

Tuesday, July 5, 2011

Imbauan perjalanan Dunia Jam sehari selepas H4U

Sehari selepas persidangan H4U, aku masih meluangkan masa bersama kawan-kawan di KL. Di kesempatan itu, aku gunakan untuk ke Amcorp Mall & Starhill Gallery yang kebetulan sedang mengadakan pameran jam antarabangsa.

Aku, Nazri & Shidi memang telah berhajat untuk ke sana. Dalam perjalanan kami singgah ke Amcorp Mall bertemu rakan-rakan & tengok-tengok jam yang di jual seller di situ. Pertemuan kami pertama adalah dengan saudara Adrian Lee yang selama ini hanya berbicara di Facebook... kali ini kami bertemu secara berdepan. Hari sudah lewat tengah hari, aku & Nazri ke Starhill untuk bertemu saudara Shidi.



Aku dihadiahkan topi Graham oleh Shidi... terkejut aku. Terima kasih bro! Shidi yang telah biasa ke situ menjadi pemandu pelancong aku...


Pelbagai jam berjenama mewah dipamerkan. Harga yang menggunung tinggi tidak melunturkan semangat aku untuk lebih cuba mengenali jam mewah ini. Lagi mahal, lagi la aku nak ambil tahu & nak pegang...  Seller juga tidak lokek mengeluarkan jam puluhan ribu ringgit untuk tatapan aku.


Pelbagai jenama mewah ini tidak langsung mempunyai jenama Jepun. Hampir keseluruhannya adalah buatan Swiss. 


Aku juga berpeluang melihat jam paling mahal di galeri ini yang berharga lebih RM1 juta. Aku sangat-sangat berterima kasih kepada saudara Nazri & Shidi kerana tidak jemu melayan aku seharian di situ. 

Pengalaman ini cukup berharga untuk aku yang jarang sekali ke Kuala Lumpur sekarang & jarang sekali mendapat peluang keemasan begini....


......episod imbauan hampir melabuhkan tirainya... ikuti cerita selanjutnya....

Leia Mais…

Sunday, July 3, 2011

Imbauan perjalanan Dunia Jam semasa perjumpaan HOROLOGY FOR UNITY -----> Masihkah kau ingat?

Gambar pinjam dari www.shahkasahias.com

Hari yang dinantikan berkunjung tiba... aku semakin berdebar-debar menyaksikan sorang demi sorang peserta hadir... Restoran D Dusun Pinggiran Putra, Putrajaya merupakan lokasi pilihan H4U pertama ini. Tempat perjumpaan tidak di war-warkan secara terbuka dalam blog untuk keselamatan. Hanya mereka yang berdaftar sahaja akan diberikan alamat perjumpaan. Restoran yang beroperasi pada waktu malam ini merupakan pilihan terbaik walaupun ramai juga yang sesat jalan. 


Sorang demi sorang peserta hadir dengan semangat H4U. Semuanya datang dengan semangat yang berkobar-kobar bersama t-shirt H4U yang dibuat khas itu. Kemesraan yang wujud sebelum ini hanya di alam maya, kini dieratkan lagi dalam perjumpaan ini.


Pelbagai jam dipersembahkan dalam upacara yang julung kalinya diadakan ini...


 Berpinau mata menyaksikan keindahan setiap utas jam tangan yang dibawa peserta...


Informasi bertukar, idea dilontarkan & pendapat serta jual beli juga berlaku...


 Pelbagai jam Swiss pelbagai jenama & harga disaksikan peserta...


 Model-model rare Seiko turut ditayangkan....


 Banyak model-model rare yang belum pernah disaksikan ditonjolkan pada hari itu...


 Pelbagai gelagat & teletah rakan-rakan dapat dilihat...


 Upacara kemuncak merupakan cabutan bertuah yang hadiahnya disponsor oleh pihak penganjur sendiri. Mungkin jika H4U akan datang, ada pihak & badan-badan besar dapat menjadi sponsor & hadiah mungkin lebih lumayan... insyaallah...


Kenangan abadi..... HOROLOGY FOR UNITY pertama..... Masihkah kau ingat?

Masih adakah harapan untuk H4U kedua diwujudkan?


Kisah panjang lebar boleh dibaca pada LINK INI.


.... episod seterusnya selepas ini....

Leia Mais…

Wednesday, June 29, 2011

Imbauan perjalanan Dunia Jam merealisasikan permintaan....

 Dulu aku sering berjumpa dengan kawan-kawan jam di utara. Bila jumpa kawan-kawan ni, kamera memang tak lepas... Aku memang akan bawa untuk ambil gambar. Jadi selalu jugalah aku masukkan gambar-gambar perjumpaan dalam blog. Mungkin satu 'pembakaran' terbuka... lalu telah menyebabkan permintaan untuk berjumpa aku & membuat perjumpaan dengan rakan-rakan di sebelah selatan....

Idea tercetus untuk cuba merealisasikan perjumpaan. Tanpa pengalaman, aku buat undian dalam blog & beberapa kali ia dilakukan untuk aku membuat keputusan terbaik pemilihan tempat & tarikh yang sesuai. Ia dilakukan beberapa bulan & hampir setahun sebenarnya... Tapi ramai masih tak perasan tentang perjumpaan ini walau telah digembar gembur dalam blog ini hampir setahun lamanya. Ramai juga yang hubungi aku di saat akhir pasal perjumpaan ini. 

Aku rasa keseorangan kerana tiada sapa yang ingin membantu aku.. Permintaan suruh buat banyak tapi yang nak tolong tiada... Sudah!!!.. Mana boleh buat sorang kalau nak buat besar-besaran. Mujur saudara Hassan DetikDuaBelas, saudara Razi TheTickTheTick & saudara Nazri TimeAsIs hadir membantu aku.... terima kasih kalian!


Tagline hasil cetusan idea saudara Razi dipilih & akan digunapakai sampai bila-bila. Saudara Hassan tampil dengan design logo H4U yang cukup kreatif. Tarikh keramat 4 Disember 2010 dipilih kerana dirasakan paling sesuai & mempunyai jangkamasa yang lama untuk rakan-rakan dari jauh memohon cuti.


Beberapa design t-shirt saudara Hassan email aku & penganjur lain untuk penilaian. Bahagian depan t-shirt dicetakkan logo & tagline H4U. Logo itu simbolik dengan rupa jam, dengan waktu perjumpaan pukul 2 petang, tarikh serta tempat dirangkumkan dalam satu logo. Ringkas, tepat, unik & cukup kreatif! Bahagian belakang t-shirt pula dicetak pula blog-blog jam di Malaysia. Walaupun ada diantara blogger yang dicetak itu tidak pernah berkawan & berhubung dengan kami pun, kami tetap letakkan juga & mohon maaf kepada beberapa blogger yang tertinggal kerana t-shirt sudah pun dicetak sebelum ada yang menghubungi kami di saat akhir.


3 jenis warna t-shirt dicetak dengan 3 kelainan di mana t-shirt hitam itu adalah glow in the dark seperti lume jam.

Saban hari, peserta semakin meningkat & tempahan t-shirt juga meningkat. Tiada apa yang aku harapkan agar perjumpaan ini berjaya.. Maklumlah ini pertama kali aku anjurkan perjumpaan besar begini. Menurut kata saudara Razi lagi, wartawan akhbar akan hadir membuat liputan kelak.... kita tunggu sehingga perjumpaan tiba.....

Ikuti kisah selanjut mengenai perjumpaan ini di bawah label 




 Pada 2 Oktober 2010 lebih kurang 2 bulan sebelum perjumpaan H4U, aku berpeluang bertemu dengan beberapa orang blogger jam di utara. Yang hadir cuma Cikgu Razmizan KoleksiQistina & Cikgu Man Pagol JamBahari. Manakala Cikgu Lotfee JamOtai & saudara Fitri DabuDabi tak dapat hadir...


 Banyak jam dipersembahkan pada hari tersebut & ini merupakan antara jam tersebut.


 Selebriti pilihan pada aku ketika tu adalah Tudor Submariner ini.


Hampir sama dengan abangnya Rolex...


Kurang seminggu sebelum perjumpaan H4U, aku sempat bertemu dengan 2 orang rakan yang bakal hadir perjumpaan nanti di rumah mereka di Johor. Perjumpaan serampang dua mata yang merupakan kali pertama bertemu ini, bermula dari petang telah berlanjutan hingga lewat malam. Jika sebelum ini hanya berkenalan & bersembang melalui Facebook, bila dah kali pertama bertemu.. macam-macamlah cerita keluar & sillaturrahim dapat dieratkan...


.... debaran makin terasa..... Ikuti kisah selanjutnya....

Leia Mais…

Saturday, June 25, 2011

Imbauan perjalanan Dunia Jam mencuba sesuatu...

Selain memberikan informasi, aku juga cuba untuk menyampaikan kerja-kerja Do It Yourself (DIY) yang kita boleh lakukan sendiri. Bukan saja jimatkan wang, malah suatu keseronokan 'bermain' jam. Thrill... Antara kerja DIY terawal yang aku pernah lakukan ialah polish jam. Aku sukakan jam yang cantik tanpa calar.... Kalau orang lain tak kisah jam calar balar... tapi tidak untuk aku... Jika jam tercalar, hati aku juga tercalar.. haha... 

Untuk itu, bermulalah projek pertama untuk aku mencari bahan & alat yang sesuai.. Namun untuk banyak projek yang aku lakukan & cerita dalam blog, 'harga' yang aku terima untuk mendapatkan pengalaman itu sungguh tinggi. Banyak duit aku habis untuk tujuan itu yang mana banyak bahan yang aku beli khas untuk polish jam boleh menggunakan bahan lain yang lebih murah... Dah lama beli baru jumpa kaedah lain.. takpalah... Sekurang-kurangnya aku dapat sampaikan pula dalam blog supaya kawan-kawan lain tak buang duit banyak.


Seiko 5 ini mempunyai banyak calar di sekeliling casing. Aku gunakan autosol untuk bahagian polished finishing & berus umpama berus pinggan yang aku beli mahal tu untuk bahagian brushed finishing.


Inilah hasilnya, Aku sangat berpuas hati dengan hasilnya menggunakan bahan-bahan yang aku beli itu.


Selain itu aku juga sampaikan cara-cara untuk 'potong' tali jam. Kebiasaan aku selalu buat di kedai jam. Sambil tukang jam buat, aku perhati cara dia buat. Dah berkali-kali tengok, aku terasa nak buat sendiri pulak.... Eksperimen bermula & 2 kali aku sampaikan dalam blog menggunakan alat yang tak lengkap & yang terkemudian aku buat semula menggunakan alat yang lengkap.


Blog-blog terawal seperti Jamlama, Jamkoleksi, Classicmalaya & Irhomdeys telah membangkitkan semangat aku lagi untuk belajar mengenai movement jam. Komplikasi movement yang berbeza pada setiap jam yang berbeza membuatkan aku terpegun akan kecantikan & komplikasi movement itu walau aku tak faham & tahu pun nama-nama setiap bahagian itu.... Disabitkan itu, aku mula belajar mengenal satu persatu bahagian.

Tengok saudara Ijan Jamlama buka movement & letak atas holder buat aku tertanya-tanya bagaimana beliau buat. Aku mula cari jalan & belajar dari sumber-sumber yang berkaitan & aku buat pula... Mungkin apa yang akan disampaikkan di blog akan mencetus minat pembaca untuk buat sendiri & mungkin kebetulan ada pembaca sedang mencari maklumat tentang kaedahnya tahu. Sekurang-kurangnya cara asas yang aku cerita dalam blog boleh membantu.


Jam Timex chronograph aku kadang kala 'lari' kedudukan jarum saat & register. Tak tepat pukul 12... Aku mula terfikir... "Rosakkah jam aku? Atau perlu aku beli jam baru?"... bijaknya alasan aku....

Aku bawa Timex tu kedai untuk check... Sambil sembang dengan seller, tiba-tiba dengar "SIAP!".... Uih! Tak sampai 10 saat dah siap!? Terkejut aku... Aku pun tanya seller... 'Mamu' yang sangat dikenali oleh kawan-kawan jam di utara... Mamu ajar caranya... Senang saja rupanya.. Tipah tertipu... Info baru aku dapat! Jadi aku sampaikan pula dalam blog dengan beberapa contoh jam chronograph quartz yang ada pada aku ketika tu. Apa yang aku sampaikan pada blog ini merupakan satu ilmu yang aku dapat secara langsung, tidak langsung atau dari pengalaman sendiri... try & error... & aku pegang kata-kata practice make perfect!


Casio Databank merupakan model yang sangat aku minati. Gambar kiri atas.... Jam yang calar balar tu akibat aku kemalangan moto... yang sebelahnya itu, jam yang beli dari Maidyn.. Tak sampai sebulan rosak... Aku buat projek tukar movement pada casing yang elok.. Nampaknya berjaya.. Seronok juga...


Ramai yang tidak tahu bahawa jam G-Shock yang rosak/pecah bodynya boleh ditukar... Tak kisah kalau kita tak tahu pasal seller kedai jam berpuluh tahun jual pun tak tahu body dia boleh tukar... Adoi!!!!....

Casio G-Shock DW-5600 Foxfire jadi jam projek seterusnya... Body/bezel baru aku beli dari eBay & tali aftermarket beli di Penang.... Selepas tukar body baru, aku juga buat projek reverse dial. Pada mulanya tak berjaya semasa tulisan aku dalam blog dulu... Tapi selepas itu aku buat semula... Berjaya! Tapi aku tak cerita kat blog... ada beberapa lagi projek DIY yang aku buat tapi tak cerita dalam blog.


Melalui sifu-sifu, aku juga belajar mengenai cara nak servis jam. Alat-alat aku beli sedikit demi sedikit & apa yang ada bolehlah cuba buat sendiri. Ilmu yang aku dapat aku cuba praktikkan walau tak 'grad' lagi.. Movement kunci 1 jewel aku gunakan... Movement kunci ringkas & mudah. Komponen tak banyak & kesilapan dapat dikurangkan. Mudah difahami & memahami kedudukan, fungsi serta tujuan setiap komponen diletakkan di tempat tertentu.


Sifu aku juga hadiahkan aku satu Seiko 5 untuk aku lenjan pula. Menurut beliau, kena buka movement kunci & auto untuk lebih mahir. Walaupun tidaklah pandai mana, aku cuba buka movement kunci ini & pasang balik. Setiap langkah aku ambil gambar untuk dibuat rujukan semula. Kalau terlupa, boleh rujuk gambar balik.


Setiap kompenen dibuka & dipasang balik. Kebetulan movement ini memang dah 'jem'... Jadi aku cuba baiki sendiri. Lepas buka, cuci & servis setiap komponen, ianya dipasang semula satu persatu sampailah ke bahagian terakhir iaitu pemasangan escapement.


Setelah escapement dipasang.... alangkah gembiranya movement yang jem sebelum ni kembali hidup seperti sedia kala... Timing diadjust pada stud di escapement. Jika movement jadi laju atau perlahan, adjust stud samada ke positif (+) atau negatif (-). Namun jika kedudukan stud telah sampai maksimum & timing masih tak betul, kemungkinan besar hair spring bermasalah. Satu masalah besar! Mungkin otai-otai jam boleh ulas lebih lanjut mengenainya..... Ilmu didadaku belum mencukupi untuk menghurainya dengan lengkap...


Alang-alang dah buka movement, setiap bahagian aku tengok & belajar fungsinya. Dapat jugalah aku fahami apa yang berlaku ketika crown ditarik... apa yang berlaku apabila crown diputarkan, komponen apa yang terlibat & sebagainya. Ini hanya movement ringkas... Kalau yang kompleks seperti chronograph, makin bertambah pening aku... Atas sebab itu jugalah mengapa harga/kos membaikpulih movement chronograph mahal...


Ini hanyalah serba ringkas apa yang aku pernah buat.. ada banyak lagi yang aku tak ceritakan. Cukup sajalah setakat ini.... Cerita otai-otai jam di luar sana jauh lebih menarik & banyak cerita mereka yang buat aku kagum.


Perjalanan Dunia Jam masih belum terhenti... ikuti cerita selanjutnya....

Leia Mais…