Showing posts with label Timex. Show all posts
Showing posts with label Timex. Show all posts

Saturday, September 18, 2010

Timex military... antara jam perang terawal....

Tahun 1940 menyaksikan fenomena letusan jam military di pasaran dunia. Mungkin akibat perang dunia yang meletus pada zaman itu, menyebabkan hampir keseluruhan pembuat jam turut ikut berperang dengan penghasilan model perang (military). Timex antara jenama terawal yang menghasilkannya.

Bila jam perang datang mengganggu, komando semut datang mempertahankan sarangnya.... Timex mengeluarkan jam-jam yang cukup berpatutan harganya pada waktu itu disamping menawarkan ketahanan yang cukup membanggakan dengan pelbagai ujian lasak/ketahanan terhadapnya & diadaptasikan ke dalam siaran televisyen di zaman 1960an.



Suatu ketika dulu, aku pernah ada model military dari Timex.... tapi waktu itu aku tidak tahu halatuju & minat pada ketika itu & ambil keputusan untuk menjualnya.... Lepas jual terasa menyesal pula. Banyak sumber & carian dilakukan namun tak berjaya.... beberapa bulan lalu, aku telah berjaya mendapatkannya semula menerusi Mudah.my. Kondisi jam itu masih berkeadaan baik & dibeli tanpa tali dibekalkan.



Inilah jam aku dahulu. Bentuk casing berlainan dari yang baru ini namun jiwanya sama.



Tiada perbezaan melainkan design casing saja. Jarumnya sama & movementnya juga sama. Casing base metal ini masih berkeadaan baik & tiada kesan krom tertanggal padanya. Saiznya juga tidak besar. Bicara yang mudah ianya adalah 'boy size'.



Dial 24 jam ini merupakan satu ciri-ciri jam military. Jarum saat yang kemerahan itu memberikan kontra yang jelas & sesuai dengan rupanya. Dial jam military kebanyakan model tidak berbeza antara satu sama lain.



Berbeza dengan model yang pernah aku miliki dulu, kini tiada lagi tulisan 'Great Britain' padanya. I really miss that.....



Crown dapat diputar dengan mudah & proses mengunci movementnya adalah pasti tanpa ragu-ragu.



Casingnya kini sedikit bersegi berbanding yang lama. Dari pandangan ini nampak seperti cermin akriliknya bercalar balar. Namun calarannya itu tidak jelas dari pandangan atas & ianya juga adalah calaran di bahagian dalam & bukannya di luar. Kena buka & polish di bahagian dalam.



Hanya caseback sahaja yang diperbuat dari stainless steel. Caseback jenis snap-on & hanya memerlukan pisau untuk membukanya. Power reserve telah teruji selama 41 jam 56 minit.



Nampak janggal juga sebenarnya sebab saiznya kecil. Namun itulah saiz jam zaman dulu. Dengan zaman sekarang, saiz ini adalah untuk perempuan. Bagi peminat jam, sudah pasti ia tidak begitu menjadi masalah sebab memakainya kerana sukakannya, sejarahnya, rarity-nya. Kalau nak ikutkan, model-model art deco zaman dulu jauh lebih kecil dari saiz Timex ini. Ia adalah trend pada zaman itu yang kini menjadi sejarah. Zaman berubah, manusia semua nak benda-benda besar sekarang....



Tali yang dikenakan padanya adalah dari Seiko. Aku sukakan tali ini sebab sisipan tali yang diperbuat dari stainless steel. Dengan saiz kanvas yang agak besar & kasar, terasa betul militarynya tu. Ada pelbagai lagi jenis tali military Seiko & ia bakal diceritakan di episod akan datang.

Syukur kerana aku dapat bertemu kembali dengan jam yang pernah masuk ke dalam koleksi aku. Termeterai juga hasrat untuk menebus kekesalan menjualnya dulu. Kini ia menjadi salah satu koleksi bersejarah buat aku...

Leia Mais…

Thursday, August 19, 2010

Timex Ironman.... suatu nostalgia 16 tahun lalu.....


Timex merupakan suatu jenama dari US. Jenama yang cukup lama ini bukan hanya mengeluarkan jam-jam mekanikal, malah pertengahan tahun 1980an mereka mula mengeluarkan jam digital dalam line-up siri keluaran mereka.

Jam-jam Timex bukan saja sangat berpatutan harganya malah terbukti lasak tak kira samada mekanikal ataupun quartz. Tahun 1960an mereka sudah mula membuat iklan & ujian di TV sebagai bukti ketahanan & juga sebagai salah satu cara pemasaran mereka.




Tahun 1980an apabila teknologi quartz yang diterajui Seiko sudah mendapat tempat di hati umat manusia seluruh dunia, mereka juga turut mengeluarkan pelbagai model quartz sebagai salah satu jenama pilihan pengguna yang mahukan kelainan, ketahanan dengan harga yang berpatutan.





Timex Ironman Triathlon mempunyai pelbagai model. Ia merupakan siri model yang sangat popular diseluruh dunia. Bermula dari tahun 1980an, ianya masih popular hingga ke hari ini. Sukan Ironman Triathlon telah melonjakkan nama mereka di serata dunia & menjadi pilihan utama untuk sukan berprestij itu. Penggunaan nama Triathlon secara rasmi adalah dengan kerjasama dengan pihak penganjur sukan Ironman Triathlon.... sukan yang memerlukan peserta berenang, berlari & berbasikal...... 3 sukan dalam 1. Kerjasama itu telah berjaya menghasilkan jam yang spesifik dibuat untuk sukan tersebut di awal tahun 1980an.

Penghasilan model Ironman pula adalah berdasarkan model Triathlon. Model Ironman bukan sahaja mempunyai design yang berbeza malah ketahanan kalis air turut dipertingkatkan dari 50m ke 100m. Fungsinya hampir sama & ia juga dibuat khas untuk sukan Ironman Thriathlon.

Untuk melihat model terbaru Timex Ironman, bolehlah layari web di bawah:



Timex Ironman Triathlon Indiglo seperti ini merupakan model terawal siri Timexdengan teknologi lampu Indiglo. Ia mula dikeluarkan pada tahun 1992. Design ini telah dipatenkan & tiada jenama lagi yang boleh meniru bentuk begini. Design Timex Ironman Trialthlon Indiglo ini mempunyai fungsi & design yang sama seperti model lama Triathlon(seperti dalam iklan) yang telah dikeluarkan pada tahun 1986. Tahun 1992, model Timex Ironman Triathlon dikeluarkan dengan peningkatan teknologi lampu Indiglo padanya.

Tahun 1994 semasa aku di tingkatan 2, senior sekolah aku pakai jam ni. Punyalah aku admire jam dia masa tu (rentetan cerita dari PENGENALAN). Masa tu model ni baru saja masuk ke pasaran kita. Iklan jam ni juga banyak didapati di majalah & kalau tak salah, iklan di TV pun ada. Model dalam gambar ini kalau tak salah aku bukanlah model terawal tu, sebab LCDnya berlainan & tidak seperti model klasiknya seperti dalam iklan di atas.

Fungsi yang ditawarkannya sememangnya khas untuk sukan tersebut. Yang paling menarik perhatian adalah lampunya. Di kala Casio masih lagi menggunakan lampu LED, mereka telah menggunakan teknologi lampu Indiglo. Setelah keluaran pertama Timex itu, Casio'menjawab' dengan lampu illuminator.



Teknologi lampu Indiglo bukan saja digunakan oleh Timex, malah turut digunakan oleh jenama Guess. Dimana sebenarnya jam Guess dihasilkan oleh Timex. Banyak lagi jenama turut dihasilkan oleh Timex dibawah Timex Group. Penggunaan teknologi ini bermula pada awal tahun 1992. Timex dengan kerjasama Indiglo Corporation menghasilkan model Timex Indiglo yang mana ia hanya dilesenkan kepada Timex. Casio pula keluar selepas itu pada tahun 1993 dengan model pertama Casio DEP-610 sebagai model pertama Casio dengan lampu illuminator.



Beginilah rupa lampu Indiglo yang terang & merupakan suatu kelebihan yang tidak dimiliki oleh jenama lain yang kebiasaan malap lampunya semasa tahun keluarannya. Keseluruhan LCD bercahaya. Kini kita boleh beli teknologi jam berlampu begini dengan harga serendah di bawah RM50 saja....


Berikut adalah iklan terawal Timex Indiglo....






Model yang akan dipaparkan ini adalah rentetan keluaran terawal model Ironman Triathlon. Kalau tak salah, ia dikeluarkan pada tahun 1994. Mempunyai fungsi yang sama, ia hanya berbeza dari segi saiz (midsize) & design saja. Boleh bandingkan dengan gambar di atas. Lihat saja LCDnya. Ini adalah paparan LCD seperti model old schoolnya. Jam ini aku terjumpa semasa membuat bancian di kedai-kedai jam sekitar Sungai Petani.



Ia mampunyai design yang ringkas, namun tampak futuristic. Aku hanya mampu melihatnya di display kedai jam & di tangan senior aku tu. Syok juga tengok dia pasang lampu Indiglo jam tu. Alangkah tak tertahan jiwa raga pada ketika itu kerana tidak mempunyai sumber kewangan melainkan mengharapkan abah atau mak belikan..... budak sekolah tingkatan 2 masa tu, duit nak dapat mana.... bukannya orang kaya.... duit poket pun 50sen ja sehari berbanding budak sekolah sekarang RM3 yang tu pun masih tak cukup.... Model ini aku masih admire hingga ke hari ini..... jawapannya pula aku terima semasa di tingkatan 4 setelah bersabar 2 tahun dengan hadiah model Ironman Triathlon Shock Resist dari abah.



Model ini tidak jauh berbeza dengan model Ironman Triathlon. Selain warnanya yang sedikit kelabu, casingnya dirasakan sedikit berbeza berbanding Casio. Rasa lebih 'keras'. Namun aku tidak berapa suka tulisan pada bezelnya yang hanya diprinted & bukannya engraving.... sebab dalam penggunaan jangka panjang, geseran boleh menyebabkan tulisannya tertanggal & aku lihat banyak sekali model terawal ini telah kehilangan tulisannya & seterusnya mencacatkan rupanya itu. Namun tidak mengapa kerana 'kelemahan' itu mereka telah perbaiki pada model-model terkini.



8 Lap Memory merupakan suatu keistimewaan kepada fungsi jam ini kerana boleh mencatat & merekodkan lap sebanyak 8 bacaan. Mungkin ia mencukupi untuk sukan itu, namun model berikutnya mempunyai memory yang jauh lebih banyak.



Selain fungsi masa, ia juga mempunyai fungsi chronograph (8 memori), timer (3 jenis kiraan masa) & alarm. Suatu yang buat aku suka pada model ini ialah LCDnya. Kebiasaan LCD jam digital adalah 'licin', namun tidak pada model ini yang nampak teksturnya.



Jam Timex quartz dikilangkan di Filipina. Manakala model automatik dihasilkan di kilang mereka di China bermula pada tahun 1995. Bukti bahawa design ini telah dipatenkan di US dicatatkan pada caseback. Informasi yang diperlukan lengkap tertera pada casebacknya.



Model ini mempunyai saiz midsize. Kalau tak salah, ia dibuat untuk saiz tangan perempuan.... tp aku pakai nampak anggun juga ya?



Timex Ironman Triathlon Shock Resist (kiri) merupakan model yang pernah dihadiahkan abah pada tahun 1996 (review mengenainya DI SINI). Pada ketika pembeliannya, model ini mendapat diskaun paling banyak pada ketika itu dengan 40%. Namun, model impian aku cuma diberi 20%. Lepas diskaun pun masih mahal lagi. Disebabkan harga model Shock Resist lebih murah & pada ketika itu, minat aku pada model Casio G-shock pun bermula, model Shock Resist ini dipilih sebagai gantian untuk kedua-dua model yang tak dapat dibeli.... jadi 2 dalam satulah....



Boleh lihat perbezaan saiznya. Saiz tak sama & tebal pun tak sama.



Design berbeza namun jantungnya sama saja. Fungsi juga sama. Bezel Shock Resist itu diperbuat dari getah. Dua-dua jam ni jarang aku pakai. Hanya dijadikan koleksi mengimbau kenangan lalu....

Satu lagi model nostalgia & kali ini dari jenama Timex sudah masuk ke dalam koleksi. Kemanisan nostalgia lalu telah membenarkan kejadian ini berlaku. Jam yang pernah memberikan kenangan manis sangat aku sayang. Walaupun tidak bermakna kepada orang lain, namun sangat bermakna kepada aku....

Leia Mais…

Thursday, July 2, 2009

Timex Ironman Triathlon

Jam ni merupakan jam nostalgia aku. Kalau baca dalam artikel pertama aku, aku ada cerita skit pasal jam ni. Tapi jam ni sebenarnya aku beli lain, sebab jam yang aku guna dulu dah kena kebas. Susah nak jumpa model ni balik. Aku kena order dari internet sebab model ni dah tak ada di Malaysia. Hanya model terbaru sahaja yang dikeluarkan sekarang.

Model ni aku guna masa aku tingkatan 4 (1996). Tahun 1999 jam ni kena kebas. Adoi la... Sayang sungguh jam ni pasal jam ni hadiah pemberian bapak aku & pada masa tu, inilah jam termahal aku pernah guna. Model ni dikeluarkan setelah Casio G-Shock berada dalam pasaran. Aku rasa Timex nak 'menjawab' Casio dengan memperkenalkan model ni. Tapi dari segi jam yang shock resistant, Casio G-Shock terbukti ketahanannya. Model Timex ni tidak popular di kalangan peminat jam.

Aku suka jam ni pasal teknologi lampunya (indiglo). Timex Ironman merupakan jam impian aku sejak aku tingkatan 2, masa mula-mula Timex Ironman Indiglo menembusi pasaran Malaysia. Sorang senior sekolah aku pakai jam ni. Punyalah gempak masa tu. Very-very jelous you know. Hahaha... Pantang jumpa, mesti aku ushar jam dia & suruh dia tekan lampu. Masa tu tak ada lagi jam yang punya lampu masa tu. Casio pun cuma pakai lam pu LED ja.

Masuk tingkatan 4, bapak aku hadiahkan Timex ni kat aku sebagai hadiah aku masuk asrama. Punyalah seronok. Lepas hilang jam tu, aku frust & hanya beli jam-jam murah Casio. Itupun beli kat Maidin, pasal bleh dapat harga 2 kali ganda murah dari kedai lain.

Sekarang ni, bila start nak kumpul jam balik... aku cari balik Timex ni. Akhirnya jumpa juga walau kena order dari internet. Model baru ni lain skit. Itupun hanya fizikalnya saja.

Timex Ironman Triathlon merupakan jam yang digunakan untuk sukan Ironman Triathlon yang amat popular di US. Berenang, berbasikal & berlari. Jam ni dibuat khas untuk tujuan tu & amat popular dikalangan atlet.


Casing lama berwarna gelap. Seingat aku, hijau tua. Talinya pula getah (talinya masih aku simpan sampai sekarang). Jam baru ni berwarna silver dengan tali nylon velcro.



Bila terkena cahaya, pada certain angle akan nampak display-nya berwarna hijau. Jam lama takda reflektif camni.


Itulah tali lamanya. Masih elok. Cuma getahnya sudah keras. Tak selesa bila pakai.



Bezel hitam sekeliling display tu diperbuat dari bahan getah. Tidak seperti Casio G-Shock, keseluruhan casing adalah getah. Spare-part pun banyak untuk G-Shock.


Salah satu ciri-ciri Timex Ironman, terdapat button pada bahagian atas jam untuk memudahkan menggunakannya ketika bersukan.




Cahaya lampu Indiglo.


Features:
  • Indiglo light
  • Shock resistant
  • Water resistant 200 meter
  • Alarm
  • Timer
  • Chronograph (8 lap memory)
  • Dual time


Leia Mais…

Friday, June 19, 2009

Timex


Timex merupakan salah satu jenama yang aku minat sejak dari zaman sekolah lagi. Banyak model-model Timex menarik minat aku. Ramai yang tidak tahu yang jenama ini merupakan salah satu jenama yang sudah tua. Lebih tua dari jenama Jepun Seiko & Orient.

Timex terkenal sebagai keluaran dari Amerika Syarikat. Timex Group B.V merupakan ibu kepada Timex Group USA yang berpusat di Middlebury, Connecticut. Ia bermula pada tahun 1854 sebagai Waterbury Clock dimana pada kurun ke-19 mereka dikenali sebagai "Switzerland of America" & mengeluarkan jam poket mekanikal yang murah pada 1880.


Jam Mickey Mouse yang pertama.


Semasa Perang Dunia 1, Waterbury memulakan pembuatan jam tangan, yang mana pada ketika itu sudah mula popular. Rentetan cerita ini bersangkut paut dengan artikel lepas. Pada tahun 1933 mereka mencatat sejarah apabila menciptakan jam Mickey Mouse pertam di bawah lesen Walt Disney. Ini dibuat di bawah jenama Ingersoll. Pada tahun 1879, syarikat ini memperkenalkan jam tangan yang dinamakan Timex untuk pasaran UK.


Iklan lama Timex

Jam tidak dijual di bawah nama Timex di US sehinggalah 1950. Untuk 3 dekad kemudian , jam Timex dijual melalui iklan-iklan yang menekankan ketahan dengan membuat ujian seperti "seksaan" kepada jam-jam mereka dengan slogan "It takes a licking & keep on ticking". Selepas itu, syarikat ini dikenali sebagai Timex Corporation dan kemudian ke Timex Group USA, Inc... dan sehingga kini sudah menjual lebih dari 1 billion jam di seluruh dunia. Wah! Suatu yang cukup mengagumkan untuk syarikat seperti ini.


Iklan torture Timex



Pada tahun 1970'an, syarikat ini mengalami kemerosotan yang teruk akibat kedatangan jam mekanikal murah dari Asia & juga dengan penciptaan jam digital quartz yang dicetuskan oleh syarikat Jepun.


Timex Sinclair 1000 merupakan produk keluaran mereka


Pada tahun 1980'an, dengan usaha sama dengan Sinclair Research Ltd, mereka memasuki perniagaan komputer dengan menjual komputer. Selepas jualan yang agak memberangsangakan, Timex Group membuat keputusan mereka tidak boleh bersaing dengan pasaran low-end yang sudah tepu & mereka pun menarik diri selepas itu.


Antara iklan mereka yang lain

Namun Timex Group mampu bertahan dengan cabaran yang mereka lalui pada tahun -tahun kemelesetan itu & kembali dengan kekuatan yang baru. Syarikat ini kekal dengan sebagai sebuah syarikat yang kukuh dari segi kewangan & pesaing yang kuat... dan jenama Timex kekal utuh. Pasaran utama mereka kekal di US & Kanada, walaupun Timex dijual di seluruh dunia sebagai sebuah jenama yang berjenama kukuh, reputasi yang hebat & berkualiti. Sebagai tambahan, Timex Group juga menjual beberapa jenama lain yang memasuki pasaran pelbagai segmen seperti Guess, Nautica, Ecko, Opex..... dan yang paling mengejutkan aku, mereka juga berjaya memasuki pasaran jam mewah dengan jenama Versace, Valentino & Ferragamo. Hmm... Ramai sebenarnya rasa Timex sebuah jenama cikai seperti Swatch. Sebenarnya di belakang syarikat ini, wujud sebuah 'permata' yang tinggi nilainya dari imej syarikat itu sendiri. Siapa sangka jam mewah pun berada dalam Timex Group.

Sekarang, produk Timex Group dihasilkan di Asia & Switzeland, yang menggunakan teknologi yang berkesinambungan dari teknologi yang dibangunkan di US & Jerman. Mereka mempunyai pusat operasi di beberapa negara di Eropah, Amerika & juga Asia. Hebat bukan Timex ni sebenarnya? Siapa sangka jenama ini mempunyai pelbagai jenama di bawahnya. Jenama di bawahnya sekarang lebih diminati dari jenama Timex sendiri.

Indiglo merupakan sebuah jenama Indiglo Corporation, yang dipunyai oleh Timex. Lampu electroluminescent yang dinamakan Indiglo diperkenalkan melalui Kmart pada tahun 1992 dalam siri Ironman. Teknologi ini dibandingkan dengan teknologi Illuminator yang diguna oleh Casio.... & Timex adalah pencetusnya kerana tidak ada jenama lain yang berani bersaing dengan mereka melainkan Casio untuk teknologi ini. Timex Indiglo merupakan jam kegilaan aku suatu ketika dahulu & masih meminatinya sehingga kini.


--------------------------------------------------------------------------------------


Timex Chronograph with Indiglo

Ini sebenarnya jam hantaran perkahwinan aku. Hehehe... Masa belajar dulu, teringin betul nak ada jam chronograph analog. Wife aku tahu yang aku minat jam chronograph & tahu aku juga minat jam yang ada lampu Indiglo, jadi dia belikan aku jam ni. Terima kasih sayang.... Ekekeke....



Jam ni aku pakai memang lasak. Sebenarnya jam ni dah bercalar balar, tapi aku berjaya polish balik. Nampak macam baru semula. Aku akan tunjukkan apa yang aku buat dalam artikel akan datang.


Stainless steel case & bracelet 'solid'

Sebenarnya bracelet bukan jenis solid. Bijak juga perekanya. Perhatikan bulatan merah tu. Nampakkan? Design seperti ni membuatkan bracelet nampak macam solid. Aku pun tertipu juga. Masa tengah polish jam ni, baru aku perasan. Hancur harapan! Hahaha... Patutlah ringan semacam je bracelet ni. Bijak sungguh depa buat.


Movement quartz yang cukup ringkas.


Design bracelet cukup cantik


Clasp jenis lock (push & release) dengan engraving Timex.



Tapi inilah sebab utama kenapa aku suka jam ni disamping fungsi chronograph-nya. Beginilah rupa dailnya dengan cahaya Indiglo. Hanya Timex (juga jenama dalam kumpulannya) yang mempunyai lampu seperti ini untuk jam analog.


Kini, Timex masih lagi mengeluarkan produk Indiglo mereka dengan pelbagai bentuk & siri. Harga untuk jam jenis ini tidak begitu mahal & mampu milik. Aku cari design jam aku ni sudah tidak wujud lagi. Cuma movement dengan dail yang sama tapi casing yang berlainan saja yang aku banyak jumpa. Untuk yang nak ubah selera, mungkin ada di antara model Timex boleh menjadi pilihan anda.

Leia Mais…