Suatu lagi kenangan yang masih wujud hingga kini ada dalam kotak ni. Takku sangka juga sebenarnya selama ini aku menyimpannya dalam kotak jam rupanya. Entah dari mana aku dapat pun aku dah tak ingat sebab umurnya lebih tua dari benda di dalamnya. Mungkin abah pernah pakai jam Enicar dulu.... Sebelumnya kotak ini aku gunakan untuk menyimpan koleksi pisau lipat aku. Lepas tu bertukar jadi showroom lain pula....
Bila buka, terbitlah isi dalamnya. Inilah suatu alat permainan aku suatu ketika dulu.... motor.... Yang menarik mengenainya... motor-motor itu dibuat sendiri oleh aku dari pemetik api...
Begini kisahnya....
Pada tahun 1990, bila mana waktu itu umur aku 10 tahun (darjah 5).... kawan sekelas bermain motor ni atas meja. Vrooom sana.... vrooom sini.... depan aku... Aku pun tertanya apakah ia? Dijawabnya motor pemetik api. Aku pun bertanya bagaimana nak buat. Kawan aku cerita dia buat sendiri. Suatu yang mengujakan waktu tu sebab dapat ilmu permainan baru. Aku pun mula mencari idea untuk membuatnya juga.
Pemetik api abah yang dah habis dijadikan mangsa. Caranya mudah saja. Cabut kepala 2 pemetik api. Gunakan 2 kepala itu & cantumkannya membentuk seperti motor. 'Batang' kepala pemetik api itu dicantumkan pula dengan getah. Jadilah ia motosikal ringkas. Aku takda gambar cara membuatnya sebab aku dah rasa malas nak buat semula benda tu. Jadi aku ceritakan sajalah & kenalah bayangkan sendiri.
Bila siap, aku pun turut bawa permainan baru aku tu ke kelas & vroom dengan kawan-kawan seperjuangan. Waktu tu, moto kami bogel saja. Entah macammana aku dapat idea untuk membuat body untuk motor aku ni. Mungkin disebabkan aku sukakan superbike idea itu datang. Idea tu turut aku kongsi dengan sahabatku Amar & Allahyarham Nazrin. Aku cari tin-tin minuman untuk dijadikan bahan body motor. Hampir setiap hari ada saja tin minuman yang kami cari. Tin alumunium yang menjadi pilihan sebab tinnya nipis, senang dipotong & senang dibentuk.
Disebabkan batang pemetik api di tengahnya panjang & mengganggu proses membuat body, aku cairkan dengan api & pendekkannya. Kalau dulu ikat dengan getah, kali ni aku lekatkan dengan gam UHU & gam kayu. Aku ubah idea original yang aku dapat & membuat modifikasi mengikut idea yang aku ada. Tin-tin minuman dipotong dengan gunting & dilekatkan dengan gam UHU pada pemetik api tu. Tin dibentuk & dipotong mengikut idea yang terlintas. Terasa macam designer motor pula sebab idea yang datang mencurah-curah. Rasanya motor kami 3 orang saja di Malaysia yang ada body macam ni. Ehehehe.... Dari kecik, aku suka buat benda sendiri & suka merekacipta sesuatu. Segala benda aku nak buat sendiri & basikal juga turut terima tempias dengan pelbagai inovasi. Ekekeke... Jiran-jiran sampai terasa aku akan jadi jurutera suatu hari nanti & aku pun dah tanam cita-cita nak jadi jurutera... Allah Maha Kuasa, lain yang aku jadi... Alhamdulillah....
Sekarang cuma ada 6 motor dalam simpanan. Dari zaman budak-budak aku dah meminati superbike, sedikit sebanyak design moto buatan sendiri ini mendapat ilham dari motosikal sebenar itu. Masa zaman belajar di universiti, cuba juga nak jadikan hobi kumpul model motosikal, tapi nampaknya tak berkembang minat tu. Cuma sempat kumpul 6 model saja.
Motor buatan sendiri ini ada yang aku buat untuk adik-adik & ada juga yang aku buat untuk anak saudara. Ada di antara motor ini juga aku telah menjumpainya semula di luar rumah atas tanah di sebalik celahan rumput. Entah apa yang adik aku buat dulu. Mungkin nak main motocross kot....
Kalau tak salah aku, inilah motor pertama buatan aku dengan body padanya. Diadaptasikan dari motosikal MotoGP 500cc Kevin Schwantz berdasarkan poster motosikalnya di dalam bilik.... Ia menjadi titik tolak dalam pembuatan motor seterusnya.
Segala aksesori pada motor ini semuanya diambil dari pemetik api. Stiker diambil dari pita pelekat video kaset VHS & stiker putih itu pula adalah loytape wayar abah.
Inilah motor yang aku jumpa atas tanah di luar rumah. Kesan tanah masih ada pada motor ni.
Moto ini diinspirasi oleh skuter. Sedaya upaya aku gubah tin alumunium itu supaya hampir menyerupai skuter. Motor ini dihadiahkan untuk adik bongsu aku...
Ini adalah motor favorite aku. Design dia aku suka & menjadi pilihan ketika bermain. Tempat penyandar belakang motor ni dah hilang.
Seingat aku, inilah motor pertama aku buat di rumah kawan. Aku buat moto ni di rumah Amar. Amar pun buat juga motor dengan design sendiri. Tak pasti samada Amar masih ada motor-motor rekaannya dulu.
Ini adalah salah satu lagi motor favorite aku. Spec motor ni aku bagi agak tinggi & adalah motor paling power & laju. Ada turbo tu...
Kalau dalam kapasiti, motor ni paling besar cc-nya & paling gemuk antara semua
.
Motor yang dibuat untuk adik juga. Inspirasi dari mana aku pun tak pasti. Main buat saja...
.
Ekzos ada 4. Penyandar belakang mungkin inspirasi dari Honda Goldwing.
.
Motor comel untuk adik kecilku lagi. Mungkin sebab motor yang satu lagi hilang (jumpa atas tanah tu), aku buat satu lagi motor untuknya.
Gaya yang ringkas & comel sangat sesuai untuk adikku yang juga comel... waktu tu dia baru berusia 4 tahun.... Nombor plet DC10 itu adalah inspirasi kapal terbang DC10 yang kami naik masa menetap di Sabah dulu.
Kehadiran motor-motor ini dalam hidup aku sedikit sebanyak telah mengubah hidup aku. Banyak kenangan yang tak dapat dilupakan & perangai aku dari dulu sangat sayangkan barang kepunyaan aku. Mungkin sebab tu aku masih menyimpan barang-barang yang aku ada sejak dari kecil lagi sampai sekarang.
Kenangan yang tak dapat dilupakan apabila kena marah dengan mak angkat (jiran belakang rumah) bila dia datang rumah kantoikan aku akibat dengar ketukan tin alumunium yang kuat dalam proses pembuatan motor lagenda ni. Wakakaka... Ponteng sekolah pagi tu dengan alasan sakit perut, tapi buat benda ni. Bila mak tau, bertambah hangin la dia....
Sedar atau tidak rupa-rupanya motor-motor ini dah berusia 20 tahun. Motor-motor buatan sendiri ini adalah permainan aku suatu ketika dulu & mungkin generasi sekarang tidak berpeluang merasai pengalaman & keseronokan seperti yang kami alami. Banyak kenangan yang tak dapat dilupakan bersama semua koleksi ini. Pernah juga aku buat showroom atas TV dengan meletakkan motor-motor ini bersama kotaknya. Disebabkan takut orang memegang & mengambil motor-motor itu, aku balut & bungkus dengan plastik jernih balut makanan. Kotak dibuka & motor disusun rapi... & plastik yang membalutinya membolehkan orang yang berkunjung melihat rekaan aku tu. Hahaha...
Kenangan yang tak dapat dilupakan juga bersama Allahyarham Nazrin yang merupakan kawan sepermainan, jiran & salah sorang kawan yang turut terlibat dalam pembikinan motor pemetik api ni. Motor dialah yang paling ceria antara kami dengan warna yang cukup menarik. Seingat aku hanya kami 3 orang saja yang buat motor ini yang mempunyai body begini. Kenangan manis bersamanya tidak dapatku lupakan sampai akhir hayatku... Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepadanya....