Wednesday, December 30, 2009

Penyeri tahun baru

Setelah sekian lama menanti dengan penuh sabar... akhirnya sampai juga jam ni di tangan aku. Dibungkus dengan kemas membuatkan aku sayang nak buka begitu saja. Buka balutan dengan hati-hati sampai mendedahkan isi dalamnya yang memang sedia nampak...


Ini dia jam yang dinanti-nantikan aku & menjadi buruan aku sejak aku buat review... termakan racun sendiri... Ekekeke.... Ku sangkakan lambat lagi, mungkin tahun depan baru nak beli. Tapi rezeki aku awal skit. Alhamdulillah....

Seiko Sumo merupakan jam dalam production line Seiko Prospex JDM. Didatangkan khas dari Jepun & hanya untuk pasaran Jepun. Kepada yang terlepas, boleh baca review aku mengenai jam ni di sini. Bagi yang berminat, boleh dapatkan jam ni dari website Seiyajapan.com & beberapa web Jepun lain. Kalau ada rezeki ke Jepun, lagi eloklah. Boleh borong jam-jam JDM kat sana... Bahaya juga kalau aku pi.... Hmm...

Ataupun....

dari maklumat bro Detikduabelas, model Sumo boleh didapati di satu kedai jam di SS2, Petaling Jaya. Hanya ada beberapa lagi dengan stok terhad. Jam ni hanya di jual di kedai tu saja di Malaysia. Di jual dengan harga RM2.9k sebelum diskaun.


Selamat tahun baru aku ucapkan kepada semua rakan taulan, pembaca blog, saudara saudari yang tak jemu membaca blog aku. Moga tahun baru ni, kita lebih bersemangat untuk lebih berjaya dari tahun lepas.

Untuk tahun baru 2010, aku preview beberapa jam tahun baru aku. Tahun baru aku diserikan lagi dengan jam-jam ni. Ingatkan cuma ada 2 ja, tak sangka Sumo hadir pada waktu yang tepat. Dari kanan Casio Databank NOS, Seiko Sumo & satu jam misteri..... (kalau rajin, boleh kaji & teka jam apa... ada sedikit tips aku letak kat jam tu)..... jangan biarkan diri anda diselubungi misteriii........

Leia Mais…

Monday, December 28, 2009

The Seiko Institute of Horology Japan


Alangkah baiknya kalau di Malaysia ada institut/muzium macam ni. Muzium khas untuk jenama Seiko ini menempatkan semua model keluaran Seiko. Sejarah yang dipertontonkan di situ membolehkan peminat jam membuat rujukan & melihat model yang sukar dijumpai & sudahpun lenyap dari pasaran. Kalau yang tak minat jam pun boleh appreciate jika ada muzium begini.


Susunan jam sebegini memudahkan kita melihat & membuat perbandingan.

Kalau semua jam untuk dijual, rasanya habis semua jam orang beli.



Penggemar diver pasti nak dapatkan jam-jam tu.


Model yang sangat rare & cantik.





Masih indah dijamu mata.




Model Grand Seiko ini masih menjadi buruan peminat jam sedunia. Rasa teringin nak pergi muzium ni kalau ke Jepun. Manalah tau kot-kot ada rezeki...


Terima kasih kepada bro Ahmad Norman kerana memberi info & gambar mengenai institut ini. Jika kawan-kawan ada yang nak berkongsi maklumat, boleh email kat aku. Terima kasih.

Leia Mais…

Saturday, December 26, 2009

Seiko 4R15 Diver + Pilot

Seiko... suatu jenama untuk semua golongan. Sebab apa aku cakap camtu? Seiko boleh didapati dengan harga serendah Rm200 hinggalah ke Rm30k.... ada lagi mahal sebenarnya ni.... Setakat ini, hanya Seiko yang mampu berbuat demikian. Syarikat lain mungkin tak berani ataupun nak jaga standart kononnya. Mungkin sebab tu, ramai orang yang 'kurang' tahu pasal Seiko memandang rendah dengan jenama ni. Bila tengok... "alah, Seiko ja..." Mungkin ada yang pernah terserempak dengan orang camni, mungkin juga tidak. Pada yang pernah, berderau juga darah bila dengar. Sebagai collector, itu adalah asam garam & pasti jenama ini antara yang dibanggakan disebabkan sejarahnya, keberanian, heritage & juga inovasi mereka.

Seiko berani berbuat demikian sebab mereka bukan sahaja mensasarkan pasaran low-end sahaja malah juga high-end. Inovasi yang mereka buat bukan sahaja pada design ataupun fungsinya... tetapi yang lebih membanggakan sekali ialah enjinnya. Enjin basic mereka samada quartz atau automatik banyak dibeli oleh syarikat lain & digunakan pada jenama lain, contohnya Alba (anak syarikat Seiko), Chronoforce, Pulsar & lain-lain lagi.

Jika jenama Swiss yang menang brand yang kebanyakannya menggunakan ETA, Seiko berbangga dengan enjin in-house mereka & boleh dijual dengan harga yang jauh lebih murah dari jenama Swiss. Dari segi ketahanan, Seiko sudah membuktikan yang mereka adalah jaguh dalam liga ini. Mengapa?

--------------------------------

Mengikut sejarah....

Sebelum wujudnya Contrôle Officiel Suisse des Chronomètres, ataupun Official Swiss Chronometer Testing Institute (COSC).... pernah terdapat satu observatory testing & pertandingan yang mempunyai standart tinggi diadakan di Switzerland. Testing yang diadakan ini adalah cukup ketat & mempunyai standart yang lebih tinggi berbanding COSC sekarang. Apa yang berlaku pada ketika itu merupakan titik tolak kepada Seiko untuk terus maju ke depan & tidak tunduk dengan peraturan serta desakan dari mana-mana pihak yang pada aku bias. Sebab apa? Testing yang diadakan pada waktu itu sebenarnya telah berlangsung selama 23 tahun. Sebanyak 5093 jam yang dihantar untuk mendapat pengiktirafan & hanya 3253 sahaja yang lulus. Hanya beberapa manufacturer yang menyertainya & hanya Omega & Patek menyertainya setiap tahun. Peserta lain pula terdiri daripada Rolex, Zenith, Longines, Mavado, Vacheron & Constantin, Ulysse Nardin, Cyma & Favre-Leuba, bersama-sama watchmaker profesional (persendirian)...... sehinggalah Seiko hadir....

Hadirnya Seiko telah memberi tamparan yang cukup hebat kepada ke semua jenama Swiss pada ketika itu. Jenama-jenama hebat lain menghantar jam yang dibuat khas untuk pertandingan tersebut. Bukan calang-calang jam yang dihantar tu...
tetapi Seiko pula tidak menghasilkan jam khas untuk pertandingan tu, tetapi hanya menghantar jam yang telah dihasilkan & sudah pun dipasarkan iaitu Grand Seiko.

Hanya ada 2 jenama selama 23 tahun pertandingan itu diadakan menghantar enjin dengan nombor enjin pasaran, iaitu Seiko & Gerald Perregaux. Tetapi pertandingan ini dihentikan oleh Swiss pada tahun 1970an setelah 2 tahun berturut-turut Seiko memenanginya dengan jam dalam production line. Kemenangan oleh pihak Jepun ini telah memalukan jenama-jenama Swiss sehingga pihak Swiss sendiri menghentikan pertandingan yang telah berlangsung selama 23 tahun itu. Sekiranya Swiss meneruskan pertandingan ini, kemungkinan besar Seiko akan menang lagi. Jadi untuk tidak memalukan diri sendiri lagi sekali, mereka menghentikan terus pertandingan tu.



Grand Seiko SBGA029
Model diver Grand Seiko dengan enjin Spring Drive.


Suatu badan yang lebih besar & mempunyai standart yang lebih tinggi dari COSC adalah Astronomical Observatory Chronometer Standart. Seiko menghantar jam bersama-sama dengan jenama high-end di dunia.... Grand Seiko dihantar sekali lagi. Di akhir tahun 1960an... dari ke semua jam yang dihantar itu, hanya ada 2 jam sahaja yang lulus ujian itu. Dua sahaja!... iaitu Grand Seiko & Gerald Perregaux (jam yang dibuat khas untuk ujian itu).

Disebabkan syarikat Jepun ini mendominasi dunia horologi di akhir tahun 1960an & pertandingan yang telah diadakan sebelum itu (menang 2 tahun berturut-turut)... pada tahun 1972 beberapa pengeluar Swiss membuat permintaan supaya menghentikan pertandingan itu. Pada tahun 1973, COSC diwujudkan pula dengan ujian yang kurang ketat berbanding Astronomical Observatory Chronometer Standart.


Pemilihan
Seiko sebagai juara telah memalukan pengeluar yang lain kerana Seiko tidak perlu pun buat jam khas sebab jam pasaran mereka itu adalah memang jam yang terbaik. Seiko memang cukup yakin jam yang mereka hasilkan untuk pasaran itu & seolah-olah juga menunjukkan bahawa syarikat lain tidak yakin dengan jam yang mereka telah pasarkan & perlu buat jam khas untuk pertandingan itu pula. Dah buat pun, kalah dengan Seiko... Bukanlah nak 'menjatuhkan' syarikat yang lain & 'menaikkan' Seiko, tapi inilah yang belaku & ini adalah sejarahnya.

Kita tidak perlu khuartir & tercabar jika orang memperlekehkan jam
Seiko yang kita pakai kerana seungguhnya mereka tidak tahu akan sejarah ini & kemasyuran sebenar Seiko di kalangan watchmaker di seantero dunia. Dunia horologi amat berbangga dengan pencapaian Seiko yang telah menghasilkan jam yang terulung serta mampu dimiliki orang kebanyakan. Syarikat Swiss pun salute dengan Seiko.


--------------------------------------------


Jika jenama Swiss perlu mendapat pengiktirafan COSC untuk jam chronometer, Seiko pula tidak menghantar untuk mendapat pengiktirafan ini. Hanya jam yang layak sahaja boleh menggunakan tag chronometer pada jam mereka. Tapi tidak bagi Seiko... mereka mengeluarkan pengiktirafan mereka sendiri dimana mereka claim yang jam mereka mengikut pengiktirafan & standart yang sama malah lebih baik dari COSC. Sejarah telah membuktikan mereka benar. Jadi, buat apa perlu nak hantar check pula. Perdebatan hebat pada waktu itu menyaksikan ramai yang tidak setuju dengan Seiko. Tapi dasar pandang ke timur Jepun amat kuat & memberi impak yang besar dimana Seiko tidak langsung tunduk dengan desakan ini & meneruskan usaha mereka itu.

Pendapat aku, bagus juga Seiko berbuat demikian. Ini menunjukkan suatu daya usaha Seiko dalam penghasilan jam yang bermutu tinggi. Walaupun COSC tidak mengiktiraf jam Seiko, tapi pengiktirafan itu mereka diberi oleh mereka sendiri & diperolehi oleh pembeli di dunia. Ramai yang sukakan Grand Seiko yang setanding dengan Rolex pada ketika itu. Satu lagi, ia juga menunjukkan kuasa Jepun yang sebenar. Orang lain tidak boleh sewenang-wenangnya menyuruh atau menundukkan kuasa Asia & Jepun sudah membuktikan yang kuasa Asia tidak boleh di pandang enteng.


Seiko Kinetic Prepetual.
Jam ni mempunyai power reserve selama 4 tahun!


Inovasi yang Seiko hasilkan juga amat dibanggakan. Jika syarikat Swiss kebanyakannya hanya menggunakan enjin ETA, enjin in-house Seiko yang dihasilkan mampu menyaingi enjin ETA... malah Seiko juga menghasilkan enjin mekanikal yang orang lain tak terfikir sebelum ni. Jika yang lain masih dengan enjin mekanikal tradisional, Seiko keluar dengan enjin kinetik. Ramai juga keliru dengan automatik dengan kinetik. Ini akan aku ceritakan kemudian... Enjin kinetik mampu bertahan sehingga 4-7 hari jika cukup charged. Kini, dengan model Premier, power reserve model Premier Perpetual Calender mampu bertahan sehingga 4 tahun sekiranya tidak digunakan. Selain itu enjin high-end mereka seperti Grand Seiko memberikan suatu kayu pengukur yang kuat & seterusnya mereka menghasilkan pula enjin Spring Drive... gerakan jarum saat yang sweep & senyap.... the quiet revolution. Enjin high-end ini tidak dapat tidak, kena keluarkan lebih RM20k untuk memilikinya.


Seiko Spring Drive.




Seiko juga menghasilkan jam high-end untuk mereka yang bergelar jutawan. Credor Sonnerie dihasilkan bagi menyaingi & sebaris dengan jenama Swiss dalam kategori mewah. Mungkin ramai yang menyangka Seiko hanya menghasilkan jam dengan harga yang rendah. Mereka perlu tahu dengan lebih mendalam tentang setiap jenama sebelum smash tanpa fakta. Jam Credor Sonnerie ini hanya dijual USD$134,000 ja. Jika berkemanpuan... why not?

Sedikit sejarah ini mungkin boleh membuka mata mereka yang selama ini memandang rendah dengan jenama Jepun & berbangga pula dengan jenama lain... apatah lagi ada yang berbangga dengan jenama butik/fesyen. Jangan malu sekiranya anda sedang memakai Seiko di tangan sekarang. Walau berapa harganya sekali pun ia adalah jenama yang hebat & perlu berbangga dengannya. Tidak ada jenama Swiss yang mampu berbuat seperti Seiko.


------------------------------------------------------------------


Tahun 2009 menyaksikan dunia horologi diceriakan lagi dengan model terbaru diver Seiko. Dengan bentuk yang berlainan dari model diver sebelum ini & dengan design dail serta jarum yang sangat kemas memberikan kelainan yang amat ketara pada model ini. Hanya didatangkan dengan 1 warna dail pada ketika ini dengan 2 versi iaitu bertali getah ataupun bracelet. Bracelet nampak lebih kemas berbanding getah.... pada aku la... Mungkin lepas ni, Seiko akan keluarkan versi baru dengan pelbagai warna dail seperti model diver mereka sebeum ini jika sambutan memberangsangkan.


Gabungan ciri-ciri pilot pada jam ini amat ketara pada jarum & dail. Memandangkan aku juga suka jam pilot/military, ciri-ciri yang ada pada jam diver ni memberikan impak terbesar buat aku yang sukakan kedua-dua jenis jam tu. 2 in 1.... suatu yang jarang berlaku pada jam yang kita suka. Nampak macam model flieger tapi disaluti diver padanya.

Model yang belum diberi nama ini hanya dikenali sebagai 4R15, iaitu nombor enjin yang memacunya. Enjin ini merupakan enjin terbaru keluaran Seiko & mengikut spec ia mempunyai power reserve sehingga 50 jam.... suatu yang membanggakan & merupakan enjin automatik dengan power reserve paling lama dihasilkan Seiko pada jam diver mereka setakat ini... Tapi sayang.... tak boleh wind atau hack pun. Hanya model JDM sahaja yang memunyai enjin yang boleh hack & wind. Kalau boleh wind & hack, inilah jam yang paling perfect aku ada setakat ini. Diver + Pilot + hack/wind = PERFECT!!!

Memandangkan belum ada nama, aku nak bagi nama kat jam ni.... Diver + Pilot = Dilot.... Ok ka? Susah nak sebut 4R15.... terbelit lidah. Kena bagi satu nama yang mudah macam jam diver depa sebelum ni. Bagi la Sea Pilot ka, Army Dive ka, Black Army ka, Black Pilot ka..... pilih la yang mana suka buat masa ni.... Mungkin sebab baru lagi, Seiko belum bagi nama ataupun depa nak peminat yang bagi nama sendiri & mengguna pakai nama tu selepas ni. Entahlah... kita tunggu & lihat.


Yang aku perasan, dia punya font insert bazel tu hampir menyerupai datuk dia & juga model SKX Bond (yang masih dikeluarkan hingga hari ni). DNA datuknya diperturunkan & dimasukkan ke dalamnya. Patutlah handsome....


Seperti biasa luminous superluminova Seiko sangatlah memberangsangkan jiwa setiap kali melihatnya. Sangat terang & sama taraf seperti adik-beradiknya. Dari kiri Samurai, Monster & Dilot Sea Pilot Black Army Pilot of the Sea....


Crown yang sangat familiar inidiwarisi dari Monster & juga Sumo. Nampaknya Seiko masih sayangkan design crown sebegitu rupa. Crown skru ini sangat mudah diskru tanpa rasa bimbang tersenget & merosakkan tripnya. Pusingan crown sangat meyakinkan berbanding Epos aku yang kadang-kala senget semasa ingin skru ke dalam.


Pandangan sisi memberikan perspektif yang berlainan. Sekali tengok tak terasa ia adalah jam diver sebab bentuk begini tidak pernah dibuat oleh Seiko sebelum ni. Lubang pada lug masih dikekalkan ada pada jam divernya bagi memudahkan kita & finishing padanya tidak begitu 'bling' sampai menyakitkan jiwa-jiwa yang mamandang.


Lihat sahaja bentuk casingnya. Finishing brushed yang dibuat padanya halus & polished finishing pada bahagian bevel dibuat dengan cukup kemas. Bezel yang solid memberikan cengkaman yang bagus & tidak menyakitkan jari. Putaran bezel satu arah dengan 120 klik mengeluarkan bunyi klik yang sedap didengar & membuatkan aku suka untuk bermain-main dengannya. Syok sendiri... Hmmm....


Bracelet cukup solid memberikan keselesaan pada tangan. Nampak macam keseluruhan bracelet brush finishing, tapi Seiko tidak mahu nampak ia dibuat dengan begitu saja... sentuhan akhir polished finishing sebenarnya boleh dilihat pada bahagian sambungan link bracelet. Setiap sambungan tu adalah polished finishing. Design sambungan bracelet pada lug sangat ringkas tapi kemas. Design begini bukan sahaja mudah malah meyenangkan kita menukar tali. Jika tukar tali kulit tebal dengan jahitan benang putih di kelilingnya, memang jadi jam pilot teruslah. Nampak smart betul.


Extension clasp pada jam ni adalah sama seperti jam diver mereka sebelum ni. Ringkas & mudah dibuka.


Bentuk & design clasp juga sama seperti abang-abangnya yang lain. Langsung tak berubah. Yang berubah hanyalah saiznya. Ia lebih lebar dari yang lain.


Lambang tsunami kini lebih besar. Gerun pula aku tengok. Mungkin tak nak orang tersilap jam ni sebenarnya adalah diver & mungkin nak tunjukkan juga betapa divernya dia. Pandangan belakang memberikan pandangan yang cukup kemas & dibuat dengan cukup elok.


Cukup selesa & nampak sharp di tangan. Nampak cukup gagah & dari jauh pun boleh baca waktunya dengan saiz jarum yang cukup besar.


Dari sini nampak janggal skit, tapi hanya kalbu yang kenal manikam.


Aku tak pasti cermin hardlex ini ada coating anti-reflektif atau tak sebab dari banyak sisi, cermin jam ni seperti tidak kelihatan. Salah satu cara nak tau ada coating tu ada atau tidak adalah dengan melihat cerminnya dari banyak angle. Kalau nampak seolah-olah tiada cermin, coating tu ada padanya.


Crown guard nampak pelik skit. Tapi kalau semua jam sama je designnya, takda seni langsung. Kepelbagaian begini mencorakkan dunia kita. Kalau semua sama ja... balik-balik itu, balik-balik itu... alangkah bosannya dunia kita.

Setakat ini, aku belum pernah jumpa model terbaru ni di Utara melainkan di Penang. Itupun hanya kedai tertentu sahaja yang ada. Kedai yang besar pun tak jumpa jam ni & dengar katanya jam ni cukup laris. Di KL pun payah jumpa jam ni lagi. Mungkin sebab tu tak jumpa banyak & mungkin sebab tu kedai yang aku beli ni pun masih takda jam ni lepas aku beli tu. Stok baru takda walau beberapa kali aku ke kedai tu. Jam ni di jual di antara Rm1500-1800 mengikut jenis tali. Mungkin ada yang berkenan dengan jam tanpa nama ni.... rajin-rajinlah mencari...

Leia Mais…

Tuesday, December 22, 2009

Citizen Eagle 7


Citizen merupakan suatu jenama Jepun yang tidak asing lagi. Jenama yang sudah lama bertapak dalam dunia horologi ini bukan sahaja menghasilkan jam, malah alat elektronik juga dihasilkan, contohnya kalkulator. Tidak seperti watchmaker Jepun yang lain, enjin jam mereka sedikit berbeza dengan kelebihan winding pada setiap enjin yang mereka hasilkan. Suatu bonus untuk pengguna & aku sukakan fungsinya begini kerana jam Seiko & Orient di pasaran kita tidak boleh winding. Hanya Seiko JDM saja yang boleh winding. Kadang-kala jam itu akan 'mati' walaupun semasa dipakai akibat kurangnya power reserve ataupun kurang bergerak. Dengan fungsi 'kunci' sekurang-kurangnya kita tidak perlu khuartir jam akan mati walaupun tengah memakainya.

Rasanya sudah lama aku tak review jam. Rasa rindu pula nak membelai jam dengan lebih dekat... Kali ni jam Citizen Eagle 7 menjadi perhatian aku. Jam ini sebenarnya hadiah harijadi aku baru-baru ni. Sebenarnya, hadiah aku dah dapat dari isteri aku dulu.... Junkers JU52 6612-4 beberapa bulan yang lalu. Tapi untuk mengisi kekosongan waktu harijadi aku, aku beli juga jam untuk tatapan sempena harijadi. Payah juga nak tolak kehendak ni. Banyak betul dugaan.


Suluhan spotlight dari muka bumi memberikan impak maksima padanya...


Aku beli jam ni sebab berkenan dengan design jam yang nampak klasik-moden ni. Citizen Eagle 7 masih banyak & mudah didapati di kedai-kedai jam.....buat masa sekarang. Untuk informasi semua, model ini sudah tidak dihasilkan lagi oleh Citizen. Yang ada hanyalah stok lama yang tunggu untuk dihabiskan. Jadi, dapatkan satu sekiranya ada yang berkenan di hati.


Keseluruhan casing adalah stainless steel yang dibuat dengan kemas sekali. Bersaiz 36mm ia sangat sesuai dengan tangan-tangan yang tak seberapa besar. Designnya tampak hebat & cantik serta berjiwa muda. Penampilan casualnya tidak menampakkan ia tua seperti adik-beradiknya yang lain. Aku suka lekukkan di sisi casingnya. Mata aku nampak ia cantik dibuat begitu. Dail 2 tona boleh nampak pada pada sudut tertentu memberikan wajah ceria padanya.

Crown terselit pada pukul 4 seperti kebanyakan Seiko 5. Yang bezanya, enjin jam ini boleh kunci. Suatu bonus padanya. Penentuan tarikh & hari adalah jenis quick-set.


Marker timbul berwarna emas menampilkan ciri-ciri vintage padanya. Jarum & dail mempunyai luminous marker, tapi kadar nyalaan waktu malam tidak lama. Lambang Eagle 7 terpampang dengan gagah yang aku pun tak tau apa maksud nombor '7' tu. Kalau Seiko, nombor '5' tu memang memberikan maksud... tapi tidak pada jam ni. Entahlah Labu.... aku pun tak tau....

Model vintage Citizen Eagle 7 menggunakan cermin akrilik yang cembung. Tapi model ini bukanlah vintage sangat, tapi jam baru stok lama... ia menggunakan cermin mineral. Cuma bentuk casingnya adalah lebih kurang sama & tidak 'lari' dengan datuk neneknya...

Nombor enjin tertera halus pada pukul 6. Enjin Citizen banyak digunakan oleh jenama lain yang terbukti memang tahan & reliable. Miyota merupakan contoh terbaik anak syarikat Citizen. Invicta adalah antara jenama yang menggunakan enjin Miyota. Enjin Miyota banyak digunakan & menjadi pilihan selain ETA memandangkan harganya yang jauh lebih murah serta sangat reliable.


Caseback skru dengan brush finishing di bahagian tengah memberikan rasa istimewa & terjaga kerana menunjukkan pihak Citizen memang menjaga kualiti pada setiap jam-jam mereka walaupun ianya murah. Jam-jam mereka tidak dibuat sembarangan & menunjukkan mereka memang serius membuat jam dengan baik sekali.


Jaga-jaga, UFO nak turun..... lari......
Clasp jenis klip adalah seperti model vintage mereka. Brush finishing pada bracelet & clasp. Manakala polished finishing di bahagian tengah bracelet. Sekurang-kurangnya ia tidaklah 'bling' sangat bila dipakai. Jam jenis ini perlu ada sedikit sahaja ciri-ciri tu.


Bahagian sisi casing dipolished sangat berkilat. Bracelet yang digunakan padanya adalah jenis tidak solid. Tapi selasa di tangan.


Jam tampak hebat & cantik di tangan. Ringan, selesa & memberikan bacaan waktu yang mantap. Tampak handsome dengan baju kemeja & sangat sesuai ke majlis-majlis keraian. Tidak ramai orang muda sanggup pakai jam 'orang tua' ini. Tapi dengan jam ini, ia memberi kelainan dari yang lain.

Citizen Eagle 7 ini bakal menjadi sejarah tidak lama lagi. Model yang laris di pasaran suatu ketika dulu kini tenggelam dek model-model terbaru termasuklah model terbaru mereka sendiri yang lebih moden, cantik, bersaiz lebih besar & jauh lebih mahal. Ramai yang sudah terlepas pandang dengan Eagle 7 ini. Model Eagle 7 ini boleh didapati bawah RM300 di mana-mana kedai sebelum diskaun. Sebelum ia hilang dari pandangan mata & sebelum ia habis di pasaran, dapatkanlah satu untuk koleksi peribadi anda. Mungkin jam Citizen Eagle 7 boleh menjadi teman sejati anda kelak di waktu kesunyian...

Leia Mais…

Monday, December 21, 2009

Jangan tak pakai langsung jam mekanikal


Jam automatik dihasilkan untuk dipakai. Tidak seperti jam quartz yang dipacu tenaga bateri, jam automatik akan berhenti bergerak jika tidak digunakan. Jam automatik yang tidak digunakan dalam jangkamasa yang lama akan lebih mudah mengalami kerosakan berbanding dengan jam yang dipakai ataupun jam yang sentiasa dikunci.


Mengapa?


Jam automatik mempunyai banyak komponen yang kecil yang bergantung antara satu sama lain bagi menghasilkan pergerakan yang lancar & harmoni. Seperti kereta, komponen dalaman enjinnya memerlukan pelincir untuk melicinkan pergerakan & mengurangkan kehausan. Tanpa pelincir, komponen akan cepat rosak & boleh menyebabkannya 'jem'. Konsep ini adalah lebih kurang sama dengan enjin jam juga.

Komponen jam adalah sangat kecil & memerlukan pelincir khas untuknya. Jam yang tidak digunakan dalam jangkamasa lama akan menyebabkan minyak pelincirnya bergerak ke bahagian yang lain (migrate). Ini akan menyebabkan komponennya cepat haus & memberikan masa yang tidak tepat.


Bagaimana nak mengatasinya?
  • Sekali-sekala, pakailah jam-jam yang langsung tak pernah pakai tu.
  • Kalau tak pakai, ambil jam tu goncang-goncang ke, winding ke sampai jarumnya bergerak.
  • Kalau tak mahu juga pakai & buat yang lain-lain tu disebabkan degil (ketegaq), jalan terbaik ialah belilah winder jam. Letak jam kat winder tu, biarlah winder tu yang pakai & gerakkan jam tu.

Ini adalah contoh winder dalam pasaran. Ini adalah winder yang agak murah. Boleh beli dari eBay. Winder sampai RM100k pun ada gak kalau nak beli... Hehehe... Kat sini, saudara Detikduabelas pernah jumpa jenama Arbutus di KL. Harga dalam RM300+ kalau tak salah.


Apa yang dibuat ni sekurang-kurangnya dapat memanjangkan hayat jam kesayangan kita & mengurangkan kos dalam jangka masa panjang. Jam mekanikal bukanlah seperti jam quartz. Ia memerlukan penjagaan yang baik & kos untuk servis juga adalah lebih tinggi berbanding quartz.

Kesimpulannya biarlah jam automatik diservis akibat selalu dipakai daripada diservis akibat tidak dipakai.

Leia Mais…

Thursday, December 17, 2009

Long Way Round Semenanjung - Episod Akhir

HARI KELAPAN
Sabtu (7 November 2009)


Pagi esok baru nampak rupa homestay ni. Bangunan ni baru siap dibina & ada 4 unit. Ada beberapa unit yang disewa pelawat.

Malam tu aku mimpi pelik skit. Aku mimpi kawan aku Mejar Dr Faiz kena potong kaki atas sebab yang aku tak tau. Kena potong kaki kiri paras lutut tanpa dibalut. Nampak darah-darah kat kaki dia. Sedih tengok keadaan dia, aku menagis dalam mimpi tu. Lepas tu aku sedar.... dah subuh. Ish, ish.... pelik sungguh. Tak pernah aku mimpi camtu. Lepas tu, wife cerita pulak, malam tu dia kata ada orang ketuk pintu bilik dengan kuat sekali. 3 kali kena ketuk sampai bergegar pintu. Masa tu dalam pukul 2 pagi. Ketukan yang cukup kuat tu membuatkan wife tersedar. Aku pulak tak sedar langsung... penat sangat..... Hmm... Lama juga ketukan tu. Wife memdiamkan diri tapi tak pulak mengejutkan aku sampailah ketukan tu berhenti. Tak pastilah pintu bilik aku yang diketuk atau orang sebelah. Tapi kalu orang sebelah pun, ketuk pintu sampai nak runtuh apa cerita. Agak-agak la....

Aku pelik juga sebab pagi tu aku jumpa tuan homestay, dia tak cakap apa pun. Seyum ja. Hmm... Entahlah labu... Misteriiiiii....


Aku tak pasti semua berapa unit bilik di sini. Bangunan sana (gambar 1) berlainan skit dari yang aku sewa ni. Zamita Resort yang baru siap dibina ni hanya menerima orang Muslim saja. Bilik yang disediakan sangat selesa & harganya sangat berpatutan. Boleh datang menyewa di sini lagi. Mungkin lepas ni, kawasan homestay ni akan diturap sebab pagi tu ada lori keluar masuk sini nak buat pembinaan.

Pagi tu kami tak jamah apa-apa sebelum bertolak sebab tiada makanan yang kami simpan (gambar 2). Hanya minum saja. Bercadang nak sarapan di Teluk Intan. Dah tak jauh dari sini. Kenderaan tak banyak & jalannya sangat elok.... macam highway saja (gambar 3). Aku lupa pulak jaraknya berapa km ke Teluk Intan.


Perjalanan ke Teluk Intan hanya melalui beberapa kawasan penempatan & pekan kecil (gambar 1 & 2). Aku dah lupa pekan apa yang kami dah lalu pagi tu (gambar 3). Akhirnya sampai juga tempat yang di tuju. Sejak sekian lama mengidam nak ke menara condong tu (gambar 4).


Akhirnya sampai juga Beetle di Menara Condong. Memang condong betul menara ni. Macam merara condong Pisa pula. Ada jam di atas menara ni. Ada jam..... kena masuk dalam ni.... Hehehehe.... Sekeliling menara ni adalah dataran luas. Ia dikelilingi oleh bangunan baru.... & menara dengan rekabentuk klasik ni membuatkannya terasa sangat berlainan sekali dengan keadaan sekelilingnya. Nampak begitu gah sekali. Sebelum masuk ke dalam menara, kami nak cari makanan dulu...


Masuk percuma & perlu isi buku pelawat sebelum masuk. Ramai juga pengunjung berminat. Tak pelik kalau ramai orang sebab hari ni hari cuti. Ruang dalamannya agak luas & terdapat paparan di dinding menara mengenainya (gambar 1). Ada la kerusi & tv yang mungkin menayangkan video mengenai menara ni. Ada juga telaga (gambar 2).... banyak duit syiling ditaburkan ke dalamnya. Rugi betul, buat sedekah untuk orang susah lagi bagus...

Naik tingkat atas, tiada apa yang ada (gambar 3). Hanya ruang kosong dengan siling yang tinggi. Panas sebab tiada kipas. Boleh keluar ke balkoni menara & menikmati pemandangan (gambar 4).

Aku skodeng Beetle dari atas. Biar dia rehat sat. Kawasan parking yang disediakan bersebelahan dengan menara memudahkan pelancong untuk berkunjung. Di celah-celah bangunan moden, terselit juga bangunan klasik di tengah-tengahnya..... & bagaimana klasik sesuatu benda, akan tertariklah mata-mata melihatnya & apatah lagi mengunjunginya.... Betui dak Beetle?


Dari tadi sebenarnya mataku tertumpu.... nun jauh di sana. Amat bertepatan sekali aku datang sini.... ada kedai jam di sekitarnya. Kedai Jam Intan ada 2 kedai rasanya. Kedai Seiko tu tak buka pula, cawangannya kot. Ada 3 kedai ke semuanya yang berdekatan. Ada satu kedai milik Melayu. Hanya ada beberapa jam yang menarik minat aku. Tapi tak cadang nak beli pun pasal dah dapat jam impian di Johor. Hahaha... Dah la kot, jom kita balik...


Perjalanan menemukan kami dengan banyak rumah tradisional Perak. Ciri-cirinya juga berlainan. Best betul berjalan tengok tempat orang. Macam-macam yang kami jumpa...


Tak pasti ni pekan apa... lupa lagi.... ehehehe.... Pekan yang kecil ini masih mengekalkan bangunan lamanya. Suasana seperti ni mengingatkan aku masa di Melaka. Sudah tak banyak bangunan kedai lama macam ni dikekalkan lagi. Banyak yang sudah dirobohkan & dibina bangunan baru.


Jalan yang kami lalu ni membawa ke Lumut. Kami sampai di persimpangan di Lumut Port Industrial Park (gambar 1). Kami tak ke pekan Lumut sebab dalam tahun ni dah beberapa kali ke sana. Di sepanjang perairan laut tu terdapat banyak sekali gudang-gudang, kilang-kilang serta pusat membaiki kapal-kapal besar (gambar 2). Jambatan yang melintasi laut ni ada 2. Kedua-duanya sangat besar & tinggi untuk memudahkan kapal besar lalu di bawahnya (gambar 3). Sekarang kami nak menuju ke Pantai Remis plak (gambar 4)... di mana sejarah lama terkena obor-obor kembali terkenang.... Aduh!


Pekan Pantai Remis bukanlah terletak di tepi pantai. Pantai aku terkena obor-obor tu nun jauh di tempat lain. Pekan yang tak berapa besar ni menempatkan pelbagai jenis kedai serta sibuk pula. Dah banyak kali aku lalu sini, aku nampak ada satu kedai jam. Banyak kali datang sini tak dapat singgah pasal setiap kali nak singgah, kedai dah tutup. Kali ni rezeki aku.... Dari jauh boleh nampak papan tanda yang sangat memikat tu. Aku nak singgah juga, nak bagi puas hati. Nanti memendam rasa pula. Terkejut taukey kedai tu bila tau aku pusing semenanjung dengan Beetle & singgah di kedainya pula. Punyalah promote aku beli jam buat kenangan katanya. Tapi takda jam yang aku berkenan & jam idaman hati dah mengaburi yang lain....

Perjalanan di teruskan lagi menyusuri jalan lama. Jalan yang aku lalu ni adalah jalan yang sangat aku biasa lalu suatu ketika dulu. Masa student, rajinlah ikut jalan ni masa nak balik kampung dari KL. Sanggup ikut jalan ni walau memakan masa 8-9 jam & kadang-kadang lebih 10 jam (cuaca buruk)..... semata-mata nak jimat duit tol. Bila ikut jalan ni balik, teringat masa lalu...


Sampai di Simpang Empat Perak lebih kurang pukul 1 tengah hari. Nampak kedai makan, tapi takut tak sedap... perut berkeroncong dah. Telefon mak cakap nak singgah rumah. Mak suruh makan nasi kat rumah... I luv u lah mak.... Hehehe...


Jalan dari ke Kemunting ni dahulunya masih dalam pembinaan. Sekarang dah siap dengan laluan 3 lane lagi. Laju juga aku bawa masa tu. Banyak tempat di laluan ni aku sudah lupa namanya... sampailah ke pekan apa ntah. Tapi tak jauh sangat dah nak ke Parit Buntar. Sampai di simpang lampu isyarat, GPS tunjuk masuk sebelah kanan.....


... ikut GPS masuk jalan ni. Sebab masa tu ingatkan GPS nak bawa kami ikut jalan lama & kebetulan pula jalan ni tak pernah lalu lagi. Jalannya kecil saja & ikut kampung-kampung. Makin lama, suasana semakin 'kampung'. Akhirnya bertemu dengan Bukit Merah Lake Town Resort. Oh... kat sini rupanya.... (moto tu interframed la plak). Kenderaan sangat kurang. Rupa-rupanya, GPS tu nak bawa kami masuk ke highway PLUS. Adoi.... tak jadi. Jalan terus & GPS calculate jalan baru..... ikut jalan ke Selama.


Sampai sini... suasana begini mengingatkan aku macam di empangan (gambar 1)..... memang empangan pun (gambar 2)... Aku rasalah empangan.... Ada jambatan masih dalam pembinaan. Nak tala ke mana pun tak pasti. Nampak panjang juga jambatannya.


Semakin lama jalan semakin kecil (gambar 1). Budak atas moto tu seronok betul bila nampak Beetle. Mungkin dia tak pernah tengok sebelum ni (gambar 2). Ini yang sempat aku ambil gambar tengok gelegat orang bila nampak Beetle. Lalu kampung Melaka dulu, nenek-nenek kat luar rumah pandang dengan penuh minat. Mungkin teringat zaman muda dulu...

Pekan Selama kecil saja. Hanya ada beberapa deretan kedai saja. Aku bawa Beetle tak laju. Slow & steady saja. Syok juga ikut jalan yang tak pernah lalu ni. Aku mengharapkan jalan ni tidak akan membawa kami ke Serdang, Kedah.... sebab aku tak mau lalu jalan Sungai Ular... jalan yang aku dah boring nak lalu, sebab balik Johor mesti aku ikut jalan ni. Sampai 'cemuih' jadinya.


Cuaca sangat baik. Panas... tapi nasib baik dalam Beetle dingin. Jalan punya jalan.... syok layan perasaan sendiri... tiba-tiba dari jauh aku nampak sesuatu yang sangat aku familiar...... alamak! Serdang! Huhuhu.... Apa boleh buat, ikut ja lah. Potong stim betui lah. Bila sebut nama Serdang, ramai yang ingat di Selangor.... di Kedah pun ada tau. Pekannya kecil (gambar 4) & tidak sibuk. Dari Serdang, kita boleh ke Bandar Baru, Parit Buntar, Kulim & Butterworth.


Yang aku boring tu sebab takda jalan lain nak ke Kulim melainkan ikut Sungai Ular. Kenapa di panggil Sungai Ular? Jalannya tu yang sangat berliku-liku. Banyak blind coner & jalannya pula bersebelahan dengan sungai. Jalan ni agak berisiko untuk kita lalu bila waktu hujan sebab tanah runtuh kerap berlaku di sini.


Banyak juga kemalangan yang berlaku.... kejadian rompak pun ada, lembu pun banyak (gambar 1). Kalau hujan, aku memang tak ikut jalan ni. Walaupun begitu, jalan ni adalah jalan utama untuk yang menghubungkan Kulim-Serdang. Jauh juga jalan ni.... layan juga koner disebabkan kebosanan..... bosan tu bertambah bila teringat pengembaraan dah hampir tamat. Lepas ni akan masuk kerja & memeningkan kepala semula. Adoi la....

Akhirnya laluan Sungai Ular tamat bila bertemu dengan kawasan pembinaan yang luas tu (gambar 4). Depa nak buat kawasan perumahan. Kawasan tu berbatu plak. Jenuh la nak korek.


Tengok GPS, kami bakal sampai di rumah mak pukul 3.30 petang. Kami sampai di Kulim Hitech.... sebuah kawasan perindustrian di Kulim (gambar 1). Besar kawasan ni. Banyak kilang & perumahan (gambar 2) dibina di sini. Jalannya lurus & dua lane (gambar 3). Selepas tu, kami ikut jalan ke Kuala Ketil pula (gambar 4). Jalan yang kami ikut ni boleh terus ke Baling & seterusnya Kelantan.... jom pusing sekali lagi...


Bila ikut jalan ni, akan bertemu dengan kilang Inokom (gambar 1). Lori, Matrix, Getz & i-10 dibuat di sini. Dulu boleh nampak kereta yang siap pasang tu tersusun di tepi pagar tu (gambar 2). Suatu pandangan yang tak cukup enak dipandang... sebab kereta nampak tak terjaga & terbiar. Ditambah pula rumput yang semakin panjang di bawahnya... menampakkan kereta jadi tak.... hmm... Sebab tu depa tutup dengan zink biru tu...

Sampai di Padang Meha, ada beberapa kawasan perumahan di sini & ada juga yang masih dalam pembinaan (gambar 3). Rumah tu dah cukup lama dibina. Tapi tak siap-siap pun. Offer dari pemaju, siapa yang beli rumah ni akan dapat Myvi 1.0 seketul... serius!


Sampai juga di pekan Merbau Pulas (gambar 1). Boleh kata pekan koboi saja. Perjalanan diteruskan lagi melalui ladang-ladang kelapa sawit (gambar 2) ke Kuala Ketil. Dahulunya Kuala Ketil juga adalah pekan koboi. Sekarang semakin maju. Banyak kawasan perumahan dibina & ditambah pula dengan kawasan perindustrian dibina di sini membuatkannya semakin berkembang kemajuannya. Hanya lebih kurang 18km dari Sungai Petani, tempias pembangunan di sana sampai di Kuala Ketil. Kedai pakaian Zon Ria tu (gambar 4) adalah milik warga Myanmar. Kini dah jutawan & buka banyak cawangan di Kedah. Kalau malam raya... berduyun-duyun orang pergi.


Walaupun pembangunan bertambah, namun pekan lama ni dikekalkan (gambar 1). Banyak pajak gadai di sini (gambar 2). Pernah juga aku tanya semua pajak di sini kot-kot ada jam yang boleh aku beli. Semua takda.

Akhirnya sampai juga rumah mak (gambar 3).... Kami sampai lebih kurang pukul 3.30 seperti dalam GPS. Akhirnya.... Beetle bertemu kembali dengan abang-abangnya. Rindu betul abang-abang dia. Macam-macam cerita keluar yang aku tak faham....

Sampai rumah, makan kenyang-kenyang. Buka balik video yang dah rakam dengan videocam. Best pulak. Ada gak bila tengok rasa malu sendiri. Ehehehe.... Walaupun penat, tapi terasa nak balik Perlis hari tu juga. Alang-alang penat, biar penat terus. Esok boleh rehat serehat-rehatnya.

Lewat petang kami bertolak semula ke Perlis. Kali ni nak cepat, ikut highway.....


Akhirnya sampai rumah juga. Walaupun lakonan semua, begitulah rupanya masa aku sampai. Home sweet home..... Kiraan dah dibuat & percaya atau tidak perbelanjaan kami sepanjang 8 hari dengan segala aktiviti yang dibuat serta petrol Beetle tak sampai RM1000 pun. Aku pun terkejut. Destinasi budget seluruh Semenanjung Malaysia.


Walaupun penat tapi hati ni cukup puas. Macam-macam dugaan, pengalaman kami dapat sepanjang 8 hari pengembaraan ni. Apa yang dirasakan tak dapat aku gambarkan di sini. Indahnya rasa.

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar & kami dilindungiNYA di sepanjang pengembaraan. Apa yang dirasakan ini juga tidak dapat dengan mudah.... kena alami & rasa sendiri apa yang dikatakan ni. Pelbagai perasaan tersemat dihati, sangat seronok & teruja serta tak sangka kami buat dengan Beetle. Dekat 40 tahun umurnya tapi masih gagah menyusuri laluan sutera. Insyaallah, kami akan buat lagi trip ni tahun depan pula. Kali ni Long Way Down pula. Jom Beetle kita pi lagi..... ORAIT BRO!!!!


-------------------------------------------------

TAM-MAT


Leia Mais…