Wednesday, March 30, 2011

Suka duka 2 tahun bersama Dunia Jam


Bertarikh 24 Mac 2011 yang lepas, cukuplah 2 tahun DUNIA JAM wujud di alam maya ini. Bertitik tolak dengan niat untuk memberi maklumat kepada pembaca, ia diteruskan untuk berkongsi minat & maklumat, pencetus minat, hub maklumat, bertukar-tukar fikiran, percambahan idea, menambah kenalan dan sebagainya.

Nama DUNIA JAM dipilih selepas beberapa nama dibentuk... Ia nampak ringkas & memberi definisi yang jelas akan maksud blog ini. Tahu siapa yang bagi nama? Isteri aku! Haha... Beliau banyak memberi idea & cadangan kepada aku, berkongsi minat & memberi semangat dalam pengendalian blog ini. Terima kasih sayangku....


Apa ya?


Pada ketika penubuhannya.... hanya beberapa blog saja yang wujud pada ketika itu... Mereka ini merupakan otai & pencetus blog jam di Malaysia.... Nama-nama penting dalam blog Malaya ialah Irhomdeys, Jamlama, Jamkoleksi, Classicmalaya... Mereka merupakan pioneer blog jam di Malaysia. Dengan konsep jualan jam secara maya, aku pula terpanggil untuk mewujudkan blog informasi mengenai jam memandangkan tiada lagi blog informasi jam wujud pada ketika itu... Sebagai tuntutan fardhu kifayah, aku cuba wujudkan blog ini sebagai blog informasi pertama dalam bahasa Melayu (& akan dikekalkan begitu) walaupun pada waktu itu aku sangatlah jahil mengenai jam... Sekurang-kurangnya aku sendiri dapat menambah ilmu dalam pencarian idea & info mengenai jam. Di samping itu, sebagai salah satu sumber maklumat bagi mereka-mereka yang memerlukan informasi sepertimana pencarian aku dulu yang terkontang-kanting mencari maklumat jam.

Aku tak kisah akan populariti (hit) blog ni memandangkan ia berbahasa Melayu... kalau bahasa Inggeris, satu dunia boleh baca.... Bila dalam bahasa Melayu skop pembaca menjadi kecil & tertumpu kepada pembaca  di Malaysia, Indonesia, Brunei & Singapura... Tak kisahlah, asalkan maklumat yang inginku sampaikan tercapai objektifnya & memang berniat untuk menyampaikannya kepada peminat jam di Malaysia . Rasa lebih selesa disampaikan dalam bahasa Melayu & sebagai trademark blog jam berbahasa Melayu di Malaysia.

Suka-duka dalam pencarian maklumat ditempuhi. Pengalaman yang mahal aku terima kerana duit yang banyak diperhabiskan sebagai eksperimen & pembelajaran. Kemudian disampaikan pula dalam blog sebagai langkah berjaga-jaga, sebagai langkah penjimatan & peringatan supaya pembaca tidak melakukan kesilapan, belajar dari pengalaman & boleh menjimatkan wang. Tak apa... pengalaman itu sangat berharga buat aku & merupakan guru yang paling berkesan. 

Dunia Jam juga pernah menjadi bahan serangan individu yang tidak berpuas hati.... Kepada pembaca setia sedia maklum kejadian itu & kronologi gangguan tersebut. Entah apa yang tidak dipuaskan hati pun tak tau lah... Alangkah baiknya jika individu tersebut berbaik-baik dari bermusuhan kerana impak adalah kebencian ramai kepadanya... Allah itu maha adil.... harap beliau dibukakan hati & diberikan hidayah....

Semakin Dunia Jam menjelajah dunia horologi semakin banyak yang diperolehi. Disamping informasi, Dunia Jam juga telah menambah ramai kenalan dipelusuk negara bukan saja di Malaysia malah di luar negara juga. Walaupun penulisan dalam bangsa kebangsaan, itu tidak menghadkan perhubungan & persahabatan. Alhamdulillah...

Sejak penubuhannya, Dunia Jam menyaksikan penambahan banyak blog mengenai jam. Ia suatu perkembangan yang cukup sihat. Di harap kawan-kawan dapat meneruskannya & janganlah sampai tak mengira akan rakan-rakan blogger lain dalam jualan jam. Biarlah harga yang diletakkan itu setanding... 

Namun sejak akhir-akhir ini update Dunia Jam agak perlahan disebabkan kesibukkan kerja yang semakin bertambah, hobi lama yang semakin marak api kemaraannya... memanggil-manggil untuk kembali aktif & juga beberapa hal yang tak mampu untuk aku ceritakan di sini... 

Di sini Dunia Jam mengharapkan sokongan rakan-rakan blogger, pembaca setia, peminat jam untuk terus menyokong Dunia Jam. Insyaallah Dunia Jam akan diteruskan lagi walaupun pernah pasang niat untuk berhenti blogging... Dunia Jam cuba untuk meneruskannya selagi mampu. Terima kasih tak terhingga kepada anda semua di atas sokongan yang tidak berbelah bagi diberikan kepada Dunia Jam selama ini... Terima kasih, terima kasih, terima kasih & terima kasih.... 

Tiada apa yang mampu diucapkan lagi selain terima kasih....


Seperti yang dijanjikan..... DUNIA JAM mempersembahkan GRAIL WATCH yang ditunggu-tunggu selama ini....

Leia Mais…

Monday, March 28, 2011

Empunya yang tersayang.... Orient open heart....

Kali ni aku nak berkongsi cerita mengenai jam perempuan pula... Asyik jam laki ja boring juga... Pembaca blog ramai juga yang perempuan & ramai juga kaum hawa yang minat jam... Untuk coretan kali ni, aku tampilkan jam milik isteri tercinta yang kini dah berumur lebih 2 tahun dalam koleksinya... 


Persembahan jam ini yang ringkas, anggun serta kilauannya telah memanggil untuk mendekatinya dengan lebih dekat. Cinta pandang pertama.... kat jam la.... telah membuahkan hasil urus niaga yang berjaya. 


Keseluruhan jam diberi sentuhan polished finishing dengan saduran emas. Tali kulit coklat yang dibekalkan kepadanya memberikan keserasian kepada persembahan keseluruhan jam. 


Design yang ditampilkannya lembut disulami dengan simbol-simbol cinta/love pada dial... yang sebenarnya adalah pearl dial..... Cukup cantik dalam banyak sudut pandangan. Bentuk jarum juga bijak diatur susunan bentuknya agar sesuai dengan wajahnya yang ayu itu.... 


Hati seoarang perempuan yang penuh dengan kecintaan dicoretkan pada jam ini. Simbol cinta bukan saja wujud pada marker.... malah pearl dial yang mempunyai buntuk cinta/love pelbagai saiz itu sebenarnya diukir pada dial untuk memberikan kesan 3D. Yang menarik perhatian adalah bahagian 'open heart' yang juga diberi bentuk cinta/love yang menampakkan balance wheel di belakangnya.....

Pada aku... ini suatu yang simbolik.... Kenapa ya? Jam skeleton menampakkan keseluruhan movement... jam open heart pula hanya 'dibuka' bahagian dial yang menampakkan balance wheel.... 

Apa yang simboliknya?

Bagi yang tak minat jam, mungkin ia hanyalah satu jam saja... Bagi yang minat jam pula, ia adalah suatu jam yang cantik & unik... Namun bagi mereka yang menghayati sesuatu jam mesti akan faham maksud aku ni...., jam itu menceritakan sesuatu... Sesuatu yang istimewa yang orang lain tidak nampak & faham.... Open heart pada jam ini berbeza sedikit dengan model open heart lain. Open heart jam ini dibentukkan dengan kemas dengan simbol love.... cinta.... Cinta sejati yang telus/transparent... 'Open heart' jam ini dibuat pada balance wheel... yakni mekanisme penggerak atau pendek kata jantung jam itu... Ia menunjukkan sifatnya, bentuknya, gerakannya tanpa selindung menyusun rentak gerakan yang sekata memberikan maksud gerakannya itu... Jika digarapkan ia dengan kehidupan kita, jam ini merupakan suatu simbol, maksud cinta sejati pasangan yang telus/transparent kepada kita..... Adoi... Jiwang juga aku ni ya? Ekekeke.... 

Simboliknya akan terjejas, senget & ralat jika ia dijadikan hadiah di mana 'open heart' tersebut bukanlah pada balance wheel..... tapi pada bridge, skru atau sebagainya... Sudah tentu maksud cinta telus itu tak tercapai & sudah pasti maksudnya juga akan menjadi lain... cinta tersembunyi penuh tipu daya setia.... 


Jam ini dibekalkan dengan cermin mineral cembung yang cukup tebal... Serasi dengan bentuk keseluruhan casing yang membulat.


Crown dibuat nipis supaya tidak memcacatkan rupa jam. Namun ia mudah dikendalikan. Ia mempunyai diameter 34mm yang sesuai dengan kebanyakan saiz tangan perempuan.


Namun sesuatu yang aku agak kecewa ialah kualiti sadurannya... lihat saja kesan tompokan halus yang berlaku setelah lebih 2 tahun. Jam ini jarang beraksi di tangan isteri aku & dijaga dengan cukup rapi serta berhati-hati ketika pakai... Disimpan pula dalam kotak yang diisi dengan gel silika... namun kesannya jadi begitu pula. Penat juga polish nak bagi hilang, namun jadi balik. Kesan ini tidak berlaku langsung pada jam Citizen miliknya yang juga besadur emas yang lebih tua umurnya dari Orient ini.


Caseback jenis snap-on turut menampilkan bentuk love yang turut selari kedudukannya dengan open heart pada dial..... itu yang dikatakan telus! Depan ke, belakang ke... tiada yang tersembunyi maksudnya... telus & sejati!


Jam ini didatangkan dengan 2 jenis warna tali. Satu lagi tali berwarna putih. Deployant clasp itu sebenarnya aku yang pasang untuk memanjangkan riwayat tali jam ini... itu adalah salah satu tips memanjangkan hayat tali kulit. 

Ungkapan sayang, cinta boleh diekspreskan dengan pelbagai bentuk & cara... Ada yang nyata, ada yang tidak, ada pula yang tersirat, ada pula yang penuh kiasan... walau apa saja bentuk luahan, cinta kepada yang tercinta suatu yang penuh bermakna... namun jangan pula lupa cinta sejati YANG MAHA ESA..... 

Leia Mais…

Thursday, March 24, 2011

Encik Waltham datang menjenguk

 Mesti ada yg terkejut dengan tajuk entry sebelum ini... acah je tu.... Haha... Biasanya tajuk-tajuk begitu akan mendapat liputan yang cukup meluas oleh sesiapa saja....  Rating pun akan cepat naik dari tajuk-tajuk biasa. Benda begitu kita boleh lihat dari environment/persekitaran, dunia internet & sebagainya... bergantunglah kepada kita menilainya....

Encik Waltham yang ingin aku ketengahkan bukanlah seorang manusia... tapi merupakan seutas jam tangan berjenama WALTHAM yang mewarnai dunia horologi seantero dunia. Sejarahnya bermula pada tahun 1850an dengan tertubuhnya Waltham Watch Company. Rentetan sejarahnya boleh dilihat pada link di bawah ini.



 Jam yang aku dapati ini merupakan suatu model kunci (winding) dengan subsecond. Teruja betul semasa mula melihatnya kerana jam sangatlah cantik. Tidak ku sangka ianya berkeadaan masih cantik & hanya mengalami kecederaan cermin pecah. Perjalanan masanya pada ketika itu terhenti kerana jenteranya jem! Dengan pertolongan sifu, ianya kembali bernyawa! Terima kasih bro!


Keadaan casing base metal masih baik & krom casingnya masih menyelaputi keseluruhan badannya dengan baik. Masih berkilat  mampu memberikan kilauan. Dialnya sangat bersih & langsung tidak terjejas. Apakah yang diceritakan di sebalik dialnya itu? Kualiti! Walau dah berpuluh tahun kualiti buatannya sangat bagus. Jauh lebih bagus dari jam-jam baru berjenama kini yang dah seasoned berpatina walau selepas 2-3 tahun.....


Namanya masih jelas kelitahan & siapa sangka jam lama pun mempunyai pesona yang mengasyikkan... Bila diperhatikan betul-betul, ia mempunyai satu lagi daya penarik pada mukanya itu... Hour markernya dimake-up dengan batu permata.... Tak pastilah batu apa.... Tapi jarang la jumpa jam lama dengan hour marker berbatu camni.


Gambar pinjam....
Satu lagi jenama yang mempunyai rupa & design yang sama ialah Helbros. Warna dial biru ini memberi rupa yang kontra yang jelas dengan warna batu itu sekaligus 'menaikkan' rupanya itu.


 Jam lama dengan subsecond! Suatu yang menarik untuk aku kerana tidak pernah memiliki sebelum ini.... Keindahan padanya itu mengaburi usianya yang sudah tua itu.


 Cermin buatan Swiss dipasangkan padanya menghasilkan rupa yang segak & nampak bermaya setelah pemasangannya selesai. Cerminnya lebih berkilat & tebal berbanding cermin sebelum ini. Aku nak cari cermin spare untuknya namun kedai tersebut sudah tiada stok.


 Tulisan SWISS MADE agak terselindung pada pukul 6 disebabkan buatan dial yang cembung & cerminnya yang juga cembung..... membuatkannya terlindung dari imbasan mata manusia.


Crown nipis berlogo W menandakan jenamanya itu. Ianya berkeadaan baik & dapat diputarkan dengan baik walaupun krom yang menyelaputinya mulai hilang akibat geseran putaran jari-jemari....


 Caseback stainless steel jenis snap-on berkeadaan baik, menampilkan sedikit info padanya.


 Movement kunci kunci 7 jewels bersih & masih elok. Pembaikan yang dilakukan oleh sifu aku memberikan nyawa baru kepadanya.


 Ia merupakan movement AS... suatu movement Swiss lama yang banyak digunakan suatu ketika dulu.


 Movementnya original dengan tertena nama syarikat Waltham padanya. 


Pemakaiannya segak & terasa sangat ringan dek kerana movement base metal yang digunakannya. Ianya sangat sesuai diperagakan dengan pakaian kasual & sesuai dipakai ke majlis-majlis penting. 

Waltham ni masih ada jam baru ke bro?
Masih bro.... tengok link kat bawah....

Leia Mais…

Wednesday, March 16, 2011

Adakah anda seorang WIS?


Minat terhadap jam diilhamkan, disampaikan & diluahkan dengan macam-macam cara, kaedah & penyampaian. Setiap orang mempunyai minat yang berlainan terhadap sesuatu & tidak semua orang setuju dengan pendapat & minat orang lain. Penilaian setiap orang terhadap jam yang sama juga berbeza. Ada yang sukakannya, ada yang tak suka, ada pula yang cemburu, ada pula yang nak ambil kesempatan, ada pula yang tak senang dengan koleksi orang lain & macam-macam lagi style & perangai. Masing-masing ada cara nak meluahkan perasaannya.... Pendek kata tiada batasan minat seseorang terhadap jam & kita perlu menghormatinya...

Namun, adakah anda seorang WIS? Sebelum pergi lebih lanjut, mari kita sama-sama fahami dulu apa yang dimaksudkan sebagai WISWIS merupakan singkatan kepada Watch Idiot Savant. Maklumat ini aku dapatkan dari pelbagai sumber di internet.

Pasti ramai yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan WIS. Sebelum pergi lebih jauh, mari kita sama-sama tengok apakah maksud 'Idiot Savant'.

Maksud dari kamus Mirriam-Webster.
1. A mentally defective person who exhibits exceptional skill or brilliance in some limited field.
2. A person who is highly knowledgeable about one subject but knows little about anything else.

Secara ringkasnya, Watch Idiot Savant bermaksud seseorang yang pandai, mempunyai kemahiran, pengetahuan mengenai jam tetapi kurang dalam hal lain. Itu maksud secara am lah.... Bukanlah semua orang begitu sebab aku kenal ramai WIS yang mempunyai keupayaan yang hebat dalam bidang lain juga.


Adakan seorang peminat jam itu seorang WIS? 
Adakah seorang collector itu juga seorang WIS? 
Adakah seorang penjual jam itu sorang WIS? 
Apakah yang membezakan seorang WIS dengan yang lain?

Sebenarnya tidak ada definisi yang jelas untuk WIS... tapi ciri-ciri seorang WIS itu menandakan anda seorang WIS.... Jika tiada ciri-ciri ini, anda bukanlah seorang WIS.... Banyak sumber (internet, forum, pemerhatian, teori) aku dapatkan mengenai ciri-ciri WIS & ianya sangat pelbagai. Sama-sama kita lihat:


  • Anda melihat jam anda 10 kali... namun masih tak tahu waktu pukul berapa.
  • Anda nampak awek cun... namun anda jeling dulu jam yang dipakainya.
  • Melihat selebriti di TV... anda tertanya jam apakah jam yang dipakainya.
  • Anda memakai jam lebih sari satu sehari... (pagi jam lain, petang jam lain, malam jam lain)
  • Anda mamakai dua jam atau lebih di kedua-dua belah tangan.... 
  • Mudah hilang tumpuan dengan jam tangan sendiri...
  • Anda ke pusat membeli belah.... anda akan tertanya-tanya di mana kedai jam....shopping barang keperluan harian 1 jam, namun habiskan lebih 2 jam waktu anda di kedai jam.... tak beli pun.....
  • Anda sering melihat cermin.... bukan tengok muka.... tapi tengok jam yang dipakai dulu dengan penggayaan, peragaan & posing bak model yang pelbagai. 
  • Anda telah keluar rumah... namun masuk kembali untuk menukar jam yang dipakai...
  • Anda sering tertanya-tanya adakah jam yang dipakai itu sesuai dengan penampilan anda.... 
  • Anda lebih banyak menghabiskan masa menukar tali jam dari memakainya...
  • Bila jumpa orang, anda tonjolkan jam yang anda pakai...
  • Anda layan semua jenis jam & tak meanaktirikan jam-jam yang anda tidak suka...
  • Anda tidak membezakan antara minat orang lain terhadap jam yang diminatinya & menghormati sesama sendiri.
  • Anda guna jam chronograph anda untuk pelbagai tujuan...
    • timing masa anda buang air di tandas...
    • timing masa anda parking kereta...
    • timing masa perjalanan anda....
    • lain-lain...
  • Anda baca poster tertulis 'back pain' sebagai 'Blancpain'.
  • Anda mengeja RELAX sebagai ROLEX...
  • Jam anda lebih mahal dari kereta anda.
  • Anda selalu admire koleksi jam anda walaupun tidak dipakai.
  • Anda sering kunci (wind) jam anda walaupun tidak memakainya.
  • Anda selalu masuk blog jam, forum jam, web setiap kali anda online internet.
  • Anda memikirkan jam yang bakal anda pakai esok.
  • Bangun tidur... anda akan fikirkan jam yang akan dipakai hari tu.
  • Anda habiskan masa yang lama untuk kunci (wind) jam berbanding memberus gigi anda.
  • Rakan-rakan takut menanyakan masa kerana anda mengambil masa 10 minit untuk memberitahu masa kepada mereka.
  • ...jika anda membeli jam.... sorok-sorok dari pengetahuan isteri anda....
  • Anda memakai jam diver 1000m, tapi buka jam ketika berenang ataupun hujan....
  • Anda mengetahui maksud nombor 6497, 6694, 7S26, 7750 & lain-lain...
  • Anda ke kedai jam.... tapi anda yang mengajar & beri maklumat mengenai jam kepada seller jam yang dah 30 tahun berniaga jam...
  • Anda ingat nombor telefon kedai-kedai jam... namun tak ingat nombor telefon awek, isteri ataupun mak...

  • Anda mempunyai binatang peliharaan yang bernama PatekPhillippeEl PrimeroZodiacSeikoManifattura, Credor...
  • Anda sangat-sangat cerewet pasal ketepatan jam...
  • Anda admire movement jam & menghabiskan masa yang lama hanya melihatnya sahaja...
  • Anda boleh diagnosa masalah jam hanya dengan kunci (winding) jam, melihat gerakan rotor, gerakan hair spring & sebagainya...
  • Anda terlalu berhati-hati memakai jam & sangat sedih kalau jam tercalar walau hanya 1mm...
  • Menghabiskan duit yang banyak hanya untuk refurbished jam yang murah.... Perhabis RM400 untuk refurbish jam yang berharga RM200.... lepas tu jual la pulak....
  • Anda tidak tahu pilih jam terbaik antara Rolex & Tag Heuer...
  • Anda sangat hebat & ingat semua siri Rolex sejak 60 tahun lalu... tapi asyik terlupa bezday awek, isteri & anniversary anda....
  • Memilih tempat bercuti yang mempunyai air.... untuk menguji ketahanan jam diver anda...
Ehsan dari saudara DetikDuaBelas
  • Memlilih tempat percutian yang banyak kedai jam di persekitarannya...
  • Suruh semua orang diam hanya untuk anda mendengar detikan & pusingan rotor jam anda...
  • Pantang jumpa kedai jam.... mesti terasa nak singgah. Rasa bersalah & tak senang duduk pula kalau tak singgah...
  • Jumpa kawan baru & bersembang lebih 15 minit & tahu description jam yang dipakainya... tapi tak ingat pula namanya... Kawan-kawan yang pi H4U ingat lagi tak nama aku? Muahahaha....
  • Beli majalah, surat khabar hanya kerana iklan jam yang ada di dalamnya.
  • Anda bermimpi seram.... Cik Pon pakai Cartier!
  • Anda mengetahui jenis jam yang doktor anda, guru besar adna, CEO anda, Dato', Menteri Besar & lain-lain pakai walaupun mereka tidak pernah tunjuk jam kepada anda.
  • Hilang arah & punca setelah terjeling Seiko Marinemaster di tangan orang sebelah anda dalam mesyuarat PIBG sekolah....
  • Anda turut rasa kepedihan & kesedihan kawan anda yang kehilangan jam, terjatuh atau tercalar ... hati anda turut tercalar....
  • Mempunyai jam tangan RM5000 tetapi bangun setiap pagi dengan jam loceng RM15...
  • Tak boleh tidur nyenyak selagi tak dapat jam yang diinginkan.


Ciri-ciri yang dinyatakan tersebut merupakan garapan maklumat yang didapati di internet, pengalaman, pemerhatian & interaksi aku selama ini. Ia hanyalah sebahagian saja & tidak sama antara satu sama lain. Masih ada banyak lagi ciri-ciri unik WIS yang tidak dinyatakan & tidak diketahui.... 

Persoalannya....
Adakah anda seorang WIS?

Leia Mais…

Monday, March 14, 2011

SNEAK PREVIEW - my grail watch....


Sibuk dengan aktiviti duniawi membuatkan masa untuk update blog semakin sukar dilakukan seperti sebelum ini. Seperti yang dijanjikan... kali ini aku berikan nama grail watch aku..... Teka teki semakin terjawab.... 

Leia Mais…

Monday, March 7, 2011

Darch.... Homage Seiko?

 Pernah dengar nama Darch? Aku pun tak pernah dengar sebenarnya.... Aku mengenali nama ini semasa sedang mencari spare part jam military di eBay. Harganya cukuplah murah & bentuknya yang agak menarik ini serta berniat untuk menjadikannya spare part membuatkan aku membelinya...


 Bila jam sampai di tangan... lain pula ceritanya...Terasa sayang pula nak 'menghancurkannya'... Jam nampak cantik & ringkas.. Rupa militarynya itu sepadan dengan designnya... Bila aku tengok jam ni, aku teringatkan Seiko military yang aku telah review dahulu...


 Jam ni sebenarnya dibeli hanya kerana jarumnya saja... Buatan jarumnya cantik & nampak kemas. Tujuan aku ingin mengambil jarumnya adalah untuk dipasang pada Hamilton military yang telah pun aku jual. Nasibnya seperti beberapa jam yang aku berniat untuk membuat sesuatu (refurbish, custom), namun tidak kesampaian tujuannya kerana aku telah menjualnya. Simpan sajalah....


 Ia menggunakan movement Jepun... Ya ka? Bukan movement China? Cetakan nombor & tulisan pada dial kemas serta lume juga dibuat kemas pada dial serta jarumnya. Aku tak pasti dari mana jam ini dihasilkan. Tapi aku merasakan ianya dibuat di China. Namun aku kagum dengan buatannya yang cukup kemas. Seperti tak sepadan dengan harganya yang murah itu. Mungkin jika jam ini dijual di sini, rasanya tidak akan dapat harga sepertimana yang dijual di eBay.


 Casingnya diberikan sentuhan blasted finishing. Ianya bukanlah stainless steel namun hanyalah base metal. Disebabkan penggunaan bahan itu, ianya ringan. Crownnya agak kecil & sukar untuk digunakan. Mujur juga movementnya quartz... tak perlulah kerap memutarkannya.


Caseback jenis skru diperbuat daripada stainless steel. Engravingnya dibuat cukup baik, malah lebih baik dari beberapa jam replika yang pernah aku tengok. 


Yang mengejutkan aku ialah..... ia menggunakan movement Miyota! Memang betul la movement Jepun.... 


Rupanya itu mengingatkan aku dengan Seiko military ini. Ia mempunyai persamaan dalam banyak segi? Adakah Darch homage kepada Seiko? Sama-sama kita saksikan...


Sekali tengok memang ada persamaan. Bukan saja designnya boleh dikatakan sama, malah layout dial juga sama... 


100% sama? Tidaklah sampai begitu... Ada la perbezaan sikit, namun secara keseluruhan dimensinya adalah sama.


Ketebalannya adalah lebih kurang saja. 


Dalam banyak segi, banyak persamaan antara kedua-duanya...


Tali nilon Darch boleh dikatakan agak baik juga buatannya. Ianya agak tebal & keras sedikit berbanding tali Seiko.


Ujian lume dilakukan terhadap kedua-duanya dengan mendedahkannya kepada cahaya UV dengan jeda masa yang sama.


Darch tidaklah seterang Seiko, namun tetap bercahaya. Lebih baik dari lume jam Orient.


Pemakaiannya selesa & rupa military itu sangat kuat padanya. Rupanya yang segak ini telah melembutkan hati aku untuk tidak meleraikannya.... 

Seperti mana Seiko, jam ini juga didatangkan dengan beberapa versi warna seperti hijau, biru, hitam, putih, khaki camouflage. Kepada yang berminat, anda boleh mencarinya di eBay dengan harga yang cukup murah. Mungkin jika jam ini dijual di sini, rasanya tidak akan dapat harga sepertimana yang dijual di eBay

Adakah Darch homege kepada Seiko? 
Kalau tanya aku.... memang ya!


Leia Mais…