Friday, October 29, 2010

Projek jam digital - reverse dial project (Bahagian 1)


Beberapa bulan lalu, saudara Nazri TimeAsItIs bertanyakan aku tentang suatu projek D.I.Y pasal mereverse display jam digital..... atau juga dipanggil reverse dial ataupun negative display.... Apa yang dimaksudkan itu adalah seperti jam di atas. Jika kebiasaan jam digital nombornya hitam dengan membelakangkan display cerah, reverse display pula adalah sebaliknya. Tertanya juga macam mana nak buat sebab selama ni aku ingatkan, LCD tu sendiri yang hitam, sebenarnya ia bukan seperti yang aku sangkakan. 

Berkekalkan link yang diberi Nazri pada ketika itu, kami berdua bersepakat untuk membuatnya. Berikut merupakan link tersebut:



Apa yang diperlukan untuk projek ini hanyalah jam digital sebagai mangsa & filem polaroid. Tq bro.



Projek ini dibuat setelah beberapa bulan aku mendapatkan filem itu (kiri). Untuk projek pertama ini, aku menggunakan jam Timex Ironman yang telah rosak kosmetiknya sebagai mangsa pertama. Kalau rosak pun tak kisahlah. Jam ini masih berfungsi dengan baik, cumanya casing saja yang mengalami kerosakan. 



Movement dikeluarkan mendedahkan ia cukup bersih & masih elok jika dibandingkan dengan casingnya itu.



Filem polaroid itu agak tebal sebenarnya & mempunyai satu lapisan stiker yang melapisi bahagian gamnya. Aku mengenakan filem itu pada bahagian ini & nombor masih kelihatan....



Apabila diterbalikkan filem itu, keseluruhan display menjadi gelap sepenuhnya.... Terfikir juga aku bagaimana nak menampakkan nombor-nombornya pula? Hmmmm.....



Filem itu dipotong sedikit mengikut saiz display. Sampai tahap ni, aku masih terfikir lagi bagaimana membuatnya.... Pada saat ini masih belum terdetik untuk membuka link yang pernah aku baca dulu tu.... mungkin filem itu kena letak di belakang LCD tu kot..... 



Aku ingat-ingat lupa sebenarnya cara pembuatannya... sebab dah lama baca artikel tu & aku buat terus tanpa menggunakan artikel itu sebagai panduan. Akibat tidak melihat semula artikel inilah hasilnya.... aku leraikan semua komponennya... Cuba letak filem belakang LCD tp tak berjaya.... Lepas tu barulah aku buka link artikel itu sebab fikiran buntu..... 

Rupa-rupanya..... aku tak perlu leraikan begini pun sebenarnya... menyusahkan diri sendiri.... suatu pengajaran buat diri sendiri untuk memastikan caranya terlebih dahulu supaya tidak membuat salah seperti ini lagi. Sengaja aku tulis apa yang terjadi ini supaya kawan-kawan tak buat begini.... hasilnya... Tipah tertipu jua....



Movement dipasang kembali & setelah membaca semula artikel itu dengan teliti barulah aku nampak jalan penyelesaiannya... Di atas skrin LCD itu sebenarnya terdapat satu lapisan filem yang nipis (bulatan merah). Filem ini tidak akan nampak jika tidak lihat betul-betul. Aku tak perasan ia sebenarnya adalah filem kerana merasakannya adalah plastik sebahagian dari LCD itu sendiri.



  1. Perlahan-lahan lapisan filem itu dicungkil
  2. Filem ditarik perlahan-lahan. Lihat, nombor sudah tidak kelihatan lagi.
  3. Jika dilihat dari sebelah ini, nombor-nombor masih kelihatan.
  4. Setelah filem dikeluarkan, inilah hasilnya. Tiada nombor kelihatan... seolah-olah kehabisan bateri.



Filem polaroid yang aku beli itu kini dicuba pula pada displaynya. Dua permukaan filem akan menghasilkan dua rupa yang berbeza. Kali ini, projek reverse display hampir berjaya.



Dengan menggunakan filem LCD asal, aku cuba terbalikkannya & hasilnya.... reverse display juga! Hmmm... Kalau aku tau, rasanya filem polaroid itu tak dibeli pun tak apa.... tapi filem asal itu pula dah renyuk & tak boleh lelekatkan pula memandangkan bahagian gam filem itu berada di bahagian atas. Banyak pengajaran yang aku terima & dapat mahal harganya.... banyak duit dikeluarkan sebelum ini sebahagian dari ujikaji... segala kesilapan yang berlaku selama ini dibayar dengan kos.... dengan penyampaian ini & sebelum-sebelum ini diharapkan dapat menjimatkan wang anda & beli serta buat benda yang perlu sahaja & tidak mengulangi apa yang telah aku buat. Anda pun tahu apa yang perlu dibuat....



  1. Stiker yang melapisi filem polaroid itu dibuka.
  2. Filem polaroid diterbalikkan & stiker dibuka perlahan-lahan sambil menekan filem itu supaya tidak wujud bubble.
  3. Hasilnya memuaskan.... reverse display/dial berjaya dilakukan.
  4. Rupa jam dengan lampu indiglo dipasang.


Movement dipasang kembali. Dalam cerah, penomboran display sukar dilihat. Kena on lampu indiglo untuk melihat masanya. Hasilnya berjaya & akan dibuat pada jam lain pula... 


.....nantikan sambungannya di bahagian 2.

Leia Mais…

Monday, October 25, 2010

Citizen Eco-Drive Chronograph.... untuk yang tersayang....

BEYOND PRECISION merupakan slogan Citizen yang bukan saja ringkas, malah memberi impak yang cukup besar terhadap syarikat itu sendiri. Ia telah menjadi identiti Citizen sendiri di mata dunia dalam penghasilan jam yang bermutu tinggi serta menepati waktu.


Jika sebelum ini banyak jam-jam lelaki yang aku ketengahkan, kali ini aku menampilkan pula jam untuk perempuan. Jam yang anggun, cantik & sangat bergaya untuk insan yang tersayang.



Casing jam yang silatuti emas ini tambah enak dipandang mata dengan dial diberikan sentuhan warna putih. Gabungan yang cukup serasi ini ditambahkan lagi dengan tali kulit berwarna putih juga. Hasilnya... suatu jam yang cukup anggun untuk kaum hawa.



Segala yang diciptakan untuk model ini sangat baik. Segalanya cukup kena & sesuai dgn design & kombinasi warnanya. Terdapat beberapa versi warna untuk jam ini & dirasakan kombinasi ini yang paling cantik. Sistem janaan kuasa Eco-Drive tak perlu diterangkan lagi, terbukti tahan, tepat & mempunyai power reserve yang mengagumkan. Setakat ini, tiada masalah diberikan oleh jam ini sepanjang 2 tahun menggunakannya.



Tidak seperti Seiko, Citizen masih mengekalkan pembuatan jam tangan mereka di Jepun. Masih jelas MADE IN JAPAN terpampang pada dial di sekitar pukul 6. Jam dengan 3 register ini mempunyai sub second pada pukul 6, counter masa chrono 60 minit pada pukul 10 & masa 24 jam pada pukul 2. Sedikit sentuhan warna merah memberi kontra yang jelas pada dial putih bersih itu dengan menonjolkan bahagian penting pada jam.


Cermin cembung ini adalah jenis sapphire & ianya agak tebal. Beberapa staff aku bertanyakan perihal jam ini semasa photoshooting ini dijalankan & yang pastinya staff perempuan yang paling teruja untuk mendekatinya & ada yang ingin memilikinya kerana menyangka aku ingin menjual jam ini. 



Crown tak bertanda mempunyai lekuk di bahagian tengah & keseluruhannya licin & tidak bergerigi. Nampak cantik & serasi dengan design casing.... namun itu hanya untuk kecantikan semata-mata. Agak sukar untuk adjust masa & tarikh kerana kesukaran untuk memutar crown akibat licin. Mujur juga jantungnya janaan Eco-Drive. Tak la selalu nak putar crownnya.



Seperti yang pernah dipaparkan & diceritakan sebelum ini, engraving pada caseback tidak begitu dalam & perlu dilihat di beberapa sudut saja untuk melihatnya dengan jelas. Logo 'bumi' itu menandakan identiti Eco-Drive Citizen. Keluaran jam ini adalah pada tahun 2008 bulan September. Bacaan tarikh keluaran adalah seperti Seiko.



Jam ini sebenarnya merupakan hadiah untuk isteri yang tercinta. Asyik cerita jam lelaki ja, sekali sekala seronok juga tengok jam pasangan pula....



Gandingan pasangan yang romantis.... dua jiwa satu hati. Moga berkekalan hendaknya....

Leia Mais…

Thursday, October 21, 2010

Perjumpaan yang bakal tiba...

Setelah beberapa perbincangan & survey dilakukan.... keputusan muktamat telah dicapai. Berikut adalah keputusannya:



Separuh telah memilih untuk membuat perjumpaan di rumah ataupun homestay. Seperti yang telah dibincangkan dahulu, perjumpaan dicadangkan diadakan di Putrajaya. Jika ramai kawan-kawan yang hadir, kemungkinan tempat tidak berapa sesuai diadaan di situ. Untuk itu, alternatifnya adalah dibuat di kedai makan/mamak. Jika ada sesiapa ingin menyediakan tempat perjumpaan juga dialu-alukan & kita boleh berbincang.

Namun, seperti yang dibincangkan dahulu juga, ada pro & kontra bila diadakan di situ & aku tak mampu untuk mencari kedai yang bersesuaian. Perlu mengharapkan rakan-rakan yang berada di sekitar KL untuk mencarinya.

Walaupun begitu, kita kekalkan dahulu tempat perjumpaan di Putrajaya sehingga aku dapat semua nama-nama yang ingin mengikuti perjumpaan ini. Kalau tak ramai yang hadir pun takda masalah sebab perjumpaan akan tetap dijalankan.




Jelas.... memang siang paling sesuai. Aku cadangkan perjumpaan dibuat selepas tengahhari. Bolehlah makan tengah hari dulu sebelum perjumpaan ni. Lepas tu sampai malam pun tak kisah dah. Bolehlah pagi tu siapkan apa yang patut dengan keluarga dahulu.




Penetapan hari telah dilakukan pada 4 Disember 2010 bersamaan dengan hari Sabtu. Kebetulan juga hatuh pada musim cuti sekolah. Jadi, takda masalah untuk rakan-rakan guru untuk datang.

Untuk perjumpaan ini.... tak perlu formal. Hanya perjumpaan santai, beramah mesra bersama kawan-kawan & mengenali rakan-rakan dengan lebih dekat jika selama ini kita hanya berjumpa di alam maya.

Untuk itu, aku ingin meminta nama penuh berserta nama samaran (dalam chat jika ada), email berserta nombor telefon untuk memudahkan perhubungan.

Hanya terhad kepada mereka yang memberi nama atau dijemput saja kerana tempat adalah terhad. Tempat perjumpaan akan disampaikan samada melalui email ataupun SMS kepada mereka yang memberi nama. Ini adalah perjumpaan tertutup & aku perlu melindungi privacy yang kita ada untuk tidak membenarkan mereka yang dikenali atau dikehendaki turut menyertainya.


Kepada yang berminat, sila emailkan nama penuh (serta samaran) & nombor telefon: kedaiduniajam@gmail.com.


Untuk melihat perbincangan sebelum ini, bolehlah layari PERJUMPAAN

Leia Mais…

Thursday, October 14, 2010

SNEAK PREVIEW - my grail watch....

Sah! Seiko rupanya!
Tapi jam apa ya?

Leia Mais…

Sunday, October 10, 2010

Di suatu ketika...

Sebelum wujudnya kamera digital yang hanya memerlukan kad memori sebagai penyimpan data gambar, era kamera yang menggunakan filem adalah pendokong kegemilangannya. Kamera yang menggunakan filem lebih sensitif dalam pengendaliannya & memerlukan pemilihan filem yang bersesuaian dengan suasana, aktiviti serta jenis gambar yang ingin diambil.

Dalam jangka masa panjang, penggunaan filem jenis ini memerlukan kos yang agak tinggi kerana perlu kerap membeli filem (yang dijual mengikut jenis ISO & bilangan snap), perlu mangambil gambar yang penting saja untuk menjimatkan filem & filem pula perlu dicuci untuk melihat hasilnya pula. Kalau baru belajar main kamera, lambat juga nak dapat skill yang baik kerana hasilnya hanya dapat dipastikan setelah filem dicuci. Pendek kata, ia memerlukan kos yang besar, memakan masa & makan ruang juga jika filem itu banyak.... serta memerlukan kesabaran....

Zaman sekarang mudah, segalanya digital. Jika tak puas hati dengan gambar yang diambil boleh padam pada masa itu juga. Kos lebih rendah kerana bukan sahaja hanya memerlukan kad memori sahaja, malah kamera digital itu sendiri pun murah juga. Generasi baru sekarang mungkin terlepas dengan zaman kegemilangan kamera yang menggunakan filem. Bukan tujuan aku nak bercerita mengenai sejarah kamera, hanya sekadar ingin mengimbau kembali zaman itu sahaja....



Kamera yang ditonjolkan ini merupakan kamera milik aku yang masih tersimpan dengan baik. Kamera ini pernah digunakan semasa aku di darjah 6 pada tahun 1992. Ketika rakan-rakan lain menggunakan kamera kompak, aku pula dihadiahkan abah dengan kamera ini yang memerlukan objek difokus dahulu sebelum gambar di ambil, dengan kata mudah seperti kamera SLR. Sedikit ilmu menggunakan kamera SLR abah memudahkan aku menggunakan kamera amatur ini.... Kondisi kamera SLR abah sangat baik walaupun dah berusia lebih 20 tahun.



Sebenarnya pada ketika itu, aku sangat menginginkan kamera kompak kerana lebih senang digunakan. Tapi memandangkan kos untuk membeli kamera baru agak tinggi ketika itu, jadi aku pakai sajalah hadiah pemberian abah ini. Bagus juga kerana kawan-kawan tak berani pinjam sebab tak reti guna. Hehe...

Lens boleh dilaras mengikut kesesuaian. Aku tak berapa mahir untuk menggunakan semua fungsinya. Hanya mampu guna fungsi asas sahaja. Cukuplah untuk penggunaan biasa budak 12 tahun.



Itu merupakan slot untuk perletakan kamera. Bila pasang kamera.... terasa berat tengkukku...


Kamera ini memerlukan bateri. Tetapi walaupun tanpa bateri ia mampu untuk mengambil gambar & tidak pernah juga aku memasang bateri selama penggunaannya.



Jika selepas filem habis & perlu ditukar, ianya perlu digulung semula masuk ke dalam gelungan filem sehingga tiada filem yang kelihatan. Sekiranya kamera dibuka begini sebelum habis filem digulung, maka rosaklah filem tersebut & hilang gambar yang telah diambil itu.... suatu prospek yang sangat tidak bagus....



Ruang dalamannya..... kini kamera ini telah menjadi klasik.....



Kepada yang tidak pernah berpengalaman melihat melalui view finder kamera jenis ini, beginilah keadaannya.

Kenangan bersama kamera ini masih segar dalam ingatan.... makin bertambah-tambah apabila melihat kembali gambar-gambar yang pernah diambil dengannya. Selagi hayat di kandung badan, akan disimpan kamera ini sehingga ke generasi seterusnya.

Leia Mais…

Thursday, October 7, 2010

Jam khas untuk sukan windsurfing

Gambar diambil dari http://www.wallpaperbase.com

Sukan yang melibatkan air banyak diakan di seluruh dunia. Salah satu sukan lasak air adalah windsurfing. Sukan windsurfing adalah sukan permukaan air yang menggabungkan elemen surfing & palayaran (sailing). Sukan yang memerlukan ketangkasan pelayarnya juga memerlukan fizikal yang kuat. Masa merupakan elemen penting dalam setiap aktiviti sukan yang diadakan.... pasti ada jam yang sesuai perlu untuk sukan yang bersesuaian......

... Citizen hadir dengan memperkenalkan....

Citizen Promaster Windsurfing



Model Windsurfing mula diperkenalkan sekitar tahun 1990an. Ia mempunyai beberapa design & bentuk. Dari beberapa model Windsurfing yang pernah ada, dirasakan model ini yang paling cantik & menarik. Jika sebelum ini banyak diceritakan keunikan jam digital Casio, kini dihidangkan pula dengan keunikan model digital Citizen....



Logo Promaster tampil dengan gahnya di bahagian atas jam. Bentuk logo tersebut mengingatkan aku dengan logo jam military. Tulisan diengraved dengan cukup kemas & jam ini mempunyai rating kalis air 100m.... sudah mencukupi untuk sukan dipermukaan air. Model yang sudah dihentikan pengeluarannya kini sangat sukar untuk dijumpai lagi sehinggakan ada blog yang mengklasifikasikan model ini sebagai ultra rare...



Model yang sama pernah dipaparkan oleh saudara DetikDuabelas. Yang beza hanyalah model ini menggunakan bracelet & milik saudara DetikDuaBelas dulu pula menggunakan tali getah. Ada dua versi warna dial untuk model ini. Satu lagi dialnya berwarna putih. Namun warna hitam ini nampak lebih mengancam.



Mempunyai bentuk segiempat yang simetri serta mempunyai design yang agak unik. Casing stainless steel keseluruhan ini menampilkan 2 jenis kekemasan padanya. Brushed finishing dibuat kemas tanpa lebihan di sekeliling bezelnya & selainnya diperkemaskan dengan blasted finishing.



Ia menggunakan cermin mineral. Sambungan end-link bracelet dibuat dengan cukup kemas dengan end-link betul-betul fit pada lug.



Di sekeliling chapter ring terdapat kod bendera antarabangsa (international code flag) yang digunakan dalam sukan windsurfing. Ia juga mempunyai beberapa fungsi seperti ALARM, LAMPU (illuminator), KALENDAR dan TIMER.



Ia juga mempunyai fungsi tambahan iaitu countdown timer 30 minit yang dibuat khas untuk sukan windsurfing (bulatan merah). Inilah keistimewaan model Windsurfing.



Bracelet jenis tak solid dengan blasted finishing & polished finishing di tengahnya memberikan pemakaian yang cukup selesa.



Ukiran logo Promaster pada caseback kemas dengan memberikan wajah yang cukup gagah pada jam ini. Dengan caseback dibuat agak flat ini, ia mampu memberikan keselesaan yang sewajarnya apabila memakainya.



Pertama kali memandangnya pasti akan wujud perasaan ingin tahu kerana bukan saja bentuknya yang unik, malah susun atur paparan LCD & perinciannya membuatkan kita terasa untuk mendekatinya dengan lebih dekat...

Sekiranya terjumpa jam ini di mana-mana kedai, jangan lupa untuk melihatnya dengan lebih dekat & pasti kelebihan yang ada padanya itu mungkin dapat menarik minat anda...

Leia Mais…

Tuesday, October 5, 2010

Futurist...... masa depan ada di sini....

Sophisticated, kompleks, pelik, fungsi yang sangat pelbagai, kecil, padat.....merupakan antara ciri-ciri gadget terkini & idea masa hadapan yang dapat dibayangkan manusia. Jam yang istimewa ini menggunakan pendekatan yang lebih ringkas....



Casio kini menampilkan suatu model yang seiring dengan perubahan zaman dengan bentuk yang lebih terkini & futuristic..... Inilah Casio Futurist.

Pandangan tepat ke arahnya, hanya kelam yang kelihatan..... tiada apa yang tersurat melainkan yang tersirat....



Display krom bak cermin itu akan memberikan rupa yang gelap jika dipandang secara tepat, tetapi akan terserlah rupanya yang tersirat apabila dipandang dari sudut yang lain. Casing yang keseluruhannya stainless steel mempuyai bentuk segiempat sama.



Kedua-dua sisi jam mampuyai 2 botton ada posisi yang sama. Design jam ringkas namun menarik.



Design & paparan LCD model ini sangat menarik perhatian. Cara susun atur penomborannya itu sangat berlainan dari kebiasaan jam digital. Sesuai dengan namanya Futurist, penampilannya ini menampakkannya seperti jam yang futuristic.

Sengaja aku paparkan kamera lama aku yang sudah pun lingkup.... 2 kamera jenama yg sama lingkup dengan masalah yg sama.... lens...... Kalau kamera kompak rosak.... elok beli baru sebab harga repair boleh dapat kamera baru... aku dah terkena....



Jika kebiasaan jam digital mempunyai liquid crystal yang berwarna hitam, jam ini mempunyai liquid crystal yang berwarna ungu. Apabila terkena cahaya, ia nampak seperti batu permata. Mereka bijak mencipta kelainan ini kerana jika dilihat paparannya seolah-oleh LCD itu hanya dilekat dengan stiker. Selain fungsi asas kebiasaan Casio iaitu STOPWATCH, TIMER & ALARM, ia juga mempunyai fungsi WORLD TIME. Selain display berwarna krom ini, ia juga mempunyai pelbagai pilihan warna LCD.



Di dalam gelap, ia memarkan suatu nyalaan yang cukup cantik, terang & jelas.



Caseback adalah jenis snap-on & caseback model terbaru Casio kini memaparkan fungsi yang ada padanya & fungsi setiap botton. Jika model lama Casio tertera fungsi button di dial, yang baru pula pada caseback bagi mengurangkan rasa semak pada dial & memberikan rupa yang ringkas.



'F' untuk Futurist.... Logonya pun nampak futuristic. Bracelet mempunyai deploy clasp dengan push-button.



Pemakaian jam ini dirasakan selesa.... rasanya kurang sesuai untuk lelaki. Sesuai untuk kaum hawa & remaja. Ia sesuai dipakai untuk bersantai & majlis tidak formal. Jika jam dilihat secara tepat, LCD akan nampak gelap & tidak nampak apa-apa. Perlu condong sedikit untuk membaca waktu. Genius!

Model Futurist menampilkan rupa serta design yang futuristic. Ia mampunyai pelbagai rekaan & fungsi dengan harga yang sangat berpatutan.

Leia Mais…