Sunday, June 19, 2011

Imbauan perjalanan Dunia Jam diteruskan lagi....

 Kehidupan perlu diteruskan walau apa jua ujian.... Dikala koleksi aku semakin banyak, aku sudah rasa pembaziran berlaku kerana ada jam yang aku beli tapi tak pakai pun & bukanlah aku minat betul-betul. Aku beli kerana sukakan bahagian tertentu pada jam itu saja & bukannya keseluruhan jam itu. Yakni, jam yang aku rasa aku suka walau tak minat sepenuhnya pun aku beli. Waktu itu aku ada tuntutan beli jam setiap bulan & perlu direalisasikan sebab aku tak senang duduk kalau tak beli jam. Pernah 6 jam & lebih aku beli serentak.... Hmmm.... Aku masih tercari-cari laluan & sepanjang perjalanan tu aku sudah nampak sikit laluan aku yang kabur sebelum ni.

Untuk mengurangkan koleksi, aku wujudkan satu lagi blog jualan yang berasingan dari blog ini kerana aku nak kekalkan blog ini sebagai suatu blog informasi tanpa disemakkan dengan jam-jam jualan aku. Walau tak banyak, aku rasa ia perlu untuk membantu mengurangkan koleksi aku. Disamping itu, ia juga sebagai platform untuk kawan-kawan rapat aku menjual jam mereka. 


Aku memohon maaf diatas banyak permintaan yang aku tolak dari mereka yang aku tak kenali mohon menjual jam mereka. Bukan apa, aku risau dengan status & kejujuran orang yang minta tolong tu kerana tak pernah jumpa & kenal. Aku tak mahu nama aku tercalar jika orang itu nak mengambil kesempatan & menipu pembeli. Sebagai langkah berjaga-jaga, aku hanya terima iklan jam kenalan rapat aku & jam-jam yang aku tengok live.


Disamping itu, aku juga wujudkan group Facebook Dunia Jam untuk kawan-kawan yang mempunyai akaun FB berinteraksi & berkenalan secara maya & cepat. Informasi & pandangan serta perkongsian dapat diwujudkan dengan cepat & lebih baik. 

Bagi rakan-rakan yang mempunyai akaun FB & ingin menyertai Dunia Jam, sila klik link di bawah atau pada sidebar. Sertailah kami kerana di sana ramai-rakan yang aktif & masing-masing berkongsi pendapat & minat yang sama banyak juga informasi yang diberikan di samping blog yang memerlukan masa yang panjang untuk update. 




Perkenalan dengan saudara Hassan DetikDuaBelas bukan saja secara telefon & berjumpa sekali. Kami kerap bertemu & beberapa kali aku telah berkunjung ke rumahnya. Banyak koleksi mengancam jiwa disajikan. Walau tidak boleh dimakan, tapi boleh menjadi santapan jiwa. Banyak koleksinya yang sangat rare & sukar dijumpai kini & beliau juga sangat terbuka dalam koleksinya. Hebat!


 Ini merupakan kali pertama aku bertemu dengan Seiko 6105 secara live. Selama ini aku hanya digembar gemburkan mengenai jam ini & ternyata ia telah memukau aku & telah menjadi idaman aku selepas itu.... Ia kini telah menjadi koleksi yang paling aku sukai selepas Seiko Orange Monster. Ramai yang minta membelinya & menawarkan harga yang tinggi, namun aku tidak terasa menjualnya kerana disebabkan jam ini jugalah, minat aku terhadap banyak jam vintage semakin pudar & membuatkan aku jual banyak jam vintage aku. Mungkin chemistry yang kuat dengannya buat aku sayang untuk melepaskannya.


Gambar MMS yang aku terima dari saudara Hassan suatu ketika dulu
 Banyak ilimu aku perolehi dari saudara Hassan. Bukan saja mengenai jam malah banyak benda berkaitan kehidupan. Selain itu, ilimu fotografi turut diturunkan kepada aku. Sedikit sebanyak ilmunya itu aku praktikkan  & walaupun gambar aku ambil tidak secantik dengannya tapi dapatlah aku perbaiki cara aku sebelum ini yang hanya hentam sajalah Labu..... Terima kasih...


 Seperti yang aku katakan, saudara Hassan terbuka dalam koleksinya & beliau sorang yang open minded. Selain jam-jam Jepun & Swiss, koleksi beliau juga merangkumi jam Rusia & Jerman. Ini merupakan sebahagian koleksi miliknya. Aku terpaut dengan design & sejarah aeronotikal yang menjadi tunjang kepada jenama ini....  & aku teringin untuk memiliki satu suatu hari nanti....


 .... alhamdulillah... bagai bulan jatuh ke riba... Junkers JU52 ini telah memasuki koleksi aku & merupakan suatu yang amat berharga untuk aku. Jam ini merupakan hadiah sempena ulang tahun aku dari isteri tercinta. Sudah lebih kurang 2 tahun ia dalam koleksi aku. Dibeli dari Red Army Watches Tropicana Mall, PJ..... jam ini hanya ada 2 koleksi saja iaitu oren & biru. Menurut mereka, jam ini sudah dihentikan pengeluarannya & hanya 2 koleksi itu saja dibawa masuk mereka ke Malaysia. Ternyata aku insan bertuah memilikinya... Ramai yang minta beli & aku mohon ampun kerana tak mungkin aku menjualnya... kerana ia hadiah teristimewa buat aku....

Selain Red Army Watches, ada satu lagi kedai pun membawa masuk jam ini tapi berwarna oren (lupa pula nama supermarket tu). Namun jika anda mahukan jam itu, anda perlu tanya saudara Hassan DetikDuaBelas kerana jam itu perlu dibeli darinya.... Junkers adalah keluaran Jerman tapi jam ini menggunakan movement 3133 buatan Rusia yang susur galurnya datangnya dari Valjoux 7734....


 Koleksi aku agak pelbagai & halatuju aku sudah ada kini... walau tidak sehebat orang lain.. minat aku amat berlainan dari kawan-kawan yang aku kenali. Sejak aku mula kenal jam, aku jatuh cinta dengan jam Casio digital sejak sekolah rendah. Minat itu bercambah hingga kini & walaupun aku meminati jam mekanikal, cinta aku terhadap jam digital tak pernah padam. Ini adalah koleksi jam digital dalam simpanan aku termasuk yang rosak. Bilangannya jauh lebih banyak dari jam mekanikal yang aku miliki kini. Ada beberapa yang aku dah jual... kalau dicampur jauh lebih banyak.

Bila ingin berjumpa kawan-kawan jam, aku agak segan nak bawa koleksi aku kerana ramai yang tidak menyukai jam digital & koleksi mekanikal aku kini hanyalah jam-jam biasa di mata orang lain. Tapi aku berpuas hati dengan apa yang ada sekarang walau banyak jam-jam yang collectible yang aku dah jual. Ada banyak sebab aku menjualnya salah satunya tiada chemistry aku dengan jam itu... (jika minat mendalam anda akan faham)...


 Selain jam-jam mekanikal yang aku jual, jam-jam quartz digital turut aku jual. Ini merupakan sebahagian darinya termasuklah jam aku terasa nak jual tapi tak jadi....


Seperti yang dinyatakan pada artikel yang lepas, Seiko Scubamaster merupakan jam grail aku. Dengan jam ini jugalah, minat aku terhadap jam lain semakin pudar & halatuju serta pemilihan jam telah diketahui. Jam yang menjadi idaman aku sejak tahun 1992 ini telah menjadi kenyataan.. Alhamdulillah... ianya sangat istimewa pada aku... Aku tak pedulikan apa yang orang lain kata kerana itu tidak penting melainkan perasaan sendiri sebab aku bukan pakai jam nak menunjuk atau bagi orang lain puas hati atau impress... Jika ada masa, aku cuba review jam ini jika mood aku ada juga....

.....ikuti kisah selanjutnya....

Leia Mais…

Wednesday, June 15, 2011

Imbauan perjalanan Dunia Jam dalam mencari pengalaman...

    Pengalaman aku tak seberapa... Banyak info aku dapat dari internet. Namun ilmu tak memadai hanya dengan membaca di internet kerana ia lebih kepada teori yang akan kita lupa lepas beberapa lama. Ilmu bacaan di internet pula memang banyak. Bila mana ilmu dapat di internet boleh didapati dengan mudah, kita akan mudah menggunakan kembali ayat yang sama dari web-web yang kita baca itu & mempergunakan pula kembali... & ia turut berlaku kepada aku kerana fakta tak boleh ubah. 1+ 1 = 2..... 

Namun aku cuba untuk tidak copy&paste tapi mengubahnya mengikut ayat aku sendiri. Orang akan nampak pandai seperti otai yang main jam berpuluh tahun dengan kemudahan ini.... namun hakikatnya jauh arang dari api... Ada yang cuba berlagak pandai, tapi otai jam dapat mengenali mereka ini dengan cukup mudah.... Namun kebiasaannya otai-otai jam hanya berdiam diri menyaksikan dia memperbodohkan dirinya sendiri.... Tak salah copy&paste, namun biarlah bermaruah....

Aku merasakan suatu yang tidak kena jika hanya copy&paste 100%. Namun bila data tidak mencukupi, ia tidak dapat dielakkan. Itu masih tidak memadai kerana ia bukanlah ayat yang sepatutnya keluar dari kepala aku sendiri. Ayat English yang cuma alih bahasa kepada bahasa Melayu tidak begitu menarik minat aku walau terpaksa. Jadi sesuatu perlu aku lakukan... ilmu kena tambah.... bukan hanya dari satu sumber saja... Aku perlukan guru.... Guru aku ialah tukang-tukang jam pada waktu itu kerana tidak banyak kawan. Bila mereka buat kerja aku akan perhatikan apa yang mereka buat. Perlahan-lahan aku cuba fahami akan yang mereka lakukan.... Balik rumah aku nak buat. Jadi aku perlukan alat-alat...


Ini adalah sebahagian alat-alat yang aku beli. Tools 16 set items, polisher yang aku perhabis banyak duit, holder jam & tambahan alat-alat yang sedikit-demi sedikit aku tambah. Namun masih tak lengkap sepenuhnya. Tapi projek D.I.Y sudah boleh dilakukan. Sedikit sebanyak teori aku dapat praktikkan & try&error berlaku. Pengalaman yang aku kecapi itu aku sampaikan pula di dalam blog. Aku akan faham sepenuhnya & ingat perkara tu serta memperbaiki kesalahan yang aku buat dari teguran & komen dalam blog ini. Terima kasih kepada kawan-kawan..

Alhamdulillah... aku dapat berkenalan dengan beberapa guru/sifu yang banyak beri tunjuk ajar aku. Mereka ini tiada blog, jadi ilmu yang aku dapat, aku cuba sampaikan pula melalui blog aku. Sekurang-kurangnya dapat menjadi rujukan kepada kawan-kawan & generasi seterusnya. Mereka-mereka ini sangat berpengalaman. Bukan saja power teori malah praktikal serta pengalaman berbelas malah puluhan tahun main jam. Bila mana teori digabungkan dengan praktikal, kita akan lebih mudah faham & appreciate apa yang kita perolehi itu. Pengalaman yang dikecapi itu adalah suatu yang PRICELESS! 


Pengenalan aku dengan saudara Zahir telah mambuka mataku kepada jam-jam Swiss yang berkategori high-end. Beliau banyak menceritakan aku tentang jam Swiss & Jepun. Pada waktu ini, koleksi aku agak berterabur kerana aku tidak tahu apa yang betul-betul aku minat sebenarnya. Asal jam tu ada sikit saja bahagian yang aku suka, aku akan beli. Jadi banyaklah jam yang aku beli. Ini adalah satu fasa pembelajaran kepada aku namun duit yang aku perhabis juga agak banyak.... Takpa semua itu pengalaman bermakna. Pengalaman aku ini aku cuba sampaikan pula kepada kawan-kawan yang baru ber'main' jam supaya tidak habis banyak duit dalam pencarian jam jiwanya. 

Ini juga merupakan pengalaman pertama aku dengan Rolex Submariner! Yang kini merupakan ikon kepada aku....


 Ini merupakan detik pertama kali aku melihat secara live rupa movement jam chronograph Swiss. Aku kagum dengan kompleksiti komponen & pergerakannya. Susun atur setiap bahagian komponen yang berinteraksi antara satu sama lain memberikan pergerakan yang harmoni.


 Beberapa rakan jam yang aku kenali juga menunjukkan aku koleksi mereka. Paparan setiap model merupakan suatu yang baru kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini. Setiap jam yang aku pegang & belai memberikan suatu pengalaman yang baru. Dengan paparan jam-jam vintage seumpama ini, membuatkan aku lebih appreciate & memahami akan jam vintage.... Tak kenal maka tak cinta...


 Orientasi & taste aku, telah aku dapat dengan penyaksian banyak jam-jam dari kawan-kawan. Konsep asal blog aku diteruskan, yakni aku sedaya upaya cuba untuk hanya review jam yang aku tengok secara live.... kerana aku dapat appreciate, ambil gambar & dapat menceritakan perihal jam itu dalam blog dengan lebih baik. Ditambah pula dengan research dari internet akan memudahkan aku review jam itu dengan lebih baik & faham akannya serta dapat garap, olah & menceritakan mengenainya mengikut gaya aku sendiri. Jam chronograph kini merupakan salah satu daya penarik untuk aku & salah satu pilihan hati.... Namun aku bukanlah seoarang yang profesional... hanya sorang amatur yang ingin menyelit dalam ribuat peminat jam. 


 Gambar-gambar ini merupakan MMS yang aku dapat dari saudara Zahir yang merupakan salah sorang sifu aku yang low profile. Jam-jam yang gempak dalam blog aku perolehi darinya... Tanpanya, masakan aku dapat merasa jam-jam tersebut di tangan aku kerana aku tidaklah mampu untuk memilikinya lagi.... Terima kasih banyak bro...


 Rolex Sub merupakan salah satu jam impian aku... Selama ini hanya dari bahan bacaan & gambar internet saja aku melihatnya... Kini ia sudah di depan mataku....


 Kerana sangat sukakan Sub, saudara Zahir juga turut membantu aku dalam mencari homage Sub yang terbaik untuk aku. Ternyata Epos Sportive 3396 menjadi pilihanku berbanding calon-calon lain.


Dari kawan-kawan juga aku dapat membuat review banyak jam. Banyak jam-jam yang best tak mampu aku beli dapat aku tengok & pegang. Minat terhadap jam diver telah berkembang dalam diri aku seiring dengan pertambahan minat aku yang mendalam dalam dunia jam....


 Doxa Sub1000T Professional ini merupakan jam limited edition untuk Project Aware merupakan koleksi terbaru sahabat aku ini pada waktu itu. Doxa berdial oren merupakan bapa kepada jam diver pertama dunia yang berdial oren. Merekalah yang mula-mula menciptakan jam diver berdial oren yang kemudiannya diikuti oleh banyak lagi jenama.


 Seiko Marinemaster ini merupakan salah satu lagi koleksi terhebatnya. Siapa sangka ada Seiko yang berharga lebih RM8k. Orang yang tidak tahu sejarah akan mencemuh kerana harganya yang mahal itu. Tapi dengan akal yang waras tanpa dipengaruhi emosi, anda perlu tabik dengan Seiko walau betapa agungnya jam Swiss dalam diri anda itu.... Kerana Seiko jugalah yang membuatkan puluhan malah ratusan syarikat Swiss gulung tikar.....


 Bermula dari replika.. nampaknya ia terhenti dengan koleksi menangis Panerai Luminor 112 original. Pertama kali dalam sejarah diri aku dapat menyaksikannya depan mata akan kecantikkannnya & aku akui jam ini memang sangat cantik & auranya sangat hebat. Memang patut ramai orang seluruh dunia menggilainya...... 


Jam-jam hebat begini aku kenali kerana kawan-kawan & sifu aku. Bila berkawan begini, kita boleh mencari jam yang collectible dengan lebih mudah kerana interaksi, pengalaman mereka sangat berguna & lebih cepat sampai disamping pembacaan. Dapatlah kita gabungkan info yang kita dapat itu & keluar dengan keputusan yang tepat untuk kita.


 Salah satu Rolex terawal aku kenal ialah model ini yang dimiliki sifu terhormat aku. 


 Koleksi sifu aku ini pula sangat menggentarkan jiwa aku.... banyak jam-jam hebat, pelik dapat aku tengok & ilmu aku bertambah dengan penceritaan satu-persatu mengenai jam miliknya ini... Macam-macam aku perolehi dengan pertemuan bersama sifu-sifu ini.....


 ....terutamanya Omega military itu yang ramai orang minta untuk beli darinya yang tak mungkin akan dijualnya... 


.... sifu-sifu aku ini sangat terer bab movement & dapat mereka ceritakan satu persatu fungsi, tujuan setiap komponen movement. Aku semakin faham akan perincian movement jam. Sedikit sebanyak aku sudah mendapat idea tentang fungsi & pergerakan komponen jam.....

.... perjalanan aku masih jauh & aku masih mentah dalam dunia jam walau pada saat ini... ikuti sambungannya....

Leia Mais…

Sunday, June 12, 2011

Imbauan perjumpaan Dunia Jam dengan rakan-rakan......

Mengambil semangat perjumpaan kawan-kawan di Amcorp Mall hari ni... membuatkan aku terkenang kembali perjumpaan aku dengan kawan-kawan sebelum ni.... Semasa permulaan aku buat blog, aku tidak ada kawan-kawan yang aku kenal yang turut minat jam di tempat tinggal aku... Jadi kawan blog adalah tempat berkongsi minat. Waktu tu aku tak aktif sangat 'ber'Facebook. 

Perkenalan aku dengan kawan-kawan seangkatan di Perlis bermula dengan perjumpaan dengan sifu aku ketika ini apabila beliau menghubungi aku untuk membeli jam aku. Bermula dari situ, aku mula rapat dengan beberapa kolektor di Perlis & aku banyak belajar dari mereka ini.... Ramai juga sebenarnya kawan-kawan kolektor di sini. 

Gambar di atas merupakan perjumpaan seterusnya yang turut memperkenalkan aku dengan sorang lagi kolektor yang merupakan 'lubuk' kerana jam yang beliau beli tak akan dijual sampai bila-bila. Makin bertambah & bertambah. Boleh buat muzium jam kerana jam beliau sangatlah banyak! Aku agak segan untuk membawa koleksi aku kerana koleksi aku hanyalah jam biasa & jam baru & mudah di dapati dikedai.... Pada waktu itu orientasi aku beli jam tak consistent & tiada hala tuju serta tidak tahu apa minat aku sebenarnya... Perkenalan dengan kolektor-kolektor membolehkan kita banyak belajar mengenai jam & ambil pengalaman mereka sebagai pengajaran...



 Beberapa perjumpaan lagi diadakan & apa yang dipaparkan di sini merupakan sebahagian daripadanya saja... Cinta aku terhadap Seiko semakin bertambah sehari demi sehari dengan perkenalan aku dengan model-model hebat Seiko oleh sifu di Perlis & aku mula study serta buat research mengenai kehebatan Seiko..... ternyata tidak mengecewakan aku!

Ilmu mengenai jam sedikit demi sedikit aku korek dari mereka ini, seller-seller kedai jam & sorang tukang jam paling otai di Perlis yang kini telah pun bersara... isk....



Perjumpaan seterusnya ini diadakan dengan rakan-rakan kolektor Perlis pada 19 Februari 2010. Sifu-sifu aku hadir & aku diperkenalkan lagi dengan dua orang lama dalam dunia jam...


 Banyak jam-jam yang belum aku pernah tengok diperkenalkan. Minat aku terhadap jam lebih kepada jam-jam baru sebenarnya. Namun melalui sifu-sifu ini, aku banyak belajar mengenai jam-jam lama & pada waktu itu juga, koleksi jam-jam lama aku melebihi bilangan jam baru. Info berukar-tukar & kita akan lebih appreciate sesuatu jam apabila tahu lebih mendalam mengenainya... Aku sudah mula tahu hala tuju aku dalam pencarian jam koleksi aku....




Ini merupakan pertemuan kedua aku bersama sahabat Hassan DetikDuaBelas di R&R Ayer Keroh, Melaka... Pertemuan bersemuka kali pertama dengan beliau ialah semasa beraya ke rumah mertuanya yang kebetulan dekat dengan kampung aku. 

Perkenalan dengan saudara Hassan bermula dengan komen-komen beliau yang kerap di ruangan CHAT di blog ini dahulu. Pada waktu itu beliau belum mempunyai blog lagi. Kami sering berSMS & bertelefon. Hubungan semakin akrab & beliau merupakan seorang kolektor jauh paling kerap aku jumpa. Jika tak jumpa di kampung, aku akan berjumpanya di KL samada di rumahnya ataupun pejabatnya. Tidakku sangka koleksi yang beliau miliki luar biasa & diluar jangkaan aku. Respek bro! 

.....ikuti kisah seterusnya....

Leia Mais…

Tuesday, June 7, 2011

Pernah tengok?

Ini bukanlah jam meja atau jam loceng.... tetapi adalah jam dari kokpit jet pejuang zaman perang di Vietnam. Ada yang mendapatkan sumber dari pesawat-pasawat tempur yang terhempas di sana & mungkin ada yang dapat dari pesawat yang ingin dilupuskan. Kebanyakannya, jam ini datangnya dari Vietnam. Ada pelbagai bentuk & jenis jam sepertimana jam tangan juga.


Jam ini mempunyai fungsi chronograph selain menunjukkan masa. Ada juga jam chronograph yang lebih kompleks. Seperti tenteta darat, tentera udara sangat pentingkan masa. Jadi dengan adanya jam dengan kelebihan ini, ia sangat berguna dalam misi mereka.



Keadaan jam ini sangat baik & fungsi chronographnya masih boleh digunakan. Dua push button padanya itu bertindak seperti crown untuk mengunci jam & sebagai button chronograph.



Keadaan jam ringkas sahaja. 2 batang skru yang menonjol itu adalah sebagai penambat jam ini pada kokpit kapal terbang. Walaupun dah tua, keadaan jam ini sangat memuaskan hati... tunggu sehingga kita lihat 'jantung'nya pula...



Keadaan movementnya sangat bersih tanpa sedikit kecacatan. Keadaan movementnya boleh dikatakan mint. Movement boleh hack & komponen-komponennya yang besar itu memudahkan kita memahami pergerakannya.



Jam ini kini telah diberi nafas baru oleh tuannya. Kini ia menjadi suatu perhiasan meja yang cukup unik... Aku terasa nak memilikinya juga nanti. Nak pasang kat Beetle aku... ekekeke....

Leia Mais…

Friday, June 3, 2011

Seiko 6138-0040 Bullhead.... Seiko Tanduk Lembu!?

Bullhead adalah satu nama yang sinonim dengan Seiko. Nama yang diberikan oleh peminat jam ini mempunyai impak yang tersendiri & namanya itu sendiri sudah menceritakan fizikal jam itu. Boleh dikatakan Bullhead merupakan salah satu siri 6138 kedua termahal selepas 6138-7000 pilot/slide-rule/calculator. Dengan bracelet fishbone ini, harganya boleh cecah lebih dari RM2k.


Ciri-ciri yang sangat unik & ketara serta membezakan ia dari yang lain ialah kedudukan crown & push button yang diletakkan di bahagian atas. Ini menjadikannya sangat unik & berlainan sekali berbanding kebiasaan jam. Orang yang tak minat jam akan tertanya-tanya akan keunikan jam ini kerana sangat berlainan & perasaan ingin tahu itu akan muncul.

Kedudukan crown & push button beginilah yang menyebabkan nama Bullhead itu dipilih mungkin menyamai rupa kerbau/lembu bertanduk. Bila sebut saja Bullhead, pasti imej jam ini yang akan tergambar dalam kepala. Kedudukan itu juga menjadikan design jam ini lebih tebal di bahagian atasnya. Ia juga jauh lebih tebal dari mana-mana adik-beradiknya dalam siri 6138.... kalau tak salah aku la berdasarkan beberapa bandingan koleksi terdahulu aku & beberapa model 6138 yang lain...


Perbandingan saiz antara beberapa model 6138.... dari kiri Bullhead, Panda, Jumbo, UFO & yang paling kanan adalah Helmet 6139. Dari segi saiz, kesemua 6138 mempunyai saiz yang lebih kurang sama, yang membezakan selain design ialah ketebalannya. Dalam semua ini, favorite aku adalah UFO....



-------------------------------------------------------------------



Pelbagai jenama lain juga mempunyai model 'Bullhead' mereka sendiri.... Ciri-ciri yang lebih kurang sama itu memberikan gelaran yang sama. Berikut merupakan beberapa kompilasi jenama-jenama yang mempunyai model 'Bullhead'.

Gambar pinjam.
Alba AKA (kiri) & Pulsar (kanan).... Alba AKA itu sudah tidak dikeluarkan lagi. Alba, Pulsar & Lorus merupakan anak syarikat Seiko. Kedua-dua jam itu menggunakan movement quartz.


Gambar ehsan dari DetikDuaBelas.
Citizen juga turut mengeluarkan model 'Bullhead' atau lebih dikenali sebagai Mickey Mouse. Dikala orang lain menghasilkan 'Bullhead' dengan saiz yang agak besar, Citizen hadir dengan menawarkan saiz yang kecil sedikit. Mungkin nama Mickey Mouse lebih serasi dengannya. Menggunakan movement automatik, ianya mempunyai struktur komponen yang lebih kecil & halus buatannya berbanding Seiko. Harga yang ditawarkan juga tidaklah semahal Seiko Bullhead. Ia merupakan satu pilihan yang tepat untuk penggemar jam chronograph.


Gambar pinjam.
Citizen tidak berhenti di situ.... Kini dengan populariti & kecanggihan teknologi Eco-Drive, mereka menawarkan peminat dengan model high-end yang turut menggunakan teknologi hebat itu dengan model Citizen Eco-Drive CTZ66-0472. Ia dijual pada harga Yen$105000 (Higuchi-Inc).


Ini pula merupakan antara model-model 'Bullhead' keluaran Swiss. Ciri-ciri 'Bullhead' tidak jauh berbeza. Mungkin ada diantaranya menggunakan movement yang sama. Walaupun sama, sudah pasti harganya jauh berbeza mengikut jenama & kelasnya....


Gambar pinjam.
Seiko Prospex SBDP021 adalah suatu model yang agak unik & sangat jarang dijumpai. Jam ini boleh di'berdirikan' begini untuk memudahkan bacaan... mengikut firasat aku la... Mungkin untuk memudahkan bacaan chronograph ketika jam diletakkan di atas meja..... Rasanya tak pernah masuk Malaysia.... & mungkin ianya hanya untuk pasaran Jepun...


Gambar pinjam.
Selain model vintage BullheadSeiko tidak lokek dalam menyampaikan yang terbaik kepada peminatnya dengan memperkenalkan model Seiko IZUL SDAA001 ini. Ia merupakan model chronograph yang dilengkapi movement Spring Drive.... satu lagi teknologi hebat dari Seiko. Jika push button & crown  mana-mana Bullhead berada di bahagian atas, model ini berada di bahagian bawah. Kalau tidak kerana tulisan SEIKO itu, rasanya mungkin ramai yang akan tengok jam ni terbalik....


Gambar pinjam.
Ini pula merupakan Seiko Spring Drive Spacewalk. Turut menggunakan movement Spring Drive, ia dihasilkan untuk kegunaan seorang designer video game yang akan berlepas ke angkasa pada masa itu.

Cerita mengenai penciptaan model ini boleh dibaca pasa link di bawah:



------------------------------------------------------------------




Jika diperhatikan, bahagian atas (push button) adalah lebih tebal & menguncup ke bawah. Ia mempunyai 2 jenis finishing iaitu polished & brushed. Keadaan casing jam ini rasanya masih tidak direfurbish disebabkan mempunyai kesan calar yang halus-halus. Namun keseluruhannya masih berkeadaan baik.


Bullhead yang dipaparkan ini menggunakan cermin akrilik. Untuk membuka cermin, hanya perlu membuka bezelnya saja. Ada beberapa gasket yang berada di bahagian sambungan cermin bagi menghasilkan seal yang baik. 


Keadaan bezel mempunyai sedikit calar di bahagian atas. Model Bullhead mempunyai 2 versi warna iaitu coklat & biru.


Dial bertona cerah di bahagian tengah ini berkeadaan sangat baik & memuaskan. Model Speedtimer dikatakan sangat dicari para pengumpul Seiko. Ada yang mengatakan ia merupakan model pasaran Jepun. Boleh jadi memandangkan tarikh jam ini merupakan bahasa Kanji... Namun aku tak pasti sejauh mana kebenarannya... Mungkin ada rakan-rakan yang lebih arif mengenai hal ini.


Dial dengan 2 register ini mempunyai 2 lapisan dial... memberikan imej yang lebih kemas & standart. Dial register berwarna keemasan dengan brush finished... memberi kontra yang jelas & sesuai dengan kombinasi warna dialnya.


Jarum masih berkeadaan sangat baik namun aku merasakan yang ia telah dicat semula. Tak apalah... asalkan jarum itu adalah untuknya & bukan dari model lain.


Seperti kebanyakan 6138, penutup caseback adalah jenis skru. 


Perkara yang paling menarik perhatian ialah bracelet 'fish bone' ini. Ianya dirasakan sangat sesuai dengan jam ini & membuatkan jam kelihatan sangat cun! Bracelet 'fish bone' diberi nama begitu disebabkan ia hampir menyerupai tulang ikan. Setiap link bracelet hanya disambung antara satu sama lain dengan link kecil di tengahnya. Nampak seperti menyakitkan apabila dipakai namun sebenarnya ianya sangat selesa.


Tengok macam besar, memang besar pun... tapi rasa sesuai juga dengan tangan aku ni. Untuk pakai ke tempat kerja setiap hari aku tak begitu berminat sebab ianya agak tebal bila dikenakan kameja lengan panjang. Imej yang ditampilkannya berbeza dari 6138 aku yang lain. Jiwanya juga berbeza....


Pemakaiannya di rasakan berat di bahagian atasnya... pendapat aku la.... Mungkin disebabkan ianya lebih tebal di bahagian atas. Mula-mula pakai rasa pelik juga... tapi lama-lama aku dah boleh terima & serasi dengannya.

Seiko Bullhead adalah suatu sejarah yang kekal hingga kini... Ianya masih menjadi pujaan & diingati serta merupakan jam yang di admire ramai. Suatu yang digemari pengumpul adalah kerana harganya tidak begitu ketara turunnya malah seolah-olah sudah ada harga syiling untuk jam ini. Jika berhajat di hati... apa salahnya hadiahkan diri anda jam yang menarik ini... 

Leia Mais…