Monday, January 27, 2014

Memoir seorang 'biker'.....

'Sudah lama benar aku tak 'menulis' sesuatu di blog ini. Bila mula menulis kembali, tak berkaitan langsung pula dengan 'Dunia Jam'.... apa yang ingin aku kongsikan ini adalah suatu minat aku yang lain yang mana ramai kawan-kawan telah maklum dengan minat aku yang satu lagi ni....

Ini hanyalah satu coretan aku sebagai rekod untuk diri aku sendiri, kawan-kawan & sebenarnya adalah untuk tatapan anak aku dewasa kelak... sekurang-kurangnya anakanda aku nanti tahu sejarah bagaimana abahnya ini meminati dunia motosikal & secara tak langsung untuk perkongsian kepada semua....

Minat aku sejak setahun dua ini telah terbahagi kepada dua... iaitu jam & juga motosikal (motor). Bila aku aktif bermain jam, dunia motor aku hampir dilupakan... Tumpuan aku kini lebih kepada dunia motor pula. Jika sebelum ini aku lebih tumpukan jam, bermula tahun 2011 dunia motosikal aku 'bermula' kembali..... Hobi aku dengan jam masih ada cuma kewangan aku dilebihkan kepada motor. Hanya ada beberapa jam dalam 'wish list' aku kini & jika ada rezeki ingin juga aku memilikinya... minat jam aku secara amnya adalah lebih kepada jam-jam yang ada nostalgia pada aku sendiri. Bukanlah jam yang dikenali ramai sebagai collectible, rare & bernilai pada pandang mata orang lain.... Jika ada kelapangan aku akan mengarang topik-topik jam yang dah lama aku pending....



-----------------------------------------------


PERMULAAN SEBUAH PERJALANAN


Aku mula meminati motor agak lambat berbanding orang lain. Jika dibandingkan dengan jam yang minat bermula sejak sekolah rendah.... minat aku terhadap motor bermula ketika aku berumur 19 tahun. Semasa zaman sekolah rendah ketika darjah 6, aku curi-curi bawa motor dengan kawan baik aku, Muazim (kini lebih dikenali dengan nama Amar dalam bidang seni tanahair) dengan menaiki motor Honda C70 (lampu bulat) ayahnya di dalam kebun getah. Abah aku agak tegas & tidak bagi kebenaran untuk aku menunggang motornya.... secara diam, motor ayah Muazim yang menjadi mangsa & beliau itu redho untuk aku menunggangnya..... aku ON saja sebab pantang diajak... hehe... dari tidak reti bawa motor, aku sudah pandai menunggang motor bersamanya....

Honda C70
Gambar dari Wikimedia Common

Masuk sekolah menengah tahun 1993, abah masih tak bagi green light tapi bagi peluang aku menunggang bersamanya.... Pada ketika itu aku sangat jelous tengok Muazim tayang naik motor sorang-sorang depan rumah aku..... terbakaq habaq hang!!!..... Seingat aku, abah pernah menggunakan pelbagai jenis motor. Contohnya Honda EX5, Honda CB100, Yamaha Sport, Suzuki GSR250...  Zaman bujangnya beliau pernah menggunakan moto scramler KAWASAKI yang mana di tangkinya abah telah tukarkan namanya kepada KUDABESI.... gambarnya masih disimpan hingga kini... 

Naik tingkatan 3 kalau tak silap aku barulah aku dibenarkan  menunggang sendirian & pada ketika itu juga aku telah mula belajar pandu kereta pula bersama mak. Namun minat terhadap motor tidak timbul... hanya seronok menunggang saja... ya la kan... benda baru. Tahun-tahun mendatang pula, abah sudah tidak menggunakan motor & aku tiada lagi peluang menunggang. Hanya mengharapkan ajakkan Muazim ronda bersamanya dalam kampung... seronok tak terkata bila dapat peluang... dulu ronda-ronda dengan basikal saja... bila bertukar naik motor, riang ria jadinya....

Dipendekkan cerita... aku masuk universiti tahun 1999. Tahun berikutnya, aku tidak duduk di asrama & hanya menyewa diluar U & aku juga tidak mempunyai 'transport' seperti kawan lain untuk ke kuliah. Hanya mengharapkan ehsan kawan serumah membawa aku bersama mereka. Kawan baik aku ketika itu, Halid menggunakan Honda NX115. Beliau sangat baik hati & sentiasa membenarkan aku menggunakan motornya itu. Lama kelamaan aku semakin cekap menunggang motor kapcai. Namun... aku tidak tahu yang ada perbezaan antara enjin moto & aku tidak dapat bezakan antara moto 2-lejang dengan 4-lejang. Halid lah yang menjadi 'guru' aku menceritakan perbezaan motor itu... serupa pemahaman aku terhadap jam 'nadi' suatu ketika dulu.... jam automatik pun aku tak tahu apa benda..... 

Aku sangat memerlukan sebuah motor untuk kemudahan aku bergerak ketika itu. Dulu jika ada moto besar lalu depan rumah, aku jadi sangat terpegun. Dulu kerap betul konvoi lalu jalan depan masjid kat rumah hari Jumaat... Bila mereka berhenti untuk solat Jumaat, dah macam pesta pula tengok motor besar. Nampak pula Honda Goldwing ketika tu... wah! Besaqnya moto ni!!! Pantang jumpa motor besar pasti aku akan pergi tengok & terhentilah segala aktiviti aku ketika itu... Aku jadi admire terhadap moto besar terutamanya jenis cruiser.... pada ketika itu Yamaha Virago 535 sangat popular.... 

Modenas baru keluarkan Jaguh 175 sekitar tahun 1999. Aku mula meminatinya kerana satu spesis dengan Virago. Dari moto kapcai, aku berubah minat kepada Jaguh kerana merasakan aku boleh menggunakannya untuk balik kampung sekali sekala bila perlu memandangkan CCnya yang agak besar.... aku baru saja mengambil lesen L ketika itu (sebelum ni naik motor kawan ke sana sini masa di U... aku takda lesen pun... kikiki)..... Tapi aku tak pernah melihatnya secara live....


Cuti semester... aku nak balik kampung dari Pudu Raya... aku ternampak majalah Roda-Roda ini dengan paparan Modenas Jaguh padanya. Tanpa fikir panjang aku terus beli majalah itu & mentelaahnya. Itulah majalah motosikal pertama aku beli... Fikiran aku diracuni dengan Jaguh ini... namun jadi terbantut apabila buat pertama kalinya sebuah Jaguh melintasi dengan aku.... bunyinya tak ubah seperti adiknya Kriss 110 saja... aduhai... Selama ini aku mengharapkan bunyinya berdentum-dentum seperti Virago... (aku takda ilmu pasal motor, aku tak tau yang bunyi berdentum tu dipengaruhi oleh CC & konfigurasi enjinnya)... Potong stim terus masa tu... Hahahaha... 

Aku dah mula ragu-ragu dengan minat aku terhadap Jaguh. Tapi untuk memiliki Virago ketika itu sangat mustahil! Tapi masih mengharapkan sebuah motor untuk aku gunakan di U nanti. Kembalilah aku berangan dengan motor kapcai.... Angan-angan saja waktu tu sebab tahu tak mampu memilikinya pada masa tu. Aku pergi daftar masuk U pun sorang-sorang tanpa sesiapa teman... Pertama kali aku naik bas sorang ke KL & uruskan segalanya berseorangan untuk masuk U.... Dalam beratus-ratus pelajar baru yang daftar di asrama UM masa tu... aku & sorang lagi kawan (beliau dah biasa dengan UM sebab belajar Asasi/matrik di kampus UM sebelum itu) saja yang bersorangan tanpa ahli keluarga. Waktu tu satu dunia sedang mengalami serangan ekonomi yang dahsyat... ramai orang terkena tempias kesannya & keluarga aku antara yang terjejas ekonominya..... aku bertekad... aku pergi sorang saja dari kampung dengan beg hiking yang lebih besar dari badan aku.... oh kenangan......  isk isk....

Kawan sekolah aku yang dapat belajar satu aliran dengan aku di U, Hisham... telah membawa balik satu pamphlet motor Suzuki FXR150. Aku pernah tengok motor tu di kedai motor depan rumah aku sebelum masuk U tahun 1998 masa tu ia baru dilancarkan. Aku kagum dengan teknologi mendahului zaman pada motor itu.. iaitu ia menggunakan meter digital sepenuhnya. Pada zaman itu, tidak ada motor besar pun yang menggunakan teknologi sedemikian & hanya boleh dilihat pada motor Honda VTR1000 RC51 pada tahun 2000. Hebat Suzuki FXR ni walaupun hanya 150cc.

Aku dah mula tak keruan dengan motor Suzuki FXR tu. Minat aku terhadap motor bermula saat itu. Aku mula nak ambil tahu pasal FXR itu & cuba juga untuk ambil tahu mengenai motor lain juga. Sedikit sebanyak ilmu asas sedikit sebanyak telah Halid curahkan. Semasa di tahun pertama di U, ada kawan yang menggunakan Kawasaki ZZR250... Hebat!! Motor dialah yang paling gempak pada ketika itu & tak pelik jugalah sebab dia memang anak orang berada... Aku admire dengan dia.. Sorang lagi kawan yang baik dengan aku... Allahyarham Fifi... juga merupakan salah sorang kawan yang memberi aku ilmu mengenai motor. Beliau menggunakan Honda NSR150 ketika itu.  Aku juga sangat admire dengannya... Beliau telah kembali ke Rahmatullah dalam satu kemalangan hanya di luar UM.... berita mengenai kematiannya satu yang mengejutkan kepada semua kenalan... Al-Fatihah....


Majalah Roda-Roda keluaran Februari 1998
Merupakan majalah Roda-Roda kedua aku beli.

Majalah Roda-Roda keluaran lepas (back dated) yang review Suzuki FXR pada tahun 1998 aku order khas dari pihak Roda-Roda. Bermulalah pula episod aku membeli majalah Roda-Roda keluaran lepas untuk aku study. Banyak ilmu permotoran aku dapat dari majalah itu.... (aku akan cuba buat artikel khas mengenai majalah ini jika rajin... kikiki)

Penceritaan aku mengenai motor yang pelbagai serta ilmu motor yang aku dapat kepada abah... termasuk Yamaha TZM yang aku temankan kawan (Najib) pergi beli bersamanya (aku belajar moto ber-klac dengan TZM tersebut) telah membongkarkan satu rahsia... Rupa-rupanya abah mempunyai ilmu yang banyak mengenai pelbagai motor... dari jenis motor yang aku tak berapa familiar hinggalah cerita mengenai TZM serta masalah yang dihadapinya diceritakan... Abah lebih tahu pasal TZM dari aku... hahahaha....Perlbagai fakta & dalil keluar... aku terkejut & kagum. Baru aku tahu yang abah sebenarnya minat motor & berjiwa biker. Beliau pendamkan minatnya itu untuk anak-anak.... isk isk...

Beberapa bulan kemudian abah nak belikan aku sebuah motosikal bila setelah rezeki lebih. Abah & mak memahami kehendak aku & mereka cuba untuk belikan aku bukan sebuah moto kapcai. Mereka memberi aku pilihan samada Jaguh ataupun FXR. Dengan senyuman memikat... mestilah aku pilih FXR walaupun ianya motor terpakai..... rupanya dalam diam juga abah telah survey motor tu di kedai....



----------------------------------------------- 



EPISOD SEORANG 'BIKER' BERMULA


Suzuki FXR150 keluaran pertama 1998
Gambar ketika ingin bertolak ke KL pada tahun 2000 pada usia 20 tahun.

Suzuki FXR yang abah belikan ini adalah terpakai dengan jarak penggunaan baru 4000km saja. Kondisi moto sangat bagus & seperti baru. Aku sangat-sangat bersyukur & teruja dapat memilikinya & sebenarnya aku tak menyangka dapat menunggangnya satu hari nanti... Terima kasih kepada mak & abah... 

Bila dah ada motor dalam benakku... cuti semester nanti aku tidak perlu lagi ke Pudu Raya untuk menaiki bas. Buat pertama kali, aku membawanya berseorangan ketika ingin membawanya ke U dari kampung ketika baru memilikinya. Pada mulanya nak pos dengan keretapi saja. Tapi aku bertekad untuk menunggangnya walau ketika tu aku baru pandai 'bermain' moto berklac. Tunggangan aku sangat asas & tidak ada ilmu penunggangan yang lanjut. Aku cuma cekap naik moto kapcai saja. Cara tunggangan motor ini sangat berbeza dari kapcai. Posisi badan atau apa-apa tips tunggangan aku tidak tahu sepenuhnya. Nak membawa balik ke KL adalah satu cabaran untuk aku yang baru pandai menunggang ni..... 

Sepanjang penggunaan FXR, aku belajar mengambil tahu pelbagai jenis motor & ilmu mengenai motor besar aku mula belajar. Aku cuba mencari info mengenai FXR di internet yang masih terhad ketika itu. Ianya membawa aku berjumpa dengan satu forum motor Malaysia. Aku menjadi teruja bila berkenalan dengan kawan yang turut menggunakan motor yang sama. Kemesraan dalam talian membuatkan aku ingin berjumpa dengannya & takku sangka beliau adalah editor majalah Dunia Moto pada ketika itu.... abang Anuar atau lebih dikenali sebagai Norick (kini Road Test Editor majalah Cycle World).

Dipendekkan cerita aku ingin berjumpa dengan beliau. Aku dengan kawan baik aku... Trasher (nama glemer) yang menggunakan TZM... pergi ke pejabat Dunia Moto untuk pertemuan kali pertama. Beberapa orang lagi kawan aku berkenalan di Dunia Moto. 


Majalah yang pernah mewarnai dunia motosikal suatu ketika dulu...

Konvoi pertama aku ikuti adalah dengan Dunia Moto ke Port Dickson. Punyalah seronok ketika tu & hari tu jugalah aku terbabas kat selekoh masuk ke lorong bertentangan & hampir menghentam divider... Perkara tersebut menjadi bahan dalam konvoi tersebut & aku berdiam diri kerana malu dengan mereka... hahahaha.... Peserta konvoi kebanyakannya adalah pelajar UPM. Ketika tu barulah aku sedar kelemahan aku ketika masuk selekoh. Aku jadi gayat & gabra bila nak masuk selekoh. Aku tak tau langsung cara yang betul untuk masuk selekoh untuk motor jenis itu.. handling tak sama seperti motor kapcai yang bawalah camno pun takpa... Untuk motor sport sepertinya ada kaedah yang betul walau CCnya tak besar... apatah lagi kalau CC besar...  Abg Norick manjadi mentor & guru aku dalam banyak hal dalam dunia permotoran. 

Aku menjadi semakin confident untuk menunggang motor bila ada sedikit ilmu tunggangan & lama kelamaan aku manjadi semakin cekap. Pada masa tu aku menjadi rapat dengan abg Norick (macam abang angkat) & beliau bukan saja membantu dari segi ilmu malah membantu aku dalam pelajaran, nasihat & kewangan beliau sedekahkan kepadaku untuk kemudahan pelajaran aku...terima kasih banyak bang... Tak lama lepas itu, aku berjaya dapatkan lesen P yang sah. Alang-alang aku terus ambil lesen B-full... masa tu cuma RM300 (sekolah memandu di Kerinchi).

Pitstop Riderz mula ditubuhkan bermula secara forum. Abg Norick adalah pengasasnya... Ahli-ahli mula berdaftar & kami berinteraksi sesama sendiri secara maya & mula mengadakan perjumpaan dengan panggilan Mesyuarat Tingkap. Pada ketika penubuhan kelab kami, Malaysian Bikers mula ditubuhkan juga & aku merupakan salah sorang ahli terawal mereka. Namun aku tidak aktif sangat dengan mereka kerana aku sangat selesa dengan kawan-kawan Pitstop Riderz (PSR) yang 'satu kepala' denganku.... Ahli PSR tidak ramai & kami tidak suka ahli yang ramai. Biar sedikit tapi rapat & satu kepala. 

Abg Norick & Amy Bearing (salah sorang staf Dunia Moto) memperkenalkan aku dengan moto besar dari Thailand yang berkali-kali ganda lebih murah dari harga di Malaysia. Info tersebut aku sampaikan kepada abah.... Alangkah terkejutnya aku, dalam diam abah cari info sendiri & pergi ke kedai moto yang menjual moto dari Thai. Selok belok cara penggunaan motor Thai di ambil & tak sangka abah beli sebuah Honda CBR400RR Fireblade Gull-arm aka Baby Blade (nama gelaran peminat motor untuk Fireblade versi 400cc). Tapi abah beli selepas kisah di bawah ni dalam diam...

FXR aku mengalami kerosakkan dalam perjalanan aku ke KL. Macam-macam aku fikir sebab enjin masih berjalan tp motor tak bergerak... dok rasa gearbox motor rosak.... Kkerosakkan itu  telah membuatkan aku menolak motor sejauh lebih kurang 2km dekat area Kemunting. Pihak Ronda Plus hanya lalu tepi aku tanpa sedikit pun beri pertolongan padaku. Tahulah motor tak bayar tol... tapi sekurang-kurang dapat tolong bawa motor ke tol pun sudah memadai.. aku bayarlah nanti... Panggilan meminta tolong melalui mesin SOS mereka juga mendapat jawapan yang menghampakan... "maaf dik... motor takda bantuan"... itu saja & terus tak layan aku... Aku berkeseorangan dalam hujan & malam ketika tu. Motor-motor yang lalu melepasi aku juga tidak berhenti menolong aku... ujian betul masa tu... Aku hubungi abah bila mana takda harapan untuk orang menolong aku... Kebetulan aku cuma 2 km dari susur keluar ke Kemunting..... Alhamdulillah tak jauh sangat.. abah sudah dimaklumkan & sedang dalam perjalanan... Sampai bawah fly over berdekatan susur keluar tu aku berhenti rehat... sebab rasa nak pitam. Air minuman aku pun dah habis... Rasanya lebih kurang 30 minit aku rehat bawah tu...

Aku teruskan perjalanan tolak motor sampai ke bawah lampu spotlight di susur keluar Kemunting... tak lama lepas tu abah sampai dengan mak.... punyalah lama aku tolak motor walau cuma 2km.... serik rasanya nak tolak motor lagi... Abah tolak motor dengan aku sampai ke tol & esok abah akan tolong bawa moto ke bengkel. Aku pula naik bas dari Kemunting hingga ke KL. Esoknya hantar ke bengkel barulah tau masalahnya... cuma skru sproket depan tercabut. Hujung minggu depan aku akan balik ambil motor.



Inilah Honda CBR400RR Fireblade tahun 1995.


Aku tak sangka rupanya motor ini abah hadiahkan kepada aku menggantikan FXR  Niat nak bawa balik FXR tapi dibawa balik lain pula.. huhuhuhu..... Abah layan minat motonya melalui aku... isk...

CBR ini aku gunakan setelah setahun menggunakan FXR. Cara abah kejutkan aku tunjuk motor ni adalah satu yang sangat epik! Mak & kakak angkat aku datang jemput aku di stesyen bas... Semasa dalam perjalanan hanya kira-kira 500 meter untuk ke simpang masuk rumah, tiba-tiba aku dikejutkan dengan ngauman kuat & satu moto besar potong sayur kereta yang aku naik tu... Uih! Motor besar!!! Tiba-tiba aku baru perasan... Hah! ABAH!!!!!!.... aku perasan kat helmet yang dipakainya itu adalah helmet aku!!! Hahahahaha... sampai ja depan rumah,.. keluar kereta aku terduduk terus di tengah jalan depan rumah & nampak abah datang dari jauh.... Aku bagaikan tak percaya waktu tu... Bila aku duduk atas moto, mak tanya..... "abang suka dak moto ni?"..... "mestilah suka mak", jawab aku... "ni lah moto abang", balas mak.... waaaaaaaaaaa...... ALHAMDULILLAH!!! Terima kasih mak & abah! Huhuhuhuhuhuhuhu....... isk isk... Sejak aku kecil sampailah sekarang, abah suka kejutkan kami dengan cara yang tak pernah terfikir.... hahaha

Perbezaan ketara antara kedua motor membuatkan aku seperti belajar semula menunggang motor. Posisi menunggang yang jauh lebih membongkok, jauh lebih berat & lebih berkuasa. Sampai tertanya macam mana aku nak bawa motor ni? Memandangkan aku telah cekap dengan FXR aku tak mempunyai banyak masalah untuk belajar jentera baru ni... abah juga menurunkan ilmu tunggangannya padaku... 

Dengannya... aku menjadi 'gila' untuk melayan corner pula kerana 'nikmatnya' sangat berbeza dengan FXR sebelum ini. Dalam setahun menggunakan CBR ini, aku dengan abah terasa untuk membuat projek fiber glass pada motor ini untuk mengubah bentuk muka buminya yang sangat ketinggalan zaman. Nak beri nafas baru padanya dengan bentuk yang moden sedikit.... nak tajamkan mana-mana tempat yang tak tajam.....

Gambar di atas... kiri adalah keadaan ia standart. Kanan adalah gambar selepas projek fiber glass dibuat... Ia merupakan projek fiber ke-2 aku dengan skala yang lebih besar. Projek pertama fiber aku buat ialah pada FXR dimana aku telah lebarkan cowling dengan fiber glass & membuat cover lampu belakang untuk sesuaikan dengan pengunaan lampu Honda NSR150 SP dari Thai. Abah mempunyai ilmu mengendalikan fiber glass dimana beliau pernah membaiki kayak yang bocor dari semasa ke semasa. Jadi dengan cara yang sama, cuma transfer saja cara tersebut untuk motor pula...

Kawan-kawan PSR pada ketika itu, selepas tengok projek aku berjaya, mereka juga turut serta menempah 'baju' baru untuk motor mereka dari bengkel sekitar KL. Ada juga beberapa kawan yang menempah dari aku. Boleh dikatakan hampir semua ahli PSR menggunakan motor yang tidak standart fizikalnya & trademark lain ialah helmet fullface Index... oh kenangan.... Ada juga kawan PSR yang belajar membuat fiber dengan aku & ada yang lebih berjaya kini dengan membuat bumper kereta sendiri, dashboard, kotak speaker hinggalah membawanya ke Jepun bersama projek cosplay armour Master Chief Halo... alhamdulillah.... kagum aku dengannya...


Setelah setahun lebih bersama CBR itu, aku melepaskannya kepada kawan PSR iaitu Halim. Abah kata, kalau ada kawan mau, jual saja. Kita beli lain. Biar ramai kawan dapat merasa pakai & ada geng pakai motor yang sama...

Gambar-gambar di atas merupakan motor-motor yang pernah aku gunakan. Atas kiri adalah Baby Blade 1995. Atas kanan adalah Baby Blade 1993 (kalau tak silap) motor ketiga yang telah diubah suai cowling menggunakan Honda NSR250 & telah diubahsuai hampir keseluruhan untuk penggunaan di atas trek... Bawah kiri adalah moto ke-4, CBR400RR Triarm tahun 1990 (seingat aku) yang telah dicat baru tapi mengekalkan body standart. Jauh berbeza dengan Baby Blade. Bawah kanan pula merupakan moto ke-5 iaitu Honda CB400 Super Four tahun 1995.


Honda CB400 ini telah mengubah corak tunggangan aku secara drastik. Aku sangat menyukai motor ini kerana lebih relax & selesa berbanding CBR. Nampaknya aku sangat serasi dengan moto jenis naked/streetbike berbanding sport. Motor ini juga tidak ketinggalan menjalani proses plastic surgery. Memandangkan motor ini adalah jenis naked, tiada pelindung dari tamparan angin seperti CBR. Aku terpaksa bersilat dengan angin jika kelajuan melepasi 150kmj. Tamparan angin sangat kuat... penat lama-lama.... 

Aku mendapat idea untuk membuat cowling bersama windscreen double bubble (juga fiber glass) bagi memberi sedikit perlindungan kepada aku ketika tunggangan jauh. Alhamdulillah berkesan juga cowling tu. Platform aku gunakan cowling FXR yang telah aku lebarkan tu & menggunakan lampu projektor kereta Nissan Silvia untuk high beam & low beam. Suluhannya sangat terang & puas hati. Jauh lebih baik cari lampu standart motor ini. Ekor belakangnya dilebarkan & ditiruskan pada hujungnya. Lampu LED aku pasangkan untuk memberi design yang lebih terkini..... Tak sangka pula CB400 yang terbaru selepas itu tajam juga ekornya... hahaha.... Aku tidak meniru mana-mana design & hanya buat dari idea sendiri bersama abah.. gambar setiap peringkat projek tersebut ada dalam simpanan aku... tapi artikel yang dah sedia panjang ini akan menjadi lebih panjang pula nanti... kuikuikui....

Gambar atas (bawah kiri & kanan) itu adalah perjalanan aku yang paling jauh.... Kedah-Johor..... Ketika itu aku sedang menunggu tunang aku di tol. Aku gunakan motor ini hingga tahun 1995. Pelbagai kenangan manis & pahit aku tempuh bersamanya.... & aku juga fobia dengannya....



--------------------------------------------



DUNIAKU BERSAMA PITSTOP RIDERZ


  • Mesyuarat Tingkap
Banyak aktiviti aku bersama PSR & aku sangat aktif bersama mereka. Pot pertama pertemuan geng PSR adalah di depan McDonald Bangsar (gambar kiri). Kawan-kawan PSR ada yang buat pertama kalinya bersua muka di situ. Kami berkumpul ramai-ramai di situ & akan membuat keputusan untuk bergerak ke mana-mana dari situ.

Pot ke-2 yang kami bertemu pula hanya lebih kurang 200 meter dari pot pertama. Di mana kami mulakan Mesyuarat Tingkap pertama di gerai nasi ayam (gambar kanan). Pada permulaan perjumpaan kami diadakan,  tiada geng motor lain pun lepak situ. Geng motor lain lepak di bahagian dalam kawasan itu. Di pinggiran kawasan tu hanya kami saja. Sunyi ja waktu tu. Bila Malaysian Biker ditubuhkan, pot itu turut mereka pilih & nama Mesyuarat Tingkap tetap digunakan ketika itu... yakni TTS dalam singkatan glemer sekarang.

Mesyuarat Tingkap diadakan pada setiap minggu hari Jumaat (malam Sabtu). Kadang kala, kami berubah tempat lepak, pot ke-3, di kedai nasi lemak di belakang kedai motor MSC di PJ. Tempat ini jadi pilihan kerana kurang sibuk seperti Bangsar & boleh jamu mata tengok motor di MSC.

Lama-kelamaan kawasan Bangsar semakin ramai bikers yang lepak. Jadi satu fenomena pula kat kawasan tu, di mana pelbagai kumpulan lagi muncul dari motor kapcai hingga ke superbike lepak di situ & tempat menjadi sangat meriah...... makin ramai kawan dapat berkenalan... Aku tak tahu apa jadi dengan kawasan itu sekarang ni... tapi permulaan era ramai bikers lepak dicetuskan oleh kami secara tidak sedar di sekitar tahun 2001.... ini berdasarkan apa yang aku nampaklah ketika tu....


  • Majlis berbuka puasa
Selain Mesyuarat Tingkap, PSR juga pernah menganjurkan aktiviti berbuka puasa & ia pernah diadakan beberapa kali. Gambar di atas merupakan majlis berbuka puasa di Senawang sekitar tahun 2002 kalau tak silap aku... Kepada kawan-kawan jam sekalian terutama ahli FB Dunia Jam, kalau anda perasan ada seseorang yang dikenali di situ (bertopi biru).....beliau adalah ahli DJ & pernah mengukuti H4U suatu ketika dulu.... cuba teka siapa? Hehehehe....


  • Konvoi
Ini merupakan konvoi ke-2 aku ikut anjuran majalah Dunia Moto..... Toy Run untuk anak-anak yatim di Kuala Kangsar pada tahun 2001.. ketika aku masih menggunakan Baby Blade pertama dulu. Beberapa ahli PSR mengikuti konvoi ini juga... kisah yang sangat kelakar berlaku sepanjang konvoi ini...... geng PSR mesti ingat sangat kisah tu.... muahahahahaha.....



Ini merupakan salah satu konvoi PSR yang berjaya. Dimana beberapa ahli PSR dari Singapura (SG) turun untuk berjumpa kawan-kawan lain. Mereka dikenali sebagai Sara (satu-satunya ahli India), Mat Kental & Wak Labib. Nama-nama ini merupakan nama samaran mereka yang hingga kini digunakan dalam PSR.

Konvoi ini adalah untuk pergi mandi air terjun Janda Baik. Kami berkumpul di tol Gombak & menuju ke R&R Genting Sempah. Geng SG belum sampai lagi & teruskan perjalanan ke Janda Baik & akan bertemu dengan mereka di situ. Namun nasib kami tak baik kerana waktu itu, hujan baru lepas turun... air terjun sangat kuat & sangat keruh untuk bermandi manda. Kawasan air jernih tak besar pula airnya... Kawan-kawan SG ketika itu telefon yang mereka telah naik terus ke Genting Highland.... kami bergegas ke Awana pula & beberapa kawan naik ke atas termasuk aku untuk menjemput mereka. Kebetulan pula masa tu IIFA sedang diadakan di situ.. ramailah artis Bollywood kelihatan waktu itu... 

Setelah menjemput bertemu geng SG buat pertama kalinya... kami menjemput turun & bertemu kawan-kawan lain di Awana. Kami mengambil keputusan untuk pergi bermandi manda di Ulu Yam... lokasi terbaik ketika itu & airnya berkeadaan sangat baik. Puas hati...


Ini merupakan konvoi ke-2 terbaik PSR adakan & merupakan nostalgia yang sangat di kenang oleh semua ahli. Beberapa orang lagi geng SG pun turun juga. Ketika ini tahun 2002 (kalau tak silap aku) kami berkumpul di tol Seremban-Port Dickson. Ahli original PSR  terdiri dari masyarakat majmuk & kami tidak memilih bulu dalam berkawan. Tak kisah umur (paling muda ketika itu 16 tahun) & tak kisah motor apa & CC sekali pun... semua sehati sejiwa.... 

Kami menyewa 2 buah chalet untuk bermalam. Aktiviti seperti dalam majalah 'Mangga' turut diadakan.... kikiki... masa dihabiskan bersama kawan-kawan... kemesraan yang terjalin di dalam forum bertambah rapat bila bertentang mata.... nostalgia sungguh ketika itu & itu juga merupakan kali terakhir aku berjumpa dengan kawan-kawan SG. Ada yang masih berhubung dalam group di FB ada yang telah terputus hubungan....


  • Track day
Ini merupakan kenangan yang paling tak dapat aku lupakan dimana buat pertama kalinya aku 'main' trek bersama kawan-kawan PSR. Track day ini seingat aku dibuka pada hari Sabtu & merupakan kali ke-2 dibuka. Kebiasaannya hari Ahad (full track). Kalau tak silap aku pihak SIC seperti membuat percubaan di mana mereka hanya membuka separuh trek sahaja.  Kalau full track, memang ramailah orang & akan berada di pit dalam bangunan.

Memandangkan trek hanya dibuka separuh... hanya pit berpayung saja disediakan. Tak ramai tahu mengenai pembukaan trek separuh ini pada hari tersebut. Sangat sesuai untuk moto 250cc ke bawah sebab trek tak besar & boleh nampak hampir keseluruhan trek dari pit. Yang ada hanya kami & sekumpulan bikers lain yang sedang test moto Honda EX5 di atas trek. Depa tune dalam pit & test dalam trek & itulah rutinnya. Geng EX5 tu hanya satu moto saja yang masuk trek. Kawan-kawan ramai bagi sokongan. Respek kat hangpa! Jadi seolah-olah track day itu track day PSR kerana jumlah kami paling ramai. Hahaha... kebetulan... seronok betul bila semua adalah geng kami saja... tak lama lepas tu beberapa biker Yamaha RXZ datang main trek bersama kami... Hanya berbelas orang saja yang main trek hari tu.

Perancangan track day ini telah dibuat oleh abg Norick beberapa minggu sebelumnya. Ketika itu, syarat untuk masuk main trek tak seketat trek Batu 3 yang memerlukan setiap rider memakai racing suit. Untuk Sepang pula.. hanya memerlukan helmet fullface, glove kulit, jaket kulit, boot & jeans ber-padding saja. Aku tak mempunyai racing suit, tapi aku telah mematuhi hampir ke semua syaratnya... cuma aku tak mempunyai riding boot. Abg Norick meminjamkan aku boot miliknya. Saiz kaki aku kecik berbandingnya.... jadi aku pakai beberapa lapis stoking sebelum sarungkan boot tersebut.. Hahaha... 

Pada mulanya aku tak mau join man trek sebab motor aku waktu tu kerap mengalami overheat. Tapi aku cuba baiki sendiri masalah tu & alhamdulillah berjaya! Jaket kulit aku yang pada awalnya dipinjam oleh Jinshoon (ahli PSR berbangsa Cina dari Sabah yang kini aktif bermain kereta drift di Tawau), aku minta balik darinya.... hahahaha.... Aku buat persiapan sebaik mungkin ikut kemampuan aku ketika tu. Aku tak mempunyai protector lutut... memandangkan aku tak cukup duit.. aku hanya beli pad lutut roller blade... hahaha... Aku beli 2 pasang. Sepasang letak kat lutut. Sepasang lagi aku letak bawah sikit sebagai knee slider... kuikuikui...

Rata-rata kumpulan kami terdiri dari moto 400cc ke bawah. Cas untuk moto 250cc ke bawah hanya RM30 saja. Moto 250cc ke atas RM90... nak jimat punya pasal aku buat stiker 250 kat CBR aku... hahaha.. kononnya 250cc lah... Minta maaf kerana menipu waktu tu... sekarang rasa berdosa pulak..Mohon halalkan ye... huhu... Staf SIC yang bertugas ketika itu adalah kawan abg Norick, mungkin beliau telah maklumkan kawannya itu tentang PSR akan datang pada hari tu.

Berkumpul di Shell tol Sg Besi di awal pagi
Masanya telah tiba... kami konvoi ramai-ramai ke Sepang. Berkumpul di Shell tol Sg Besi. Abg Norick yang paling lengkap dengan racing suit. Kawan-kawan PSR yang nak main trek kalau tak silap aku cuma 5 orang saja termasuk aku. Yang lain hanya nak tengok saja. Bila sampai trek & daftar... abg Norick bagi briefing sebelum bermula, tata cara yang betul masuk selekoh & lain-lain. Nasihat paling utama.. bawa motor ikut kemampuan masing-masing, jangan 'push' & jangan ikut orang lain....


Saat sebelum melulakan 'perjalanan' dalam trek

Berdebar-debar rasanya... abg Norick & beberapa kawan dah mula masuk trek. Buat permulaan kami semua ikut abg Norick. Beliau nak ajar tentang 'line' yang betul untuk masuk selekoh, posisi badan & lain-lain. Aku masih bersiap-siap di pit & tak masuk lagi... bila aku mula masuk... aduhai... berdebar beb! Janganlah aku tergolek....

Beberapa lap aku cuba ikut abg Norick tapi tak dapat cari 'line' yang betul.... Nak ikut abg Norick, 'line' aku asyik 'terlari' ja dari dia... kikiki.... Aku cuba praktikkan segala ilmu yang aku dapat tentang cara ambil selekoh... bila abg Norick lepaskan kami.... aku cuba praktikkan segala ilmu tersebut. Setelah beberapa lap baru aku selesa & dapat line yang betul & buat pertama kalinya aku dapat cecah lutut aku di selekoh... Aduhai.. seronoknya! Memandangkan moto aku paling besar... akulah yang paling laju sampai marshall pun tertanya berapa CC moto aku sebenarnya... Haha...


Aku berani pulas setakat 180kmj saja di laluan lurus ni...

Sedar tak sedar aku tengok dalam trek... ramai la pulak orang... Kata yang nak main trek cuma 5 orang saja... sekarang ni ramai pulak.. kat pit pula yang sikit. Rupa-rupanya kawan-kawan lain terbakar tengok kami main trek.. yang tak masuk cuma 2 orang saja... TZMkid yang masih bersekolah & C4 yang motor baru lepas overhaul... kesian dia... hahaha....



Kesan seluar terkoyak tersagat jalan... lihatlah protector roller blade tu... hahaha.. Boot jauh lebih besar dari kaki aku... Seluar ini masih aku simpan hingga sekarang...

Semakin lama aku semakin seronok... sedar-sedar aku sorang ja atas trek... kawan-kawan lain dah masuk pit... haha... Dalam dok seronok tu, aku miring rendah sangat kat selekoh... pad lutut aku bergerak ke tepi & menyebabkan lutut aku sagat jalan... adoi! Sakit! Lepas tu aku masuk pit tengok seluar jeans aku berlubang... hahahaha... ini betul-betul cecah lutut... inilah kenangan paling manis aku... kawan-kawan ingat aku jatuh motor... bila cakap lutut sagat jalan, semua pakat-pakat terkejut & ambil gambar lutut aku... Hahahaha... kenangan betul waktu tu... 


Bila dah tengah hari, sampailah pengakhiran untuk bermain trek. Kami pun dah puas main trek & minyak motor pun dah nak habis. Satu kepuasan yang tak terhingga dapat aku rasakan... kepuasan untuk diri sendiri & kepuasan berseronok bersama kawan-kawan rapat di trek. Banyak perkara aku belajar dari bermain trek ni & aku juga rasa lebih confident selepas itu.

Tak lama lepas tu, aku menjual CBR aku kepada rakan PSR.. Halim. Motor berikutnya juga aku pakai tak lama sebab ada kawan yang berminat.. hinggalah aku pakai CB400... moto ini aku pakai agak lama....


  • MotoGP
MotoGP 2004... kami membuat perancangan untuk pergi & bertemu di sana. Abg Norick berada di pit sebagai pihak press ketika itu. Beliau berlegar-legar di sekitar trek untuk mengambil gambar.


Tak ramai geng PSR yang pergi. Dari semasa ke semasa aku berjumpa kawan-kawan PSR di KL. Kawan aku dari Port Dickson iaitu Zairry (baju merah di gambar sebelah kanan) adalah kawan yang dah lama tak jumpa sejak main trek dahulu.



-----------------------------------------



KENANGAN LAIN...


Tahun 2004..... Housemate aku, Cikgu Rodi juga seorang biker. Beliau menggunakan Honda CBR400RR Tri-arm ketika tu. Kami pernah konvoi bersama balik ke kampung di Kedah. Kami bertolak sebelum Subuh dari rumah. Sampai di R&R Tapah pada waktu subuh. Tak lama lepas tu, datang sekumpulan geng motor dari SG & kami berkenalan dengan mereka. Mereka sangat peramah. Mereka ingin ke Kuala Muda untuk melihat suasana kampung yang dilanda tsunami berapa minggu sebelum itu.

Cikgu Rodi menawarkan diri untuk menjadi tour guide untuk mereka untuk ke sana nanti. Mereka bergerak dahulu & akan hubungi cikgu Rodi tengah hari kelak. Aku & Cikgu Rodi teruskan perjalanan ke kampung. Aku tak berminat nak ikut mereka ke Kuala Muda kerana ingin berehat bersama kelauarga aku. Tiba-tiba Cikgu Rodi telefon aku untuk tolong carikan spark plug CBR400 (milik salah sorang geng SG)... aku keluar mencari plug itu & nasib juga ada kedai buka hari Jumaat. Aku hantar plug kepada mereka di Sungai Petani & aku secara tak langsung turut serta konvoi mereka ke Kuala Muda.

Sempat juga aku test ride Honda VFR800 v-tec & Suzuki GSXR1300 Hayabusa ketika tu. Selepas pergi Kuala Kedah, kami pun nak berpisah. 4 orang geng SG tak mahu balik lagi. Mereka nak pusing ke Kelantan-Terengganu-Pahang-KL & kemudian baru balik ke SG. Kami berhenti minum air kelapa bakar... Tiba-tba keadaan menjadi kelam kabut apabila mereka tercari-cari kamera... kerana nak ambil gambar lembu yang sedang meragut rumput di tepi gerai tersebut... aku & Cikgu Rodi gelak sakan... lembu pun nak ambil gambar... rupa-rupanya mereka tak pernah tengok lembu ragut rumput secara live begitu di SG... Hahaha...


Di hadapan rumah abang Cikgu Rodi di SP.  Sedang berbincang perjalanan untuk ke Kelantan nanti.

Kami berpisah dengan geng SG yang nak balik ke sana & beberapa orang lagi akan balik ke rumah abang Cikgu Rodi di Sungai Petani. Aku diajak sungguh-sungguh untuk ikut mereka ke Kelantan waktu tu juga. Tapi aku tak mampu nak ikut mereka & ambil keputusan untuk tidak ikut. Walau bagaimanapun laluan mereka untuk ke Kelantan akan melalui kampung aku.. kami bergerak bersama-sama & singgah ke kampung aku. Kemudian malam itu juga mereka bergerak ke Kelantan & akan ke rumah Cikgu Rodi dahulu untuk mengambil barang. Kisah perjalanan mereka sangat menarik untuk aku kongsi.... tapi dah terlalu panjang artikel ni... hahaha...

Aku pernah kemalangan dengan CB400 tersebut. Kemalangan kat selekoh tak jauh dari kampung aku. Selekoh panjang.... motor aku mengalami 'low side' di selekoh tersebut.... tayar depan aku 'buang'. Motor terseret hampir 50 meter & nasib baik motor tak menghentam pokok yang sedia menanti di tepi jalan tu. Aku berguling-guling hingga ke hujung jalan... tanpa mempedulikan keadaan diri sendiri, aku terus bangun & tengok motor dulu. Cikgu Rodi yang ikut belakang aku nampak segalanya. Beliau terus pergi tenangkan aku yang cedera tapi masih kalut dengan keadaan motor berbanding diri sendiri. Mujur takda kereta dari arah bertentangan.... alhamdulillah kecederaan aku cuma sagat saja & takda bahagian yang patah... tapi itulah kecederaan aku yang paling teruk berbanding kemalangan aku sebelum ini.... serik rasanya... 

Selepas baiki motor sendiri (sebab insuran untuk motor Thai hanyalah 3rd party saja) yakni selepas setahun tak bergerak lepas kemalangan, aku menggunakan CB400 tu sekali sekala saja. Jumpa geng PSR pun aku kerap naik EX5 saja. Beberapa bulan kemudian aku menjual CB400 tersebut kepada kawan kerana memerlukan duit ketika tu & aku sebenarnya telah fobia untuk naik motor tu. Setiap kali nak naik, hati aku akan berdebar-debar.... Debaran tu terus aku rasa walau aku cuma berdiri tepi moto tu... belum panjat naik lagi... huhuhu... Jual sajalah motor tu sekitar tahun 2005.

Aktiviti permotoran aku menjadi perlahan selepas aku menjual CB400 tersebut. Walau bagaimanapun aku masih lagi berhubung dengan beberapa orang kawan PSR. Kadang-kala mereka bagi juga peluang aku bawa motor mereka.... terima kasih kerana percayakan aku & faham keigingan aku yang terbakar tak dapat naik motor.. huhuhu... Banyak jenis motor jugalah dapat aku merasa walau aku hanya berkapcai ketika tu.... terima kasih semua....

Bila aku dah habis belajar & kembali ke utara... aku sudah tak berjumpa dengan kawan-kawan PSR yang rata-ratanya berada di sekitar KL.... Hanya berhubung secara online & telefon saja....


Helmet Index homage Shoei yang masihku simpan...

Ini adalah helmet yang abah belikan aku dari Thai. Sebenarnya ia berjenama INDEX (brand Thai). Tapi sticker SHOEI dilekatkan kerana design helmet ini tak ubah seperti Shoei yang sebenar... macam jam homage jugalah... ahahaha... Visor jernih tu adalah hadiah dari abg Norick.. Helmet tersebut dibeli pada tahun 2001 tak silap aku & aku masih menyimpannya hingga kini & keadaannya masih elok. Biarlah ia menjadi kenangan....

Walaupun hanya berkapcai, minat aku terhadap motor tak terpadam...Aku masih aktif berforum, membeli majalah-majalah & masih mengambil tahu tentang motor. Aku masih lagi berjumpa dengan geng PSR & kawan-kawan motor lain. Cuma aku kurang aktif skit berbanding dulu. Ada di antara kawan-kawan PSR mula berpindah & ada yang telah lost contact. Geng SG pun cuma beberapa orang saja yang dapat berhubung. Bila komitmen dah berubah... ada diantara yang sudah tidak bermotor lagi atau hanya menggunakan motor sebagai pengangkutan semata-mata walau minat terhadap motor masih ada & ada juga di antara mereka yang masih aktif bermotor hingga sekarang. 

Bila masing-masing sibuk dengan hal sendiri.. PSR semakin tidak aktif beraktiviti seperti dulu. Beberapa kali cerita PSR pernah masuk dalam beberepa majalah motor. Sekali sekala aku buka kembali majalah tersebut... rasa seronok sebab teringat kembali kisah bersama mereka dulu. Dengan kemudahan laman sosial, ramai kawan-kawan dapat berhubung kembali & kami aktif di dalam group kami sendiri... pelbagai kisah lama keluar & gambar-gambar lama dapat disaksikan kembali... walaupun aktif dalam laman sosial, keakraban & kemesraan yang terjalin sekian lama masih dirasakan.... 

Bila aku dah tak aktif bermotor.... minat jam yang dah lama berhibernasi kembali hidup. Aku mula aktif mengumpul jam & mencari ilmu pasal jam. Perkenalan dengan laman blog jam Malaysia telah menambahkan minat aku terhadap jam. Blog-blog jam terawal aku mula masuk & berkenalan dengan blogger-blogger otai ini. Untuk pertama kalinya.. aku beli jam vintage pertama aku iaitu Oris dari Ijan JamLama & aku masih menyimpannya hingga kini & ia merupakan satu-satunya jam vintage automatik yang aku simpan.. jam vintage lain semuanya telah tiada...


Jam vintage pertama yang takkan aku jual sampai bila-bila.
Jam inilah yang telah membuka mata aku terhadap jam-jam vintage...

Pada tahun 2008, Kawasaki keluarkan model ER6N. Harga yang dijual jauh lebih murah dari Germany (info kawan aku yang berada di sana). Aku kembali teracun untuk bermotor kembali. Jaket & riding pant aku sudah beli ketika tu... Namun akhirnya tak jadi sebab komitmen ketika tu tak membenarkan untuk aku bermotor kembali... simpanlah jaket & riding pant tu sampai berhabuk.... Aku tumpukan hobi aku terhadap jam.... 

Pada hari Selasa 24 Mac 2009.... bermulah dunia blogger aku. Group Dunia Jam dalam Facebook juga aku wujudkan & yang seterusnya Dunia Jualan Jam. Walaupun komitken aku kini sedikit beralih... tapi jika ada kesempatan aku cuba untuk menulis mengenai jam.. ada artikel yang aku buat separuh jalan... Artikel aku ini adalah sebagai batu loncatan aku untuk kembali menulis blog... nak cari mood kembali... 

... aku terasa ingin kembali untuk menulis selepas aku berjumpa kawan-kawan PSR pada 11 Januari lepas.... tiba-tiba timbul minat untuk menulis kembali. Mungkin keseronokkan berjumpa mereka setelah 13 tahun perjumpaan di Port Dickson dulu membuatkan aku terasa untuk berkongsi cerita & sebagai rekod untuk aku sendiri. Kisah-kisah yang aku masih ingat bersama mereka aku cuba abadikan dalam bentuk tulisan se-detail mungkin. Sekurang-kurangnya kawan-kawan PSR dapat mengigat kembali zaman kita bersama-sama dulu.... Nanti anak-anak kita dah besar kelak dapatlah membaca kembali kisah abah mereka ini.... Banyak lagi kisah permotoran aku..... Nanti terlalu panjang pula artikel ini... Aku nak ringkaskan tapi panjang juga jadinya... wakakakaka..... 

Kisah perjumpaan aku bersama geng PSR tempoh hari akan aku siarkan juga selepas ini...


akan bersambung....


Leia Mais…

Tuesday, September 17, 2013

Dunia Jam dalam Kosmo


Pada Sabtu lepas (14 September 2013)... aku mendapat satu pesanan dari sorang sahabat yang mengatakan cerita mengenai blog aku keluar di surat khabar Kosmo. Aku agak terkejut dengan berita itu & di Facebook juga nama aku di tag kawan-kawan tentang berita itu....

Tidak aku sangka blog aku menjadi pilihan wartawan untuk diberi liputan. Terima kasih kepada pihak Kosmo kerana liputan ini..... daku sangat-sangat menghargainya,,,,, terima kasih....

Leia Mais…

Monday, August 5, 2013


Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada semua rakan-rakan & pembaca sekalian. Ampun & maaf dipinta sekiranya terdapat kesilapan dariku terhadap kalian. Semoga kebahagiaan & rahmat dari Allah kalian kecapi.

Mohon maaf juga kerana sudah lama tak update blog ini.... insyaAllah jika ada kesempatan, aku akan update blog.... terima kasih atas sokongan semua...


Leia Mais…

Tuesday, May 14, 2013

FACEBOOK - Dunia Jualan Jam

Group Facebook DUNIA JAM juga telah menjadi medium berinteraksi sesama rakan-rakan peminat/penternak jam dari seluruh Malaysia malah ada juga rakan-rakan dari Indonesia. Maklum balas yang lebih pantas dengan Facebook mungkin telah menjadi pilihan ramai berbanding blog telah menyebabkan dunia blog agak perlahan perjalanannya.... namun blog masih menjadi perhatian untuk maklumat, rekod & arked bacaan & informasi..... 

Medium  Facebook kini lebih banyak digunakan oleh blogger & rakan-rakan pengumpul jam untuk menjual jam yang mana blog telah menjadi saluran kedua untuk jualan dilakukan.

Mungkin ramai yang masih belum tahu akan kewujudan group Facebook DUNIA JUALAN JAM yang sebenarnya telah lama diwujudkan khas untuk jualan & pembelian jam, aksesori jam atau lain-lain yang berkaitan. 





Sekiranya anda mempunyai akaun Facebook,  kunjungilah & sertai group kami bagi memeriahkan lagi DUNIA JUALAN JAM. Mungkin dalam ratusan jam yang diiklankan itu terselit jam yang anda tercari-cari selama ini.....

Kunjungi kami di DUNIA JUALAN JAM



Leia Mais…

Thursday, November 29, 2012

Casio Wrist Camera WQV-1 - salah satu inovasi pertama di dunia dari Casio

Suatu ketika dahulu Casio banyak mencipta jam yang mempunyai fungsi yang pelbagai serta unik pula.  Contohnya seperti fungsi mengira denyutan nadi, tekanan darah, pancaran beam yang boleh mengukur suhu sesuatu benda dari jarak jauh, mengira jarak di dalam peta, mengukur cahaya UV, jam yang berkebolehan menelefon hanya dengan mengangkat ganggang telefon, boleh megukur jarak selaman dan sebagainya. Fungsi unik yang dihasilkan itu pula kini sudah tiada dipasaran & mereka tidak pula 'memasukkan' fungsi-fungsi menarik tersebut pada model-model terikini mereka. Salah satunya merupakan jam gadget ala James Bond ini yang mempunyai fungsi kamera... iaitu Casio Wrist Camera WQV-1. 

Pada pendapat aku teknologi jam Casio terdahulu lebih menarik & unik berbanding yang terkini. Minat aku lebih cenderung kepada model lama Casio kerana merasakan ianya lebih umph! Kini hanya beberapa fungsi unik popular saja yang masih wujud hingga kini seperti databank & kalkulator. Mungkin trend jam gadget seperti dulu sudah tidak sesuai atau sudah tidak kena pada zaman sekarang.... Namun pada aku terasa rugi pula mereka tidak meneruskan legasi jam berfungsi unik tersebut kerana tidak ada jenama lain di dunia yang sangat berinovasi dari segi teknologi elektronik seperti Casio. Perkembangan teknologi & evolusi mereka hebat & satu kerugian pula jika kita terlepas pandang jenama yang umum anggap 'biasa' & 'murah' ini.



Lihat saja bentuknya mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah jam ini baru dikeluarkan.. ditambah pula dengan tertera tulisan WRIST CAMERA padanya boleh membuatkan hati tertanya-tanya. Jam ini merupakan model pertama jam tangan berkamera di dunia  & telah dipasarkan pada tahun 2000.

Inovasi & penciptaan Casio dari tahun 1974 ke 2008 boleh dilihat pada link di bawah:

Jam yang dipaparkan ini bukanlah kehabisan bateri. Ianya sedang berada dalam mode sleep/hibernate. Jika tidak digunakan dalam tempoh beberapa lama, skrinnya akan terpadam seperti ini yang bertujuan untuk menjimatkan bateri.


Jika tidak 'tidur', beginilah keadaannya. 
WQV-1 merupakan model pertama di hasilkan. Diikuti dengan WQV-2, WQV-3 & WQV-10D. Model WQV-10D menawarkan teknologi skrin berwarna & merupakan satu-satunya model skrin berwarna berbanding yang lain serta mempunyai pixel yang lebih tinggi serta dot matrik LCD yang lebih tinggi.



WRIST CAMERA.... nak pakai tak tentu pasal risau juga... bimbang ada orang ingat nak 'skodeng' pula... hehe.... 


Lensa kamera terletak pada bahagian atas jam. Rupanya seperti lensa kamera kebanyakan telefon bimbit sekarang.


Keadaan jam ini sangatlah cantik & seperti baru. Tuan sebelum ini menjaganya dengan cukup baik. Tiada calar mahupun cacat cela pada setiap bahagiannya. Sukar untuk mendapatkan jam yang agak berumur ini dengan keadaan mulus begini.

Skrin LCD cukup besar dengan penomboran yang jelas. Ia mempunyai skrin LCD monokrom dengan 14400 dot. 


Suatu yang menarik mengenai jam ini ialah warna casingnya. Ia bukanlah hitam semata-mata, namun merupakan hitam metalik. Cantik! Jarang jumpa model Casio begini.


Tali yang digunakan pada jam ini merupakan tali original & warnanya sama seperti warna badannya. Tertera sedikit info spesifikasi pada tali jam ini.



Secara keseluruhan terdapat 6 button pada jam ini di mana 3 terletak di sebelah kiri, 2 di sebelah kanan & 1 di bahagian atas. Cermin jam ini agak tebal & sedikit melengkung dengan bahagian tepinya sedikit bevel mengikut kontur casingnya.


Ia mempunyai beberapa fungsi selain fungsi utama kemeranya. Ia boleh menyimpan sebanyak 100 gambar pada satu-satu masa (jika tak silap). Gambar-gambar tersebut boleh dilihat semula pada mode PLAY (rekod). Selain itu ia mempunyai ALARM (5 setting), STOP WATCH, TIMER & mode untuk memindahkan data ke komputer.



Ini merupakan paparan gambar yang diambil pada LCD. Gambar ketika aku botak... ekekeke.... Kita juga boleh melihat tarikh & waktu gambar in di ambil (kanan). Skrin LCD model ini memaparkan gambar monokrom dengan 16 grayscale. Semakin tinggi nilai dot LCD, maka lebih jelas & cantik gambar yang dapat dilihat pada LCD. 


Untuk mengambil gambar dengan jam ini, pencahayaan perlu mencukupi. Gambar di dalam bilik atau cahaya lampu tidak dapat menghasilkan gambar yang begitu jelas. Dalam mode kamera, untuk mengambil gambar hanya perlu tekan button di bahagian atasnya. Setiap gambar yang telah diambil akan ditayangkan pada skrin & akan disimpan di dalam memori.


Ada 3 jenis mode mengambil gambar yang boleh digunakan iaitu NORMAL, ART & MERGE. Dalam mode ART, gambar pada skrin akan berubah menjadi gelap sedikit. Tak tahulah bagaimana rupanya pada komputer perbezaannya dengan NORMAL. Jika pencahayaan tidak mencukupi.... bertambah kelam la gambar LCD.... Dalam mode MERGE (mencantumkan gambar), skin akan terbahagi kepada dua bahagian. Apabila button ditekan, skrin sebelah kiri akan merekodkan gambar tersebut, separuh lagi (kanan) akan merekod gambar apabila button ditekan kali kedua. Jadi nampaklah 2 gambar dalam satu skrin.


Berdasarkan tarikh, gambar ini telah lama di ambil. Sekarang baru ada masa & kerajinan untuk review.

Aku tidak dapat pastikan bagaimana keadaan gambar yang di ambil dengan jam ini pada komputer kerana aku tidak dapat memindahkan data ke komputer kerana ketiadaan CD driver jam ni & set IR Pod jam ini. Buku manual juga sudah tiada ketika aku membeli jam ini. Bertambah sukar untuk menggunakannya tanpa buku manual tersebut. Aku perlu belajar sendiri cara-cara menggunakannya. 

Disebabkan jam ini mempunyai fungsi mengesan (detect) alat (device) infra-red, aku telah berusaha mendapatkan satu USB Infra-red dari eBay dengan harapan dapat transfer gambar ke komputer. Namun kecewa kerana aku tidak berjaya berbuat demikian... Perlu guna IR Podnya juga nampaknya....

IR pod
Gambar diambil dari Mumbai.olx.in
Beginilah rupa IR Pod jam ini.



Bahagian caseback ada persamaan seperti kebanyakan Casio namun dengan sedikit perbezaan. Bahagian bateri dibuat mudah dibuka begitu bagi memudahkan pertukaran bateri dilakukan dengan hanya menggunakan duit syiling. Mungkin kerana jam ini kuat menggunakan tenaga bateri membuatkan pihak Casio membuat inovasi begini. 

Bateri yang digunakan jam ini ialah CR2032. Dalam keadaan mode sleep/hibernasi, ketahanan baterinya hanyalah selama 1.5 tahun. Dalam penggunaan harian bersama penggunaan kamera, bateri hanya bertahan lebih kurang 6 bulan sahaja.

Penutup caseback begini turut dibuat oleh Swatch & Suunto bagi memudahkan kerja pertukaran bateri. Menurut rakan yang menggunakan Suunto, jamnya agak cepat kehabisan tenaga bateri  berbanding Casio. Jadi tidak pelik jika caseback dibuat begini.


Saiz jam ini agak besar dengan tangan aku. Ia mempunyai diameter 40mm dengan 52mm panjang (lug ke lug) & 16mm tebal. Walaupun saiznya besar, namun ianyanya sangat ringan. Lebih kurang 32gram sahaja. 


Bila memakainya terasa seperti menyarungkan gadget agen James Bond.... kuikuikui

 Seperti mengambil gambar, memori bersamanya aku abadikan & dikongsi di sini. Semasa H4U tempoh hari, mungkin ada rakan-rakan yang perasan kelibat jam ini dalam acara itu. Namun tidak lagi kelihatan pada H4U akan datang (sekiranya ada) kerana jam ini sudah tiada dalam koleksi aku... yang tinggal hanyalah gambar & memori bersamanya.....




Leia Mais…