Setelah sekian lama meninggalkan penulisan jam, akhirnya berjaya juga siapkan artikel yang sudah bertahun terbengkalai ini. Untuk mencari idea 'menulis' dirasakan agak sukar untuk dimulakan pula.... idea berkarat di sana sini. Susunan ayat yang cantik juga berkali-kali aku fikir, tulis, baca, padam & tulis semula, padam balik... sampai satu masa tinggalkan begitu saja........ kembalilah artikel itu tergantung & beberapa artikel menerima nasib yang sama....
Sebagai permulaan lembaran baru ini, aku merasakan jam yang terbaik untuk aku ketengahkan buat 'pertama' kali ini ialah Seiko Scubamaster M726 yang merupakan jam grail pertama aku & agak kuat pengaruhnya minat aku terhadap jam...
Seiko Scubamaster M726 Tali originalnya merupakan tali getah wave Seiko |
Berikut merupakan gambar yang aku perolehi dari web Seiko UK mengenai jam diver yang pernah dikeluarkan Seiko suatu ketika dulu. Ia tidaklah lengkap dengan semua model yang dikeluarkan tetapi lebih kepada jam diver legasi mereka.
Seiko UK - landmarks in time |
----------------------------------------
SEJARAH AWAL MENGENALINYA
Suatu ketika dulu, yakni sudah 4 tahun... bermula 6 Julai 2010 aku pernah paparkan SNEAK PREVIEW mengenai jam ini. Ramai tertanya-tanya apakah jam tersebut, tak kurang juga yang cuba meneka. Namun gambar-gambar yang aku paparkan itu agak 'sadis' rupanya sampai nak teka pun susah. Persoalan itu terjawab pada 14 Mac 2011...
Seperti yang ramai sudah tahu, minat aku terhadap jam bermula sejak sekolah rendah dengan pengenalan Casio Databank DB-30 yang kawan aku pakai masa darjah 6 dulu (1992). Minat aku makin bertambah & berangan-angan untuk memiliki pelbagai jam sejak itu. Mana-mana gambar jam aku jumpa di majalah aku akan potong & dimasukkan ke dalam buku 'skrap' aku...
Salah satunya ialah keratan mengenai jam ini..... Jika tak silap aku sekitar tahun 1992-1993, aku menjumpai gambar jam ini di majalah ibu. Aku merasakan ianya satu jam yang sangat 'hi-tech' & mendahului zaman seperti gadget James Bond 007. Aku tak faham pun apa yang artikel tu sampaikan ketika itu... Aku hanya teruja dengan kecanggihan & kegagahan rupa jam tersebut & merasakan ianya suatu jam yang hebat. Ia menjadi salah satu jam yang aku admire sepanjang alam persekolahan.
Tidak aku sangka & tak terfikir langsung pun... pada tahun 2010 aku menjumpainya di eBay. Terkejut juga kerana ianya hanya satu klik saja jaraknya untuk aku miliki. Penjual berkenaan ada 3 jam ini dalam jualannya, yang mana 2 adalah terpakai & 1 adalah jam baru New Old Stock (NOS) termasuk buku panduan & kotak.
Semalaman juga aku fikir samada nak beli atau tidak kerana harganya agak tinggi & aku pula tidak tahu apakah harga baru jam ini suatu ketika dulu. Adakah berbaloi pembelian aku itu? Aku tak tahu.... Makin meragukan pula apabila tengok rating penjual ini yang hanya baru berniaga dengan hanya beberapa jualan saja dilakukan. Namun penjual ini mempunyai koleksi jam rare yang agak mengagumkan.... pejam mata sajalah..... BUY IT NOW (klik!)
Seiko M726 bersama buku panduannya (manual book). |
Ia merupakan pembelian jam paling mahal pernah aku beli ketika itu & merupakan pembelian gamble memandangkan keyakinan aku terhadap penjual tersebut hanyalah 50/50. Aku juga masih agak baru dengan pembelian di
eBay ketika itu.
Satu siksaan juga menunggu untuk ia sampai. Hati berdebar & tak tentu arah juga dengan risiko yang aku ambil itu...... takut ditipu.... Namun pada masa yang sama penjual tersebut kerap menghubungi aku bertanyakan jam tersebut sudah sampai atau belum memandangkan beliau juga masih baru sebagai penjual. Beberapa minggu kemudian jam tersebut sampai... segala kekusutan aku terungkai sudah...
alhamdulillah... Agak mengecewakan apabila aku ingin membeli jam lain darinya, beliau sudah tidak berniaga lagi dalam eBay.
Aku pernah e-mel pihak Thong Sia & Seiko Japan sendiri bertanyakan maklumat mengenai jam ini. Ucapan tahniah aku dapat dari mereka kerana memiliki jam ini & mereka agak terkejut bagaimana aku memilikinya. Tiada banyak maklumat aku peroleh dari mereka. Menurut mereka alat ganti (spare part) jam ini telah lama dihentikan. Polisi Seiko hanya mengeluarkan alat ganti tidak melebihi 10 tahun dari tarikh pengeluarannya. Selepas itu, alat ganti yang ada hanyalah stok yang mereka ada saja & tidak dibuat baru. Jam ini kini sudah masuk dalam muzium Seiko & hanyalah sebagai collector item. Ketika ianya dikeluarkan pada tahun 1990, harga jualannya ialah USD$1000.
Berikut merupakan link ke video youtube yang menunjukkan Seiko Scubamaster yang dipamerkan di Baselworld 2010 bersama-sama jam ciptaan pertama mereka yang lain.
----------------------------------------
Seiko M725 Gambar dari forums.watchuseek.com |
Pada tahun 1990 Seiko memperkenalkan kepada dunia suatu jam yang canggih iaitu Seiko Scubamaster M725 & M726. Ia merupakan jam diver berkomputer pertama dunia (the world's first computerized diver's watch). Tidak berlebihan jika dikatakan jam tersebut merupakan suatu tool watch.
-------------------------
Gambar dari forum Watch U Seek
Apakah itu 'tool watch'?
Ia merupakan jam yang diciptakan khas untuk tujuan tertentu.
Sebagai khusus, jam khas penyelam seperti Scubamaster ini.
-------------------------
Jam ini dicipta dengan kemampuan untuk mengesan kedalaman penyelam ketika selaman sehingga tahap maksimun 200 meter. Ia dilengkapi dengan sensor mengesan air & pengesan kedalaman yang sarat dengan fungsi berguna kepada seorang penyelam (diver).
Kedua-dua model yang diperkenalkan Seiko itu hanyalah berbeza dari segi kosmetik sahaja. Seiko M725 mempunyai casing keemasan berserta display yang keemasan juga. Selain itu bezelnya dibuat berkilat. Tak pasti samada ianya saduran ataupun plastik yang dipolish sempurna.
Seiko Scubamaster M725
Kedua-dua model tersebut sangat sukar dijumpai dalam pasaran. Namun M725 jauh lebih sukar dijumpai berbanding M726. Pada saat aku menulis ini, ada beberapa M726 aku jumpai dalam eBay & hanya satu M725. Suatu yang sukar untuk menjumpai M725 dalam eBay. Jika sesiapa berkeinginan, bolehlah memilikinya sementara masih ada....
Maklumat mengenai Scubamaster adalah sangat terhad di internet. Tidak ada sejarah khusus yang menceritakan jam ini di web utama Seiko mahupun review yang menyeluruh mengenainya dari mana-mana sumber. Untuk mencuba fungsi selamannya kini adalah agak mustahil dilakukan bagi mereka yang memilikinya. Andaian aku mungkin jam tersebut telah tua & mereka atau pemilik tidak berani untuk mengambil risiko menggunakannya ketika menyelam memandangkan alat ganti jam ini sangat sukar diperolehi kerana sudah lama tidak dikeluarkan & agak mustahil untuk memperbaikinya pula jika rosak. Selain itu juga bukan semua collector/pemilik jam diver adalah penyelam. Selain itu tiada maklumbalas dari para penyelam yang pernah menggunakan jam ini didapati di internet. Tak pelik jugalah sebab sudah 24 tahun berlalu & teknologi zaman itu tidak seperti sekarang. Mungkin rekod mengenai jam tersebut sudah tiada kini.
Seiko M726 |
Ini merupakan M726-5A00 milik aku. Jam ini secara spesifiknya dikeluarkan pada Ogos 1995 keluaran ke 188. Kondisinya sangatlah memuaskan & sepertimana yang penjual claim.... New Old Stock (NOS). Ia didatangkan dengan kotak & buku panduan yang tebal. Tali getah padanya masih tali original & berkeadaan baik tanpa kesan dipakai langsung.
Buku panduan (manual book). |
Pelbagai maklumat, cara penggunaan & fungsi diceritakan dengan jelas. Aku pernah membacanya ketika perasaan ghairah memilikinya beberapa tahun lalu, namun aku telah lupa apa yang telah dibaca itu. Kena baca balik nampaknya....
Fungsi utamanya diceritakan dengan begitu terperinci. Jika aku seorang diver, mungkin aku akan lebih faham dengan istilah selaman yang digunakan dalam buku panduan tersebut.
----------------------------------------
CASING
Ia adalah jam yang besar & berat bagi suatu jam digital. Namun tidaklah seberat jam Seiko Monster. Casing stainless steel diberi sentuhan sand blasted finish. Ia berdiameter 51.5mm & mempunyai panjang dari lug ke lug (vertikal) 51mm. Saiz lug pula ialah 22mm. Bentuk casing adalah tidak simetri yang mana sebelah kiri lebih membulat berbanding sebelah kanan.
Ia mempunyai ketebalan 13mm. Mempunyai 4 push button secara keseluruhan dengan saiz yang agak besar bagi memudahkan penggunaanya bersama sarung tangan ketika menyelam. Button itu juga lembut apabila ditekan.
|
Helium escape valve? Untuk jam diver 300m saturated diver... Ya! Untuk jam ini ia bukanlah valve tersebut & aku yakin ianya adalah salah satu sensor yang dibina padanya walau tidak diceritakan di dalam buku panduan.
Bezel berwarna hitam tersebut boleh ditanggalkan & diikat dengan 6 skru. Ianya diperbuat dari sejenis plastik & boleh ditukar jika berjaya dapatkan alat gantinya. Bezel tersebut lebih tinggi berbanding cermin jam. Ia boleh bertindak sebagai pelindung cermin dari pecah akibat terhantuk.
Pada zaman keluarannya ia adalah jam yang sangat canggih. Kecanggihannya itu tidak diselindung & ditonjolkan bersama designnya. Wajahnya yang gagah itu sudah memberitahu ianya bukanlah jam sembarangan....
Posisi LCD diletakkan di sebelah kiri sedikit untuk memberikan ruang kepada sensor yang canggih itu di sebelah kanan. Cermin mineralnya sedikit cembung & tebal. Kekemasan buatan jam ini sangat halus & terperinci.
----------------------------------------
SIRI KELUARAN
Seiko tidak sekadar menghasilkan Scubamaster M725 & M726 semata-mata, atau sebagai ciptaan try & error. Mereka serius dalam apa jua cabang jam yang mereka masuki. Mereka mengeluarkan beberapa lagi model Scubamaster digital bersensor untuk mewarnai dunia scuba digital yang sarat dengan fungsi untuk kegunaan seorang penyelam.
Seiko M705-5A10 Gambar dari Tungchoywatch.com |
Seiko M796 Gambar dari Digital-watch.com |
Model ini mempunyai fungsi yang lebih banyak, bukan sekadar merekod selaman. Ia mempunyai fungsi mengukur suhu air, tekanan atmosfera, stopwatch, timer & lain-lain lagi.
Seiko Kinetic Scubamaster Stingray Gambar dari Klocksnack.se |
Jelas sekali ia bukanlah jam digital. Hanya sekadar rekod, ia merupakan jam dalam keluarga Scubamaster yang menggunakan teknologi kinetik. Seperti semua model Scubamaster, ia juga sudah tidak dikeluarkan lagi. Aku tidak mahu cerita panjang mengenai jam ini. Boleh layari web di bawah untuk maklumat lanjut.
Seiko Propex SBDK001 Gambar dari Shifteast.com |
Ini bukanlah keluarga Scubamaster tetapi merupakan jam dalam keluarga Marine Master. Ia merupakan model Seiko dive computer terakhir. Ia mempunyai rating selaman hanya 100 meter. Selepas ini tiada lagi jam seumpama ini dikeluarkan lagi. Jam ini dijual lebih RM3000 di eBay.
----------------------------------------
Tiada rahsia yang diselindungkan oleh jam ini apabila scuba diver's 200m tertera dengan nyata padanya. Tulisan-tulisan yang ada pada jam ini bukanlah hiasan semata-mata, ia memaparkan fungsi bagi memudahkan penyelam menggunakannya. Aku bukanlah nak menceritakan fungsinya secara terperinci... hanya sekadar menunjukkan gambaran fungsi-fungsi yang ada padanya....
Paparan LCDnya mudah dibaca & difahami. Dalam mode masa, paparan nombor di bawah sekali paling besar menunjukkan masa. Di bahagian tengah menunjukkan hari & tarikh. Display kanan paling atas itu pula menunjukkan masa alarm yang telah ditetapkan.
Ini merupakan contoh paparan LCD dalam mode selam (dive mode) di sebelah kiri. Ia perlu berada dalam mode ini sebelum selaman dilakukan. 'Dive Flag' akan berkelip-kelip sebaik sahaja sensor mengesan air ketika mula menyelam. Bacaan masa & jarak selaman akan mula disukat apabila jarak selaman melebihi 1.5 meter. Sensor yang dilengkapi ini bukan sahaja sekadar merekod data saja, malah ia mempunyai fungsi memberi amaran kepada si penyelam untuk keselamatannya sekiranya si penyelam tersebut membuat selaman yang berbeza dari data spesifikasi yang telah dimuatkan di dalamnya. Ia berpandukan spesifikasi U.S Navy's Diving Manual.
Gambar di sebelah kanan itu pula menunjukkan 'dive table mode'. Memandangkan tiada sebarang selaman dilakukan, tiadalah data padanya. Jika selaman dilakukan, data penyelaman yang telah dilakukan itu direkodkan di dalam memorinya & boleh dilihat semula rekod tersebut selepas menyelam berserta data pengiraan keseluruhan & average selaman yang telah dilakukan. Terdapat beberapa jadual yang boleh si penyelam periksa sebagai panduan di dalam buku panduan.
Antara fungsi lain yang dimilikinya secara ringkas.... ia mempunyai fungsi bunyi alert kepada penyelam-penyelam lain untuk datang berkumpul bersama si pemakai jam tersebut ketika menyelam bersama. Ia juga memiliki fungsi larangan terbang (no fly) kepada penyelam tersebut selepas naik ke permukaan air. Untuk keselamatan, penyelam tersebut hanya boleh untuk menaiki kapal terbang selepas tanda amaran 'No Fly' pada display hilang. Ini adalah satu ciri keselamatan yang mengagumkan demi keselamatan & kesihatan si penyelam tersebut. Jika anda seorang penyelam anda lebih arif bab ini....
Selain itu fungsi asas yang sangat berguna seperti alarm & lampu LED turut dimiliki jam ini. Lampu akan bernyala selama beberapa saat selepas ia dihidupkan bagi memudahkan bacaan semasa menyelam. Namun tiada fungsi stopwatch & timer.
Jam ini juga menawarkan kelebihan ketahanan dari magnetism. Walau jam ini sudah 24 tahun dikeluarkan, ianya masih relevant jika ianya masih dikeluarkan hingga hari ini.
----------------------------------------
Tali originalnya merupakan tali lagenda wave Seiko. Namun sesuatu tidak diduga berlaku pada jam ini selepas beberapa minggu memilikinya..... tali getah itu 'patah' dengan sendirinya ketika aku meletakkannya di atas meja. Mujur ia tak berlaku ketika aku menunggang motor.... oh tragis......
Tali wave ini juga dikenali sebagai Z22. Ia ditandakan pada hujung sebelah belakang tali tersebut. Tali original wave Seiko agak keras pada aku & aku tak berapa minat untuk memakainya kerana kurang selesa. Tali aftermarket lebih lembut & selesa untuk dipakai. Namun bukan semua orang merasai perkara yang sama.
Secara jujurnya aku sudah tak begitu minat & yakin pada tali getah walaupun tali itu original kerana sudah banyak tali getah jam aku tidak tahan lama & putus walau tidak memakainya. Jika jam yang dijual itu mempunyai 2 versi bracelet & tali getah.... pasti versi bracelet yang akan aku pilih.
Tali kanvas yang digunakan ini adalah tali original Seiko sendiri. Pelbagai tali pernah aku pasangkan pada jam ini. Aku suka bertukar-tukar tali mengikut mood untuk memberikan wajah yang berlainan & mengelakkan kebosanan terhadap sesuatu jam. Kini tali kulit tebal dengan corak ala karbon fiber aku pasangkan padanya untuk memberikan imej yang lebih kasual & ia bertindak sebagai langkah berjaga-jaga kepada aku mengelakkannya dari terkena air. Jam diver kalau dah tua begini kena sentiasa beringat.....
Sebagai peringatan...
Walaupun jam yang kita pakai itu ialah jam diver yang telah tua & sudah masuk umur klasik/vintage.... dinasihatkan untuk mengelakkannya dari terkena air memandangkan cermin, crown (trip), caseback, getah, seal, o-ring, gasket yang ada padanya mungkin telah reput, haus, rosak & sebagainya. Jadi air boleh masuk ke dalam jam melalui ruang yang telah rosak itu & merosakkan komponen dalaman & movement jam tersebut.
Jika anda ingin juga menggunakan jam tersebut dalam aktiviti berair, pastikan ke semua bahagian yang dinyatakan itu berkeadaan baik atau ditukarkan bahagian itu dengan alat ganti baru bagi megelakkan air mata anda pula yang mengalir keluar.....
Jam klasik/vintage perlu dijaga dengan baik & tidak boleh dipakai lasak seperti jam baru kerana bimbang sekiranya ia rosak, ia tidak mampu lagi untuk dibaiki kerana ketiadaan alat ganti ataupun pakar yang boleh membaikinya. Komponen dalamannya juga telah tua & dibimbangi sudah terlalu haus & mudah rosak, patah & sebagainya..... Jika anda ingin melakukan aktiviti lasak, pakailah jam baru atau moden yang berpadanan dengan aktiviti anda itu.... wallahualam....
----------------------------------------
CASEBACK
Penutup caseback bukan jenis skru seperti kebanyakan jam diver... ia dikunci oleh 4 skru kecil di penjuru. Aku tak tahu apa maksud penomboran pada stiker itu pada mulanya. Menurut kawan yang lebih arif, ia merupakan nombor pattern yang telah Seiko pattern-kan untuk movement/caliber-nya.
Walaupun caseback bukan jenis skru, bahagian dalamannya mempunyai struktur yang dapat menjamin ketahanan tekanan ketika di dalam air. O-ring jam ini masih berkadaan baik walau ianya sedikit berminyak. Silicon grease disapukan padanya dengan harapan dapat memanjangkan hayat o-ring tersebut & dapat menghasilkan seal yang baik.
Ia menggunakan caliber M726A. Bateri yang digunakan hanya satu saja iaitu CR2025. Ada jam yang menggunakan 2 bateri, malah ada juga yang menggunakan 3 bateri untuk penjanaan kuasa yang berlainan terutamanya untuk jam yang bersensor.
Setelah 4 tahun ianya berada dalam simpanan aku, kuasa baterinya telah habis. Boleh tahan lama juga untuk jam seumpama ini. Mungkin juga disebabkan fungsi jam ini tidak digunakan, kuasanya tahan lebih lama. Jika selalu menggunakannya ketika menyelam mungkin lain ceritanya. Aku tak pasti pula bateri tersebut sejak bila. Pada 10 Jun 2014 bateri baru dipasangkan (sebagai rekod).
---------------------------------------
Suatu ketika dulu aku pernah memiliki jam Casio DEP-610. Pengenalan jam tersebut telah dilakukan pada 9 Julai 2010. Boleh dilihat pada link di bawah ini:
Jam ini aku menjumpainya di satu kedai di Perlis.... kedai jam lama. Pada waktu itu aku ingatkan ianya jam yang baru dikeluarkan... rupa-rupanya ia telah dipasarkan pada tahun 1992. Jam ini aku telah jual, namun terasa ingin memilikinya kembali & aku membelinya semula dari kawan, yang mana beliau pula membelinya dari kawan yang beli jam itu dari aku. Jauh perjalanannya..... Namun disebabkan beberapa perkara & aku memerlukan wang pada waktu itu, aku menjualnya semula pada kawan yang aku beli itu..... ;-)
Berdasarkan tahun keluaran Casio itu, aku merasakan Casio ingin berlawan dengan Seiko dalam pasaran jam diver profesional digital. Seperti Seiko yang mengeluarkan beberapa model scuba digital selain Scubamaster M725 & M726, Casio juga turut mengeluaran beberapa lagi model scuba digital seperti yang telah di terangkan di dalam review Casio DEP-610 lepas. Nampaknya Casio tidak mahu terlepas dari pasaran & turut serta dalam liga yang sama. Seperti juga Seiko, Casio juga kini sudah tidak mengeluarkan lagi jam-jam yang hebat ini...
Seingat aku, fungsi Casio itu tidak secanggih seperti yang dimiliki Seiko. Ia hanya terhad kepada fungsi merekod selaman & suhu sahaja & tidak memiliki fungsi tambahan selaman yang pelbagai seperti Seiko.
Walaupun Casio nampak lebih kecil, namun ianya lebih berat & tebal berbanding Seiko itu. Persamaan yang wujud selain sensor selaman itu, Casio turut menggunakan bezel jenis plastik yang boleh ditanggalkan seperti Seiko... nampaknya influence Seiko agak kuat pada Casio... biasalah tu... banyak saja influence dari pelbagai sumber boleh kita lihat pada kebanyakan produk barangan... tidak ketinggalan juga kereta & juga motosikal....
Seiko Scubamaster M726 bersama Seiko S800 milik abg Hassan Detik Dua Belas. S800 bukanlah dive computer seperti abangnya itu kerana ia tidak mempunyai sensor. Namun ia adalah jam diver digital yang mantap pernah dihasilkan Seiko. Dari hasil carian aku tiada lagi penghasilkan jam diver seumpamanya selepas itu. Itulah satu-satunya yang ada... (jika anda menjumpai model selainnya, boleh email aku untuk diperbetulkan maklumat ini. Terima kasih).
------------------------------
Ia tampak besar jika dibandingkan dengan saiz tangan aku. Walaupun besar, ia sangat selesa di pergelangan tangan. Wajahnya yang sophisticated & kompleks itu memberikan imej yang garang, serius & berkeyakinan.
Adakah aku akan menggunakannya jika ingin menyelam? Secara jujurnya aku tidak berani menggunakan jam ini jika ingin menyelam. Kalau terpercik air pun aku cuba elakkan, apatah lagi kalau nak berenang atau menyelam.... Risiko yang amat tinggi diambil jika semata-mata untuk melihat bagaimana ia berfungsi ketika menyelam. Jika ia rosak, agak mustahil untuk memperbaikinya.
Adakah aku akan menjualnya? Tidak mungkin sama sekali! Tapi mungkin aku beli satu lagi sebagai spare part....
---------------------------------------
KESIMPULAN
Banyak jam telah dihasilkan Seiko merupakan ciptaan pertama dalam cabang horologi. Salah satunya adalah Seiko Scubamaster M725 & M726 ini. Malangnya tiada lagi penghasilan jam seumpama ini kini kerana mungkin kini sudah banyak produk & alat menyelam yang lebih berkesan & sesuai penggunaannya dengan keperluan semasa. Semakin lama alat-alat ini semakin canggih seiring dengan peredaran zaman & teknologi yang semakin canggih. Namun sekiranya jam seumpama ini keluar dari hasil syarikat gergasi jam seperti Seiko, sudah pasti impaknya besar kepada peminat jam yang juga seorang penyelam.
Untuk jam yang telah memasuki muzium ini, ciptaannya terulung & terbaik pada zamannya. Walau kini sudah tidak dihasilkan, aku bersyukur kerana dapat memiliki jam yang diidamkan sejak sekolah rendah ini walau usianya agak lanjut. Namun sekiranya Seiko mengeluarkan semula Scubamaster ini, kemungkinan besar aku akan membelinya. Bolehnya aku menyelam bersamanya nanti.....
11 KOMEN ANDA:
best la bro dapat jam ni.. cantik betul
Tq bro... simpan utk anak cucu... hehehe
perghhh...tool watch..nak kena cari gak..mmg minat jenis2 nie..tapi mau yg tali steel lg best lor..
bang Rosli
Jenis tali steel takda model ni.. tp boleh pasang mana2 tali yg sesuai. Boleh tu bang... hehe
salam tuan punyer blog... saya nk tanyer something ni...
jam yg tomok pakai ni dari jenis ape ye? dah lama saya nk tayer.. ni linkyer. http://www.esempoi.com/wp-content/uploads/2012/11/tomok2.jpg
tq dunia jam
salam dunia jam.. saya nk tanyer ttg jenis dan jenama jam tomok pakai dlm gmbar ni http://www.esempoi.com/wp-content/uploads/2012/11/tomok2.jpg
harap dunia jam dpt mmbantu... tq
Salam D. Garp....
Sy tak pasti jam apa yg tomok pakai. Tp sy rasa jam tu mungkin jam butik/fesyen... jenama apa tak pasti...
Tuan nk nom fon tuan
Cantik jam digital
Jam ni ada lampu tak?
Ya ada. Tapi tak teranglah macam jam moden sekarang. Jenuh renung juga nak baca waktu. Haha. Klasik.
Post a Comment