Sebelum minat mencari jam-jam nostalgia berputik, aku tercari-cari apakah jam yang boleh memuaskan hati. Selok-belok kisah suka duka dalam pencarian jam yang pernah berlaku sebelum ini aku imbau semula untuk mencari apakah episod seterusnya dalam mencari kemanisan mengumpul jam.
Pencarian dari segenap ruang telah menemukan aku dengan jenama yang tidak asing lagi pada aku.... Casio. Jauh benar aku cari... dari Jepun ke Rusia ke Germany, ke US, ke Switzerland.... Rupa-rupanyanya jenama itu adalah yang aku sangat terbiasa dari kecil & inilah jawapan kepada segala persoalan itu.
Namun bukanlah model terbaru & terkini yang mampu memberikan perasaan itu, tetapi model tahun 1980an & 90an adalah jawapannya. Model-model lama yang masih tertulis 'Japan' yang ingin sangat aku cari kerana model-model itulah yang mencorakkan dunia aku ke dalam minat aku sekarang ini.... nampaknya pemburuan aku terpaksa diteruskan walaupun niat di hati mengungkapkan untuk tidak lagi membeli jam tahun & berehat sebentar setelah mendapat Seiko 6105-8110..... tapi kegilaan mencari semakin menjadi jadi pula sekarang....
Casio pernah mengeluarkan model-model pelik dengan fungsi yang hebat sebelum ini. Setiap keluaran pasti ada fungsi yang tersendiri & tujuan ia dikeluarkan. Antaranya adalah model dengan fungsi boleh mengira denyutan nadi. Hebat bukan?
.......Memperkenalkan......
Casio JP-100W
Casio JP-100W merupakan model pertama Casio yang mempunyai fungsi terulung ini. Tak pasti pula bila keluarannya, dianggarkan diantara akhir tahun 1980an hingga awal tahun 1990an. Jam ini pernah menjadi idaman aku suatu ketika dulu & aku masih mencarinya sehingga kini.... agak mengecewakan kerana aku tidak menjumpainya untuk dijual di sini mahupun di internet (NOS).
Untuk menggunakannya, hanya perlu tekan button kuning (pulse) di atasnya & meletakkan jari pada photosensor di sebelahnya itu. Sensor itu sangat sensitif & dapat mengukur dengan agak tepat. Suatu yang membanggakan jika mempunyai jam ini pada waktu itu. Jam ini sangat sesuai untuk mereka yang suka bersukan & ia boleh digunakan untuk memantau kadar degupan jantung dari semasa ke semasa. (Gambar diambil dari photobucket: super_hectorus)
Seiko juga turut memperkenalkan model yang boleh mengira denyutan nadi. Tak pasti siapa yang keluarkan dulu. Ini merupakan salah satu model yang mereka keluarkan. Seperti Casio, model ini juga sangat rare & rasanya tidak masuk ke pasaran kita. (Gambar diambil darihttp://www.gmtplusnine.com/)
Pemburuan aku terhadap model-model lama Casio bermula setelah langkah pertamaku mendapatkan keluaran kedua Casio pulse itu. Memperkenalkan Casio JP-200W..... rentetan keluaran selepas model pertama JP-100W. Niat di hati inginkan model pertama tu.... Masih terbayang lagi jam tu sampai sekarang & tengah mengarang ni pun jam tu masih terbayang seolah-olah ada di depan mata.... hmmm...... Takpalah kerana model keduanya mampu memberikan impak yang sama kerana ia juga hampir sebaya dengan keluaran pertama tu.
Casio JP-200W
Jam ini sebenarnya sudah banyak kali aku tengok di kedai tu. Tapi masa tu tak terasa nak beli sebab waktu tu aku masih berada dalam proses mencari hala tuju. Ada beberapa lagi model lama Casio di kedai tu. Bila niat nak beli tu datang, perasaan takut mula menghantui diri sebab takut jam sudah terjual.... & aku akan rasa menyesal sebab tak membelinya dulu....
Agak mengecewakan apabila sampai di kedai tu, jam sudah tiada di tempat biasanya. Disebabkan tidak puas hati & hampir tak boleh terima kenyataan.... aku tengok setiap penjuru display kedai tu. Setiap celahan jam aku tengok & nampaknya berjaya apabila aku ternampak jam ni di celah-celah jam baru di bahagian belakang display.
Dengan perasaan girang, aku minta taukeh keluarkan jam tu. Taukeh terkejut sebab dalam banyak-banyak jam baru, jam lama di belakang display yang aku nak. Pelik dia. Sebab dia memang tak mahu tunjuk dah jam tu dalam display pasal cadang dah tak mahu jual sebab jam tu sudah tiada. Disebabkan aku nak, terpaksa dia jualkan juga & aku orang pertama buat begitu pada dia. Hehehe....
Keadaan jam sangat memuaskan kecuali tali asalnya sudah menjadi berminyak & bergetah. Taukeh tukarkan tali baru & dia tukarkan juga bateri baru selepas tu. Sayang juga aku tak ambil tali original tu.
Manual jam masih ada... tapi tengoklah warna & keadaannya. Punyalah lama ada di kedai tu. Kotak sudah tiada, namun cukup memuaskan hati & taukeh juga cakap pi cari mana pun tak akan jumpa lagi jam ni... & aku terpaksa bersetuju dengan dia sebab memang betul pun.
Kondisi jam yang memuaskan begini susah dijumpai lebih-lebih lagi jam yang orang tidak berapa peduli sangat sekarang ni. Tengok jam dalam display berbanding tengok di tangan memberi impak yang berbeza. Dari mata turun ke hati.... tapi proses pembelian aku pula.... dari mata turun ke tangan, lepas tu baru turun ke hati.... Proses 'penurunan' yang berjalan lancar tanpa sekatan ini telah membuahkan hasil transaksi yang berjaya...
Bahagian jam yang berwarna hijau memberikan gambaran yang jelas bahawa ia bukanlah jam biasa. Mereka yang tidak tahu pasti tertanya-tanya apakah tujuan benda tu di situ.... Tiada apa yang mampu aku ungkapkan selain menarik & tersendiri.
Tiada lagi kelibat jam seumpama ini di mana-mana kedai lagi & ia telah menjadi koleksi para collector Casio di seluruh dunia. Tiada lagi keluaran terbaru jam ini sekarang. Namun aku ada ternampak keluaran G-Shock yang mempunyai fungsi seumpamanya. Tapi tak pasti keluaran bila & negara mana ia dipasang.
Di bahagian kiri casing pula kelihatan button berwarna hijau juga... hmmm.... mesti ada sangkut paut nih.... Ya. Kita lihat kemudian.
Casing resin boleh dikatakan sudah standart untuk jam digital terutamanya Casio. Tetapi bukan saja Casio, malah beberapa jenama lagi turut menggunakan bahan resin untuk dijadikan casing. Mungkin disebabkan bahannya cukup tahan, murah & mudah dibentuk. Mungkin ia juga salah satu sebab Casio menggunakannya adalah untuk mengurangkan kos binaan & harga jualan. Jika mereka masih menggunakan stainless steel seperti model Casiotron, agaknya harga Casio tidak akan berada seperti sekarang. Mestilah akan lebih tinggi harganya. Cermin plastik jam ini cembung sesuai dengan keadaan casingnya itu.
Jam ini didatangkan dengan beberapa kombinasi warna. Selain dari warna kebiasaan hitan/hijau, ia juga mempunyai kombinasi warna seperti gambar di atas. (Gambar diambil dari photobucket: super_hectorus)
Bebarapa bahagian pada jam ini sangat menarik perhatian aku & memaksa aku untuk tidak melepaskannya. Tertera dengan gah.... 'Japan U' pada dail..... suatu yang meyakinkan untuk aku memilikinya. Button pulse & sensor (warna hijau), serta paparan PULSE setelah button hijau ditekan membuatkan hati membuak-buak untuk membelinya terus.
Jam turut dilengkapi dengan lampu. Cahaya warna kuning klasik sangat mengujakan hati walaupun sekarang Casio sudah menggunakan teknologi lampu terang illuminator. Namun cahaya kuning itu lebih mengasyikkan untuk ditatap kini, setidak-tidaknya pada aku sendiri... terasa keklasikkan jam tersebut & melayang-layang fikiran mengenangkan waktu 'muda-muda' dulu....
Terpampang button hijau yang besar dengan jelas, seolah-olah sedang memberikan maksud bahawa fungsi utamanya berada di situ. Sisi kiri mempunyai 3 button & kanan 2 button. Masa zaman kanak-kanak dulu, jam dengan banyak button sangatlah hebat. Lagi banyak button, lagi best & 'terer' jam tu. Memang sangat-sangatlah aku nak dulu.
Seperti model-model Casio lain, model & siri Casio tercatat pada caseback. Seperti biasa juga caseback ditutup & dikemaskan dengan empat skru. Kena hati-hati semasa membuka & mengunci skru kerana jika gopoh & tidak berhati-hati boleh merosakkan trip skru tersebut & rasanya tidak boleh dibaiki lagi jika sudah rosak. Ketahanan kalis air juga akan hilang jika caseback tidak dapat ditutup rapat.
------------------------------------
Bahagian seterusnya pula, kita saksikan fungsi-fungsi yang ditawarkan oleh jam lama ini...
Apabila button mode ditekan, ia akan masuk ke fungsi RECALL. Ia merupakan memori data untuk setiap bacaan pulse yang telah disimpan. Fungsi lain adalah fungsi biasa seperti STOPWATCH, TIMER & ALARM.
Untuk menggunakan fungsi pulse, button pulse perlu ditekan semasa berada dalam mode masa. Apabila ditekan, display akan memaparkan PULSE & bahagian tengah (aerobic zone) juga akan mula keluar paparannya (hitam) - bulatan merah. Nombor-nombor kecil dibawahnya itu adalah kadar denyutan nadi & maksud paparan hitam itu pula untuk kita mudah nampak dimana sepatutnya kadar denyutan nadi kita berada jika senaman dilakukan. Ia sepatutnya berada dalam julat zon hitam itu.
Suatu yang menarik dengan fungsi ini, ialah umur pengguna perlu di'set'kan dalam jam. Setiap umur mempunyai perbezaan tahap julat zon aerobik. Maksudnya di sini, Casio bukanlah buat fungsi ini secara 'suka-suka' tetapi serius terhadap setiap penciptaannya. Mungkin ramai yang menganggap fungsi-sungsi yang disediakan Casio adalah seperti bahan permain & suka-suka saja.... nampaknya ramai yang sudah silap. Casio amat serius dengan setiap inovasi yang mereka cuba ketengahkan.
Sekarang, bacaan akan diambil pada pukul 6.50 petang (bulatan merah). Kita akan lihat datanya kemudian nanti.
Setelah masuk ke mode PULSE, letakkan jari telunjuk pada photosensor (bahagian berwarna hijau) dengan perlahan. Tidak perlu tekan kuat, hanya sekadar meletakkan sahaja.
Denyutan nadi 'dibaca' dengan lengkap selama seminit. Bacaan kebiasaannya akan mula dipaparkan pada hampir 10, 15 saat, 30 saat, 45 saat & seminit. Setiap bacaan saat itu boleh di lihat semula dalam mode RECALL. Disebabkan aku sedang berada dalam keadaan rehat, bulatan merah menunjukkan kerlipan dimana bacaan nadi aku sedang berada. Jika sedang bersenam, bacaan nadi akan berada dalam zon aerobik & bahagian itu pula yang akan berkerlip-kerlip.
Sekarang, ia berada dalam mode RECALL. Bacaan pada setiap saat yang telah ditetapkan boleh dilihat semula & waktu pada masa bacaan diambil. Ia mampu menyimpan data sebanyak 3 bacaan.
Semasa 'bacaan' nadi dilakukan, terdapat graf seperti gelombang 'naik' pada display seperti bulatan merah. Menarik betul.
Untuk menguji ketepatan bacaan jam ini, aku cuba dengan alat Blood Pressure Monitor. Nampaknya bacaannya tepat. Walaupun bacaan jam cuma 81 sebenarnya jika bacaan diuji samada dengan dua-dua alat itu semula, bacaannya tidak akan tetap seperti sekarang & akan berubah-ubah sebab bergantung kepada banyak faktor. Dalam kes ini, aku simpulkan bahawa bacaan pada jam agak tepat. Hebat!
Saiz jam agak besar, sesuai dengan fungsi yang ditawarkannya. Paparan display yang besar merupakan suatu yang mengujakan aku suatu ketika dulu. Paparannya jelas & kombinasi warna hitam & hijau nampak menarik.
Jam yang dahulunya pernah aku berangan-angan untuk memilikinya sekarang sudah berada di tangan. Tidakku sangka setelah bertahun-tahun... mungkin sudah lebih 10 tahun.... jam ini kini berada dalam genggamanku. Alhamdulillah....
Selepas pembelian pertama ini, impak yang aku dapat sangat berlainan. Kemanisan yang aku cari, sudah jumpa nampaknya. Secara misteri.... 'racun' jam ini memasuki jiwa untuk aku terus memburu adik-beradiknya yang lain pula & nampaknya semakin menjadi-jadi pula. Banyak model-model lama mulaku cari di segala ceruk kedai & mula membuahkan hasil.... nampaknya model nostalgia sangat memberikan kesan... bukan untuk orang lain, tetapi yang pentingnya untuk diri sendiri & aku bahagia dengannya....
10 KOMEN ANDA:
aku ingat dah jam mcm ni.kalo tak silap dalam tahun 94@95 masa tu kami operasi di pulau aku punya bos ada pakai.kalo tak alah yg boleh cek tekanan darah ka.casio jgk tu.kejap2 pi tpt dia cek tekanan darah.hehe.tak tau dia ada simpan lg ka jam tu.tapi bentuk mcm lain skit dr yg ni la aku rasa..
Jam tu bro cakap tu kalau tak salah model BP-100W. Jam tu mmg boleh kira tekanan darah... tunggu bro........ hahaha.....
ada jugak...hehe cayalah.
Haha....
stat aku join geng2 jam ni mcm mai minat jgk jam2 era baru ni..tarikan tu kali.he
Banyak racun dalam ni sebenarnya... Wakaka...
wow...racun baru~ubt dia duit bnyk jer...
hahaha
Racun mmg banyak.... aku dah banyak telan racun.... adoi.....
Cis berkhasiat lemak berkrim.. haha!!
Disukai ramai plak tu. Wakaka...
Tunggu sneak preview grail watch aku.... hahahaha....
Post a Comment